17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Langkah awal muafakat PAS, Umno Kedah

Berita
Typography

ALOR SETAR: Perjumpaan pemimpin PAS Kedah bersama Umno negeri yang berlangsung pagi tadi merupakan rentetan persetujuan untuk sama-sama hadir ke Majlis Tandatangan Piagam Muafakat Nasional yang akan diadakan pada 14 September ini di Putra World Trade Centre (PWTC).

Bercakap ketika sesi sidang media, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pertemuan itu juga merupakan langkah awal untuk jalinan permuafakatan antara dua parti tersebut setelah beberapa program bersama diadakan di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

"PAS melahirkan rasa gembira dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan berlangsungnya pertemuan yang dikira amat bersejarah dalam tempoh lebih dari 60 tahun sebelumnya.

"Inilah antara kelangsungan program-program bersama yang diadakan sebelum ini sama ada di kawasan, cawangan mahu pun negeri," ujar beliau.

Justeru itu, katanya, Konvensyen Perpaduan Ummah peringkat Negeri Kedah akan diadakan pada 28 September akan datang yang akan dihadiri oleh kedua-dua presiden parti terbabit secara tidak langsung memberi signal kepada rakyat kesediaan dua parti terbesar orang Melayu itu menjalinkan kerjasama atas dasar kepentingan Islam dan kaum berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Jamil Khir Baharom berkata, pertemuan pagi tadi itu merupakan tautan ukhwah dan jalinan permuafatan yang sememangnya diinginkan sejak dahulu lagi.

Berikutan itu kemuncak permuafakatan itu akan disaksikan apabila majlis tandatangan Piagam Muafakat Nasional berlangsung pada bulan hadapan.

"Kerjasama ini bukan sahaja sekadar di peringkat majlis tertinggi tetapi meliputi di peringkat bahagian dan cawangan serta berterusan sehingga PRU akan datang," jelasnya lagi.

Oleh itu beliau mengharapkan agar peluang yang telah dibuka oleh Allah SWT ini akan memberi impak terbaik kepada rakyat terutama dalam keadaan Kerajaan PH gagal merealisasikan Malaysia Baharu seperti mana yang dicanangkan sebelum ini.

Pertemuan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu juga dihadiri oleh jawatankuasa peringkat negeri kedua-dua parti tersebut. – HARAKAHDAILY 22/8/2019

m2