22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Tangkap ‘jerung’ tangani sindiket jual MyKad

Berita
Typography

KES sindiket penjualan MyKad merupakan suatu isu yang serius dan wajar ditangani dengan cermat oleh pihak berkuasa. Maklumat yang didedahkan oleh media massa mengenai penglibatan "orang dalam" berkait dengan agensi yang penting begitu membimbangkan.

Saya mengharapkan agar pihak berkuasa telus dalam melakukan siasatan dan membanteras jenayah ini sehingga kepada penangkapan ‘ikan-ikan jerung’ di atas, serta tidak hanya menumpukan kepada ‘ikan-ikan bilis’.

Sudah pasti di sana terdapat dalang-dalang utama yang masih berselindung di sebalik nama dan jawatan yang telah melakukan pembelotan dan pengkhianatan yang besar terhadap negara ini.

Tambahan lagi, apa yang turut membimbangkan juga adalah kes penjualan MyKad ini akan turut melibatkan jenayah pemerdagangan manusia serta penglibatan kelompok pengganas jika tidak ditangani secara menyeluruh.

Maka, ketelusan dan siasatan komprehensif amat diperlukan bagi menangani jenayah ini supaya tidak terus berulang pada masa akan datang. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Hari ini rakyat merasakan kegagalan kerajaan baru pimpinan PH dalam menangani isu keselamatan negara. Jangan pula nanti rakyat merasakan inilah kerja kerajaan pimpinan PH menggadai negara demi mempertahankan kuasa mereka.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

DATO' CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
12 Muharram 1441H | 12 September 2019 – HARAKAHDAILY 12/9/2019