18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

YPro ke arah sedia tenaga pakar Kerajaan Teknokrat

Berita
Typography
GOMBAK: Jabatan Pembangunan Graduan Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan program Young Professional (YPro) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini hari ini.
 
Seramai 148 peserta dari seluruh negara mendaftarkan diri di mana mereka adalah para graduan yang baharu menamatkan pengajian dan dibentukkan kepada 10 kluster kepakaran selaras Jabatan Profesional Muda.
 
Program tahunan dengan kerjasama NGO RINTIS ini menjadi sebahagian usaha PAS mengorak langkah proaktif menarik penglibatan belia dalam merangka gerak kerja memimpin Malaysia.
 
Ianya juga ke arah pembentukan Kerajaan Teknokrat digagaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memimpin negara dengan integriti, perpaduan dan keadilan berteraskan Islam.
 
Menerusi program ini, peserta diberi pendedahan mengenai kepentingan dan sumbangan para profesional dalam PAS, selain medan membina jaringan hubungan sesama graduan pelbagai bidang kepakaran.
 
YPro turut menerima perkongsian daripada jurulatih profesional mengenai pembentukan keputusan dan kerangka kerja dalam membina kompetensi dan kredibiliti bidang diceburi mereka.
 
Pelbagai persoalan yang meragukan peserta berkaitan hasrat perjuangan juga telah dileraikan oleh dua ikon profesional muda iaitu Ir Hadi Amat dan Dr 'Uyun Abd Malek dalam slot forum dikemudi Imam Muda Faris.
 
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden dalam tausiyahnya mengupas erti profesional dalam konteks Islam antaranya individu berilmu yang mendalami ilmu.
 
Yakni jelasnya, mereka mengamalkan ilmu secara berterusan untuk memperjuangkan Islam, sekali gus bererti definisi itu meliputi semua bidang sama ada kejuruteraan dan kedoktoran, serta lain-lain.
 
Manakala Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin meletak pasakan keyakinan kepada peserta mengenai peranan memasarkan kemahiran profesion masing-masing ke arah memartabatkan Islam. - HARAKAHDAILY 20/7/2019