15
Tue, Oct
17 Artikel Baru

Siri FAQ HPU914 (4)

Berita
Typography

SUDAH ada tuduhan-tuduhan dan serangan-serangan di luar sana yang menuduh bahawa Himpunan Penyatuan Ummah ataupun HPU 914 ini akan menjurus kepada proses Talibanism iaitulah ingin menjadikan kuasa politik Melayu Islam menjadi suatu kuasa yang ekstrem dan melampau.

Dan ada juga tuduhan-tuduhan dan juga serangan-serangan yang menyatakan bahawa HPU 914 ini akan membawa negara kita kepada Hegemoni ataupun pemusatan kuasa politik Melayu Islam.

Saya ingin menjawab tuduhan dan serangan tersebut dengan mengemukakan beberapa perkara. Yang pertamanya ialah kita perlu lihat dari segi warisan peradaban masyarakat Melayu yang kemudiannya diperkukuhkan dengan sentimen dan juga pegangan keagamaan mereka.

Peradaban masyarakat Melayu ini sebagaimana yang kita maklum, mereka adalah masyarakat yang lemah lembut, masyarakat yang bertoleransi. Inilah warisan peradaban yang telah diwarisi oleh masyarakat Melayu Islam sejak berkurun-kurun yang lepas.

Oleh sebab itu, bila kita melihat masyarakat Melayu Islam apabila mereka bersatu, ia tidak akan mendatangkan kepada Hegemoni ataupun tidak akan mendatangkan kepada proses Talibanism.

Yang keduanya kita lihat dari segi aspek ataupun susur galur sejarah. Iaitu kewujudan PAS dan Umno. PAS dan Umno ini adalah parti yang sangat relevan daripada dahulu sehingga hari ini. Ia ditubuhkan sejak sebelum merdeka.

Umno ditubuhkan tahun 1946. PAS ditubuhkan tahun 1941. Apabila sahaja berlaku proses persefahaman ataupun proses kerjasama dan penyatuan di antara PAS dan Umno, lazimnya ia akan menjadi suatu dinamo yang menjana kepada perpaduan nasional.

Kita lihat dalam proses menuntut kemerdekaan. Walaupun tidak ada kerjasama rasmi di antara PAS dengan Umno, tetapi kedua-dua parti ini menuntut kemerdekaan, mengemukakan memorandum kepada suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan dan akhirnya kita lihat kita merdeka.

Kerjasama PAS dan Umno ini tidak membawa kepada Talibanism, tidak membawa kepada Hegemoni. Bahkan ia menjana kepada sebuah negara Malaysia yang makmur. Sehinggalah berlaku anasir-anasir yang menggugat kemakmuran itu, yang mahu merungkai tonggak-tonggak Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang berlaku pada tahun 1969, apabila tragedi 13 Mei berlaku 1969, sekali lagi PAS dan Umno, mereka duduk bersama dengan parti-parti seperti MCA dan MIC dalam kerajaan Persekutuan.

Kesatuan kerjasama PAS dan Umno dalam kerajaan campuran bersama dengan MCA MIC akhirnya melahirkan suatu Perpaduan Nasional. Wujud rukun negara, wujudnya suatu bentuk coallition yang mana menggabungkan parti-parti politik daripada Perlis sampai ke Sabah dan kita merasai kesatuan itu. Sehinggalah tahun 2018 apabila datang sekali lagi anasir-anasir yang pernah menggugat kestabilan dan keharmonian kaum seperti tahun 1969.

Hari ini, insyaAllah, kita sekali lagi menjana suatu bentuk perpaduan nasional yang diteraskan dengan kesatuan Ummah melalui kerjasama PAS dan Umno yang didukung oleh parti-parti politik yang menjadi komponen kepada BN dan juga komponen kepada Gagasan Sejahtera.

Yang ketiganya, walaupun piagam yang akan dimeterai ini adalah di antara PAS dengan Umno, tetapi ia melibatkan parti-parti komponen PAS bersama Gagasan Sejahtera, yang ada parti-parti seperti IKATAN. Di mana parti Ikatan ini parti yang multi racial, bersama dengan BERJASA.

Malah dalam PAS sendiri, kami ada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk kaum Iban, Kadazan Dusun di Sabah. Ini adalah merupakan komponen Gagasan Sejahtera.

Manakala komponen BN, masih ada entiti yang kuat, iaitulah MIC dan MCA. Kerjasama di antara PAS dan juga Umno ini, ianya juga merupakan kerjasama di antara Gagasan Sejahtera dengan BN yang sekali gus akan menjana kepada suatu perpaduan nasional yang lebih mantap sebagaimana kita pernah menghadapi tragedi 13 Mei sebelum ini. Maka kita menerokai semula kepada perpaduan nasional yang lebih mantap.

Dan yang terakhirnya, kita lihat dalam konteks demografi, iaitulah masyarakat Islam di negara ini merangkumi lebih 65 peratus daripada penduduk negara. Dan masyarakat Melayu bersama dengan golongan Peribumi merangkumi hampir 70 peratus komposisi rakyat dalam negara kita.

Apabila kita mahu mencapai perpaduan nasional, maka majoriti kaum yang majoriti iaitulah umat Islam 65 peratus, Bumiputera hampir 70 peratus. Kaum ini perlu disatukan dahulu. Bagaimana mungkin ada perpaduan nasional sekiranya kaum yang majoriti dipecah perintah? Bagaimana mungkin ada perpaduan nasional sekiranya kaum yang majoriti golongan yang menjadi teras yang penting kepada pembentukan keharmonian kaum ini, golongan ini dihalang daripada membuat kerjasama.

Jadi saya nak sebut kepada sahabat-sahabat rakyat Malaysia di luar sana, bahawa HPU914 ini sekali lagi akan menjadi dinamo untuk menjana perpaduan nasional. Ayuh mari kita pergi ke HPU914 bergerak ke sana mulai daripada hari ini, insyaAllah esok kita akan memeterai suatu piagam yang sangat bersejarah yang akan sekali lagi menjana perpaduan nasional selepas daripada ini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 13/9/2019