18
Fri, Oct
24 Artikel Baru

Hayati agenda sebenar Penyatuan Ummah

Berita
Typography

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyeru rakyat Malaysia khususnya para pendukung PAS dan Umno untuk menghayati agenda sebenar penyatuan ummah.

PAS meletakkan asas yang kukuh bersumberkan firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan tolong menolonglah kamu atas kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan”.

PAS dan Umno besetuju untuk saling bekerjasama ke arah membina negara yang lebih baik berasaskan kerukunan yang telah disepakati.

Agenda penyatuan ummah perlu digarap sebelum usaha pembinaan semula negara dilakukan.

Dalam hal ini, PAS berusaha mencari titik persefahaman dan bertolak ansur atas perkara-perkara yang diharuskan. Jika tidak, kesatuan umat Islam akan lemah dan mudah diganyang oleh musuh.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah, kelak kamu akan hilang kekuatan, dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar”.

Piagam penyatuan PAS dan Umno yang akan dimeterai Sabtu ini bukan agenda perkauman sempit. Ia adalah konsep politik baharu untuk membangunkan negara dengan meletakkan asas-asas Islam tanpa meminggirkan kaum-kaum yang lain.

Sewajarnya kita melihat piagam ini dengan menyorot ibrah disebalik Piagam Madinah yang telah dimeterai oleh Rasulullah S.A.W pada tahun 622 Masihi. Dalam Piagam Madinah, sebahagian peruntukannya mengatur hubungan antara Muhajirin dan Ansar, manakala sebahagian lagi mengatur hubungan umat Islam dan bukan Islam.

DUPP menyeru seluruh ahli, pendukung dan penyokong agar sentiasa beristiqamah, cermat dalam tindakan serta berhati-hati dengan agenda pecah dan perintah musuh.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) - HARAKAHDAILY 11/9/2019