21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Isteri mangsa ‘langgar lari’ dapat pencen penakat

Nora menyerah cek pampasan kepada isteri mangsa langgar lari.

Berita
Typography

PASIR MAS: Isteri kepada mangsa ‘langgar lari’ Mahanee Yakaria, 21, akan menerima pencen penakat daripada Perkeso sebanyak RM589.05 sebulan.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, suami Mahanee, allahyarham Rasydi Rosli, 23, meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa langgar lari.

Kejadian itu berlaku di Kampung Kelapa Wangi, Jalan Pasir-Mas Rantau Panang pada malam Ahad lalu.

“Isteri arwah layak menerima sumbangan bulanan sebanyak RM589.05. Ini kerana allahyarham tidak mempunyai zuriat sendiri, jadi pencen penakat itu layak diterima Mahanee sahaja,” katanya ketika mengunjungi keluarga mangsa di Kampung Sena, Meranti dekat sini hari ini.

Selain itu keluarga mangsa turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000. Sumbangan berkenaan diserah Nora kepada Mahanee di rumah ibu bapa mangsa.

Turut hadir bapa mangsa Rosli Sulaiman, 56 serta saudara mara terdekat. – HARAKAHDAILY 21/8/2019