21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Sesama PH saling berbalah, bawa hala tuju sendiri

Berita
Typography
HULU TERENGGANU: Walaupun PH menang dalam PRU lalu, namun tiada keberkatan kerana mengamalkan politik mengikut hawa nafsu, tanpa  ada halal haram, dosa dan pahala.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berjata, PH juga mengamalkan budaya fitnah yang akhirnya memakan diri mereka sendiri.
 
Antaranya kemuka beliau, menuduh PAS menerima duit daripada Umno RM90 juta, sedangkan mereka tidak mampu menunjukkan bukti, bahkan segala dijanjikan kepada rakyat tidak boleh ditunai.
 
"Berbalah sesama sendiri, hari ini kita melihat Kerajaan PH adalah kerajaan yang tidak ada hala tuju, masing-masing parti di dalam PH mempunyai hala tuju masing-masing.
 
"Hala tuju (berbeza sudut) politik, ekonomi, dan juga hala-hala tuju yang lain walaupun duduk didalam satu kapal, tetapi di dalam kepala masing-masing berlainan," jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Pasca Sidang Dun, di Dewan Sivik Ajil, Kampung Bukit Perah, di sini semalam.
 
Beliau turut menempelak PKR yang tiada kesudahan memikirkan keinginan menjadi Perdana Menteri sehinggakan tidak memikirkan masalah rakyat.
 
"Hala tuju politik DAP pula ialah Malaysian Malaysia, hendak menjadikan negara Malaysia ini bebas. Tiada hak istimewa untuk Islam, Melayu, Bumiputera. Semua (kaum) ada hak yang sama. Ini perjuangan DAP semenjak dahulu," bidasnya.
 
Jelasnya, kerana itu ICERD telah ditentang sehingga dimansuhkan kerana adanya unsur-unsur yang akan merungkai asas di dalam Perlembagaan Negara Malaysia.
 
Manakala, Bersatu menurutnya ada hala tuju tersendiri iaitu untuk menyelamatkan legasi dan Perdana Menteri yang ada pada hari ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"PAN pula hala tuju politik dia DAP, ikut benda yang DAP suruh. PAN ini macam terompoh yang digunakan untuk ke jamban. PAN ini adalah telunjuk DAP," jelasnya.
 
Oleh kerana itulah menurutnya, hala tuju ekonomi di dalam negara telah bercelaru dan tidak dapat menunaikan janji-janji mereka. - HARAKAHDAILY 18/7/2019