20
Fri, Sep
52 Artikel Baru

Kenegaraan: Seru KERABAT sedarkan generasi pewaris

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Bekas anggota tentera diseru terus berperanan dalam masyarakat terutama memupuk kesedaran dan memberi semangat kenegaraan kepada generasi muda agar terus berjuang mempertahankan kemerdekaan.

Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, walaupun negara sudah 62 tahun merdeka dari ancaman musuh, penjajah dan pengganas Komunis, namun kemerdekaan menurut Islam belum dicapai.

Oleh itu ujar beliau, keterlibatan bersama PAS adalah sebahagian perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara di mana bekas anggota tentera dapat menguatkan usaha untuk menegakkan kalimah Allah di bumi ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) Kawasan Tumpat, di Tumpat baru-baru ini.

"Suasana negara hari ini agak mendukacitakan selepas 62 tahun merdeka. Walaupun Perlembagaan letak Islam agama Persekutuan, yang maknanya negara ini telah bersyahadah, tapi tak puasa, tak sembahyang, ibaratnya begitulah.

"Oleh itu PAS mahu laksana seluruh ajaran Islam dalam pentadbiran negara. Tidak langsung bermakna kita khianat agama dan bangsa lain, malah kita diajar menghormati mereka, tidak memaksa mereka, malah membahagiakan seluruh manusia," jelasnya.

Namun menurut beliau, sebaliknya berlaku di bawah pemerintahan PH yang mencanang 'rahmatan lil 'alamin', tetapi kegiatan LGBT, arak dan maksiat pelanggaran agama Allah lain berlaku sewenangnya.

Beliau juga mengajak renungan terhadap akibat dari tidak berkuasanya Islam sebagaimana berlaku di Myanmar, India, Kashmir dan lain-lain apabila umat Islam dihalau, dibunuh dan masjid dibakar serta dirobohkan.

Sedangkan hal demikian katanya, tidak berlaku di bawah pemerintahan Islam apabila masyarakat bukan Islam terjamin keselamatan mereka, selain diajak berbincang berunding dalam banyak hal ehwal kehidupan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menyeru agar bekas anggota tentera menggerakkan peranan menangani serangan pemikiran ataupun hasutan daripada pelbagai idealogi yang selain daripada Islam.

"Serangan (idealogi) Komunis ini pun tak terhenti lagi. Bukan setakat dalam hutan, ada di bandar," ujarnya menuntut ahli KERABAT menggerakkan semangat perjuangan Islam kepada generasi kini. - HARAKAHDAILY 11/9/2019