22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Rakyat bukan ‘baju kalis peluru’ Paul Yong

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mendesak Exco Perak, Paul Yong yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merogol bekas pembantu rumahnya, mengambil cuti sementara perbicaraannya berjalan.

Bagaimanapun, menurut ketua DPIM, Shahir Adnan, Paul Yong dilihat degil apabila tidak mengendahkan nasihat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu untuk mengambil cuti dengan alasan dia mendapat mandat rakyat.

Namun, pihaknya mengingatkan Paul Yong bahawa adalah tidak wajar mengheret rakyat yang menyokong PH ke dalam kes rogol itu.

Tegasnya, rakyat bukan ‘baju kalis peluru’ Paul Yong.
 
“Kami juga terkilan dengan segelintir pemimpin DAP yang mengaitkan kes rogol ini sebagai satu konspirasi politik, walhal perbicaraan baru bermula,” katanya dalam satu kenyataan media.

Berikutan itu, Shahir menyifatkan pemimpin DAP hipokrit kerana pernah menyuruh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abd Razak bercuti berkaitan kes 1MDB, yang ketika itu masih belum dibicarakan lagi.

“Kini, lain pula nada mereka berkenaan kes Paul Yong,” ujarnya.  
 
Tegasnya, kes rogol adalah satu dakwaan yang berat, malahan PH harus mengotakan janji mereka yang mahu mendokong aspirasi ‘rule of law’.

Tambah beliau yang berharap PH tidak 'pilih bulu' dalam melaksanakan aspirasi ‘rule of law’ ini.

Jelas katanya, aspirasi itu harus dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak terhad hanya kepada pemimpin-pemimpin pembangkang dan pengecualian diberikan kepada pemimpin PH terutama DAP. – HARAKAHDAILY 24/8/2019