22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Sektor pertanian di Kelantan meningkat 29%

Pelbagai aneka buah-buahan dan produk pertanian dipamerkan

Berita
Typography

PASIR PUTEH: Perkembangan industri asas tani di Kelantan menunjukkan peningkatan jumlah hasil dan nilai pengeluaran.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, pembangunan sektor pertanian pada 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 29 peratus.

Katanya, peningkatan itu dicatat lebih 470,000 metrik tan dengan nilai lebih RM770 juta.

Katanya bilangan petani dan pengusaha juga bertambah kepada 230,000 orang pada 2018 berbanding 147,000 (2017) iaitu berlaku peningkatan sebanyak 36 peratus.

“Bagi memastikan kemajuan sektor pertanian pelbagai langkah diambil agensi–agensi pertanian termasuk memperkenalkan pelbagai intensif yang bersifat khidmat nasihat teknikal dan kursus.

“Langkah itu sangat penting ke arah menjayakan program pertanian seperti pembangunan tanah terbiar, pembangunan usahawan tani dan program pembangunan industri asas tani,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2019 di Pantai Bisikan Bayu di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/8/2019