19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Cutikan Adun Tronoh - Muslimat PAS Perak

Berita
Typography
IPOH: Adun DAP Tronoh, Paul Yong Choo Keong yang dibicarakan merogol pembantu rumah warga Indonesia hendaklah dicutikan dari sebarang tugas-tugas rasmi sehingga proses ke atas beliau selesai dilakukan. 
 
Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad menyokong penuh saranan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu agar Exco Kerajaan Negeri Perak tersebut direhatkan. 
 
"Kes ini bukan suatu yang boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan moraliti dan kredibiliti pemimpin yang sepatutnya benar-benar bersih dari sebarang tingkah laku negatif. 
 
"Maruah negara Malaysia juga akan terpalit kerana mangsa yang terlibat adalah warganegara jiran kita iaitu, Indonesia, oleh itu siasatan dan tindakan segera hendaklah disegerakan," tambahnya. 
 
Tegasnya, beliau berharap agar proses keadilan mesti ditegakkan tanpa ada sebarang campur tangan dari pihak-pihak tertentu untuk menutup salah laku yang keji ini. 
 
Beliau juga menasihatkan agar Bendahari DAP Perak tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk berdolak dalih mengenai isu ini, sebaliknya beliau harus akur agar dicutikan dari sebarang tugasan rasmi. 
 
Dr Najihah meyakini bahawa beliau percaya dengan kemampuan pihak berkuasa dalam menegakkan keadilan untuk menyelesaikan kes ini dengan kadar segera. - HARAKAHDAILY 24/8/2019