22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Tulisan Jawi datuk saudara Cikgu Lau cantik

Berita
Typography

KOTA BHARU: Sama juga dengan pelajar Melayu di Thailand, mereka belajar dalam bahasa Thai, tidak bermakna mereka menjadi Buddha.

Begitu juga pelajar Cina di Malaysia kalau mereka belajar tulisan khat Jawi tidak pula menjadikan mereka sebagai orang Islam.

“Ia jauh berbeza, perkara yang berlainan sama sekali,” kata bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bahagia Kuala Krai, Lau Chin Chua.

Malah katanya, datuk saudaranya mahir tulisan Jawi di mana tulisannya begitu cantik sekali.

Menurutnya, datuknya itu sering membaca akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi.  

“Biarpun dia mahir tulisan Jawi namun datuk saudara saya meninggal dunia dalam agama datuk neneknya,” kata beliau di sini.

Oleh itu beliau berkata, tidak menjadi kesalahan bagi pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan SRJK Tamil diberi pilihan untuk belajar tulisan khat Jawi.

Katanya, melalui pembelajaran itu dapat menambah lagi pengetahuan mereka tentang budaya dan bahasa yang ada di Malaysia.

“Saya sokong kalau pelajar SRJK Cina dan Tamil diberi pilihan belajar khat Jawi dan bukannya memaksa mereka,” ujarnya.

Isu tulisan Jawi hangat diperkatakan sekarang apabila pemimpin DAP dikatakan mahu mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat semakan semula pengajaran tulisan khat Jawi.

DAP turut mendokong perjuangan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang keras membantah pengenalan khat tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran darjah empat di sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Berikutan sikap itu ramai menyifatkan perjuangan Dong Zong perkauman biarpun bermatian cuba dinafikan pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng. – HARAKAHDAILY 14/8/2019