18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

PH tidak serius tangani LGBT, bahkan iktiraf?

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dilihat seolah memberi ruang kepada golongan LGBT mempromosikan perjuangan mereka di negara ini.
 
Pengerusi Lajnah Pembangunan 'Alimat dan Keluarga Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail menempelak sikap berlepas tangan Hanipa atas jawapan diberikan di Dewan Rakyat, kelmarin.
 
Timbalan Menteri Undang-undang dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan, perarakan kumpulan LGBT tidak bercanggah dengan Perlembagaan.
 
Jawapan itu diberikan kepada soalan Siti Zailah berkaitan penyertaan dan laungan slogan mempromosi LGBT dalam himpunan sempena Hari Wanita Sedunia di Ibu Negara pada 9 Mac lalu.
 
"Hanipa hanya fokus kepada kelulusan himpunan, namun sebagai umat Islam, isu pokoknya bukan sekadar memenuhi prosedur atau Perlembagaan. Tetapi pengiktirafan terhadap hak LGBT.
 
"Timbul persoalan, dengan tiadanya sebarang tindakan diambil, apakah ini simbolik pengiktirafan dan restu kerajaan kepada LGBT untuk bebas laksana aktiviti di masa depan?
 
"Ini bukan hanya menyalahi fitrah dan mengundang dosa, tetapi juga bertentangan akidah Islam. Iaitu penyebaran idealogi dan gaya hidup bertentangan Islam," bidasnya.
 
Sanggahnya, jika Hanipa bersandar akta hak berhimpun dan Peguam Negara juga tiada kuasa mendakwa perbuatan berkenaan bercanggah Islam, bermakna tembelang Kerajaan PH semakin ketara.
 
Ustazah Mastura mengaitkan hal tersebut dengan tindakan Kerajaan PH sebelum ini yang mahu meratifikasi ICERD di mana cuba menghalalkan kebebasan mengatasi sempadan agama.
 
Malah, beliau melahirkan rasa bimbang betapa sikap Hanipa yang mewakili Kerajaan PH itu dengan mudahnya meremehkan hak kedaulatan perundangan terutama berkaitan Islam.
 
Beliau merujuk peruntukan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan berkaitan sebaran fahaman selain Islam kepada orang Islam dan pencegahan amalan LGBT selaras Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
 
"Kerajaan PH perlu pelajari semula Rukun Negara dalam isu perundangan ini. Malah Menteri Agama juga patut prihatin isu ini. Jika PH dakwa himpunan itu tidak salah, maka sepantasnya pula pindaan undang-undang mesti dibuat.
 
"Ini untuk melunaskan tanggungjawab mempertahankan agama. Apatah PH terutama PAN mengaku untuk memelihara agama selaras tuntutan Maqasid Syariah. Malangnya semua prinsip dan hak Islam tidak dipertahan PH," kesalinya. - HARAKAHDAILY 19/7/2019