21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Daftar automatik: PRU15 mungkin lebih awal

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan pembangkang atas kesepakatan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Diharapkan ia adalah suatu pengiktirafan yang tulus dan bertujuan mengaspirasikan golongan muda ini dengan fastabiqū al-khairat (berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan) dan wa ta’āwanū ‘al al-birri wa at-taqwā (bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa) dalam menyejahterakan negara dan rakyat,” ujar Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya dalam satu kenyataan.

Katanya, penyertaan golongan itu dalam sistem demokrasi berparlimen perlu dibantu dengan maklumat yang benar dan seimbang serta dijauhkan daripada budaya politik kotor dan fitnah supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat.

Menurutnya, oleh kerana sistem pendaftaran automatik itu hanya akan tersedia dalam tempoh dua tahun lagi, berkemungkinan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan lebih awal.

“Maka saya menyeru kepada semua individu yang layak untuk tetap segera mendaftarkan diri sebagai pemilih tanpa menunggu daftar automatik,” ujarnya lagi.

Kini ia lebih mudah kerana boleh dibuat secara dalam talian di portal MySPR Daftar (https://mysprdaftar.spr.gov.my).

Beliau juga mengingatkan organisasi PAS di semua peringkat agar mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada orang awam untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih. – HARAKAHDAILY 19/7/2019