18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

Jiwa besar ulamak Islam Dr Zakir Naik walau dicerca

Berita
Typography
DEWAN Pemuda PAS Negeri Sarawak memandang serius kontroversi yang melanda Ulama Islam Dr. Zakir Abdul Karim Naik yang gagal di tangani oleh kerajaan PH. Kerajaan melalui Jemaah Menteri seolah-olah memberi ruang kepada sebahagian rakyat termasuk beberapa orang pemimpin PH untuk terus menyerang dengan memfitnah DZN tanpa asas bukti yang kukuh bahkan tiada sebarang tindakan mahupun penguatkuasaan. Justeru ia mengundang tindakbalas dari umat Islam yang kurang senang melihat DZN difitnah serta ditekan terutamanya dari pemimpin bukan Islam.
 
Keadaan diburukkan lagi dengan laporan akhbar Malaysiakini dan The Star Online yang memutarbelit kenyataan DZN di Kelantan sehingga mengundang pelbagai spekulasi bahkan membangkitkan kemarahan dan ketegangan antara kaum.
 
Sebaliknya, sikap jiwa besar dengan memohon maaf kepada rakyat Malaysia membuktikan DZN seorang pendakwah yang mementingkan perdamaian dan keamanan. Polemik ini dapat dikawal dan diselesaikan secara harmoni sekiranya semua pihak berlapang dada serta memilih untuk duduk berbincang tanpa ada sikap prajudis atau sangkaan buruk kepada gaya penyampaian dakwah DZN.
 
Pemuda PAS Sarawak percaya dan yakin akan kebijaksaan YAB Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dapat memastikan hak status PR DZN tidak dicabar atau ditarik balik, walaupun ada usaha untuk mengusir DZN keluar dari Malaysia. Dunia Islam amat berbangga akan keberanian Malaysia memberi jaminan keselamatan dan layanan baik kepada ulama Islam yang memerlukan perlindungan seperti yang berlaku kepada DZN. Sebagaimana negara Qatar juga memberi  perlindungan kepada Sheikh Yusuf Al-Qardawi Ulama Islam yang tersohor.
 
Kami juga ingin menasihati rakyat Malaysia khususnya penduduk Sarawak agar mengambil sikap rasional dengan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan salah lapor media yang berniat jahat serta ingin menggugat kestabilan perpaduan, keharmonian kaum dan kesejahteraan rakyat yang selama ini terjamin.
 
Kami ingin menjelaskan kepada penduduk Sarawak yang bimbang dan sangsi akan DZN. Untuk makluman, Dr Zakir Abdul Karim Naik pernah menerima pelbagai anugerah dari pemimpin-pemimpin di seluruh dunia. Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Putrajaya, atas sumbang bakti dan jasa besar beliau dalam dunia Islam. 
 
Melihat kepada itu, DZN jauh lebih baik jika hendak dibandingkan  dengan Chin Peng Pengasas Komunis mahupun talibarut komunis yang membunuh dan menyeksa datuk, nenek dan adik beradik kita suatu ketika dulu, yang kini ia diagong-agongkan oleh salah satu parti dalam kerajaan PH.
 
Akhir sekali, Dewan Pemuda PAS Sarawak akan terus mempertahankan DZN dalam kerangka demokrasi dan undang-undang negara yang menjamin hak dan kebebasan seseorang itu selaras dengan ketetapan Majlis Syura Ulama dan saranan Tuan Guru Presiden PAS.
 
"Demi Islam"
"Untukmu Sarawak"
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY 22/8/2019