16
Wed, Oct
15 Artikel Baru

Menjelang 14 Sept, DAP serang di media sosial

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Detik bersejarah parti PAS dan Umno dalam mengukuhkan kerjasama politik menerusi Majlis Menandatangani Piagam Penyatuan Ummah yang kini persiapannya rancak berjalan hanya berbaki dua minggu sahaja lagi.

Majlis tersebut akan berlangsung pada 14 September ini di PWTC.

idris2Meskipun begitu, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pada saat ini pelbagai serangan daripada pihak musuh iaitu DAP dan PH sedang hangat bermain di media sosial untuk menggagalkan usaha kerjasama itu.

Bagaimapun katanya, serangan itu masih tidak mampu merobohkan benteng kerjasama kedua-dua parti itu.

“PAS dan Umno kini terus mara ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

“Demi Islam, negara dan ummah, kita melupakan segalanya. Berani menongkah arus,” katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, ahli di peringkat bawah juga tidak sabar untuk menanti detik bersejarah tersebut.

Beliau turut meminta supaya semua pihak membuat persiapan mental dan fizikal bagi memeriahkan program gilang gemilang itu.

Dalam pada itu, katanya program sepentas rancak berjalan setiap malam untuk mengukuhkan lagi kefahaman di peringkat akar umbi.

“Mereka yang benci kepada kerjasama ini cuba mengungkit kisah lama supaya pengikut kedua-dua parti memprotes.

“Setakat hari ini masih gagal. Malahan ahli yang dahulunya meragui dan sangsi, tidak sabar menunggu tarikh 14 September ini.

“Apa yang menarik, ada beberapa orang aktivis profesional, dahulunya marah kepada PAS di dalam PRU14 telah kembali menyokong PAS dan minta mengisi borang PAS setelah keluar daripada PAS. Alhamdulillah,” katanya dengan nada bersyukur.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli di peringkat kawasan mahupun cawangan menghadirkan diri ke PWTC pada 13 dan 14 September ini bagi melihat detik bersejarah dengan bendera PAS dan Umno akan sama-sama berkibar. – HARAKAHDAILY 29/8/2019