19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

DZN: Gambaran sebenar DAP berjaya 'kudakan' PH

Berita
Typography
KINI semua pihak dalam PH umpama sepakat dalam memberi tekanan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik (DZN) hingga arahan agar pendakwah terkemuka itu tidak lagi dibenarkan berceramah ke seluruh negara.
 
Walaupun sebelum ini ada suara masih positif ke atas DZN khasnya dalam membenarkan pendebat itu berdakwah.
 
Dato' Asmawati Ahmad selaku Ketua Komunikasi Korporat PDRM mengesahkan larangan itu berkuatkuasa seluruh negara, malah PM pula menyatakan akan melihat semula status penduduk tetap (PR) yang diterima DZN suatu masa lalu.
 
'Game' sudah berubah sepenuhnya dalam isu DZN.
 
Sudah terang lagi bersuluh, kejayaan DAP memberi tekanan dengan tiga ke empat pemimpinnya dalam kabinet sebelum ini membuat kenyataan bertentangan dengan PM dalam kes DZN. 
 
Malah ianya berjaya mengubah irama PM yang juga bertukar selepas 'spin' yang berjaya dijalankan DAP dan media-media pro mereka dalam kes memberi hambatan keras kepada DZN.
 
DZN berulang kali menyatakan tiada niat menyingggung malah telah menjelaskan bahawa video ucapannya banyak disalahertikan. Dalam penegasan terkininya selepas siasatan Bukit Aman, DZN hanya membawa misi kedamaian dan tidak sesekali membawa perbalahan.
 
Bagi meredakan keadaan, beliau telah memohon maaf kepada seluruh pihak atas salah tafsir apa yang diucapnya, walaupun sebenarnya media lah yang berperanan memanipulasi kenyataannya hingga menjadi gempar dan digambarkan rasis.
 
Namun dalam hal ini, DZN telahpun mengambil pendekatan damai dan memohon maaf, walaupun dia tidak memaksudkan menghina kaum lain di negara ini.
 
Tetapi persoalannya kenapa pihak lain khasnya beberapa pemimpin DAP dan mereka yang berkepentingan dengan DAP yang juga banyak membuat kenyataan rasis menyinggung agama Islam dan Melayu masih lagi diberi ruang seluasnya untuk terus mempertikai kontrak sosial, perlembagaan malah juga institusi beraja.
 
Lihat sahaja kenyataan seorang pemimpin DAP yang menyatakan Melayu bukan kaum asal negara ini, malah ada pula pemimpin kanannya yang secara terbuka mahu rakyat mengangkat perjuangan datuk neneknya bersama pengkhianat kepada tanah Melayu semasa penjajahan Jepun kononnya datuk nenek merekalah pejuang merdeka.
 
Malah lebih menyedihkan pihak yang juga mencetus 'kepanasan' dalam insiden kekecohan di Kuil Mahamariaman dan kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini menjadi orang penting dalam kerajaan PH terus dibiar bersuara dan mempertikai hak umat Islam.
 
Bilamana DAP dan konconya menyuarakan pertikaian ke atas undang-undang Syariah, malah di Selangor speaker dewan yang datangnya dari DAP hingga menghalang MB Selangor membawa usul memperkemas pentadbiran syariah di negeri itu hanya dibiarkan sahaja menyentap hak umat Islam.
 
Mengapa tiada tindakan kepada mereka ini walaupun ratusan laporan polis telah dibuat seluruh negara dalam isu hina agama, pertikai perlembagaan negara dan lain-lain lagi?
 
Suara-suara pembelaan yang datang dari Pan pula tidak kurang hanya menjadi 'kuda sabung' kepada DAP dalam memastikan tauke mereka kenyang perut sambil makan popcorn menyaksikan sekali lagi umat Islam berjaya diperbodohkan dan diperkotak-katik oleh mereka.
 
Adapun suara menolak pelaksaan khat dan jawi di sekolah pula oleh DAP amat disambut baik konconya Pan dan akhirnya menjadi buah untuk menteri mengikut telunjuk melonggarkan pula pelaksanaan. 
 
Mungkin suatu hari nanti bakal pula dihapuskan atas desakan mereka.
 
Inilah yang dikatakan bahawa hari ini suasana demokrasi yang sedang terbina dalam PH hanya demokrasi untuk DAP dan acuannya sahaja.
 
PH hari ini bernada dalam telunjuk DAP yang amat-amat mahu melihat bahawa Malaysia dicorakkan mengikut haluan dan agenda mereka sahaja.
 
Nyatalah kini di Malaysia, dakwah sudah semakin sempit ruangnya, dan selepas ini bakal dicorakkan cara dan urusnya mengikut selera DAP pula.
 
Tidak mustahil selepas DZN mungkin protegenya, kelompok pendakwah tak sehaluan kerajaan PH pula bakal disekat gerak kerjanya.
 
Ingatlah wahai ummah, jika kita masih diam apabila agama kita dihina dan dipermainkan, tunggulah balasan Allah yang amat dahsyat. - HARAKAHDAILY 22/8/2019