21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Minta Pusat jelas status sebenar royalti Kelantan

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Status komitmen Kerajaan Pusat untuk menjelaskan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan sepertimana dijanjikan; ibarat 'main tarik tali' di mana masih menjadi tanda tanya.
 
Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS - Rantau Panjang) kembali membangkitkan komitmen janji tersebut untuk menuntut kepastian hak royalti Kelantan dibayar oleh Kerajaan Pusat.
 
Beliau mencelah usul Kementerian Kewangan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Amiruddin Hamzah dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini. 
 
Bagaimanapun, Amiruddin (PH - Kubang Pasu) secara ringkas menjawab bahawa pembayaran royalti petroleum tidak berada di bawah kementeriannya. 
 
"Bukan saya tak mahu jawab Rantau Panjang, tetapi yang ini tidak duduk di bawah MOF (Kementerian Kewangan) dia duduk di bawah kementerian yang lain, saya minta maaf," katanya.
 
Isu sama pernah dibangkitkan Siti Zailah 8 Julai lalu yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sebab Kelantan masih belum menerima bayaran royalti dan jangkaan akan dilangsaikan.
 
Dalam jawapan bertulis, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tiada bayaran tunai dibuat oleh PETRONAS kepada mana-mana negeri termasuk Kelantan.
 
Kerana menurut Guan Eng (PH - Bagan) semua lokasi medan petroleum berada melebihi tiga batu nautika di luar perairan negeri-negeri.
 
Namun demikian ujarnya, Kerajaan Pusat membuat bayaran dalam bentuk Wang Ehsan kepada Kelantan bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut.
 
Alasan yang dikemukakannya kerana memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri berkenaan.
 
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di Kota Darulnaim, 9 Julai lalu berkata, pembayaran royalti akan dilaksanakan segera selepas proses selesai.
 
Azmin menyatakan komitmen itu selepas Kerajaan Kelantan menarik semula tuntutan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS berhubung isu royalti. - HARAKAHDAILY 18/7/2019