21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Daftar automatik: Alamat IC berbeza tempat tinggal

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dato' Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 iaitu menurunkan had umur warga negara yang layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun mencadangkan kepada kerajaan agar menyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul dalam hal pendaftaran automatik setelah usul tersebut diluluskan.

Menurut beliau, antara kekangan besar yang bakal dihadapi setelah usul tersebut diluluskan ialah pendaftaran alamat di kad pengenalan yang berkemungkinan berbeza dengan  tempat tinggal pengundi yang terkini.

"Tidak mudah untuk kita menyelaraskan ataupun menyelesaikan masalah yang mungkin timbul dalam hal pendaftaran automatik ini terutamanya apabila berlaku kepelbagaian atau bermacam-macam alamat di kad pengenalan rakyat Malaysia yang mungkin alamat tersebut sudah tidak wujud pada masa ini," ujarnya ketika membahaskan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019.

Katanya, permasalahan ini perlu diselesaikan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau dalam perbahasan sama turut menyarankan penguatkuasaan pindaan tersebut ditangguhkan supaya pihak kerajaan mempunyai masa mempersiapkan terlebih dahulu segala prasarana ataupun infrastruktur berkaitan dengan pendaftaran alamat.

Bagaimanapun, usul tersebut telah pun diluluskan setelah mendapat persetujuan 211 Ahli Parlimen yang mana menjelaskan bahawa tiada Ahli Parlimen yang membangkang dan tiada Ahli Parlimen yang tidak mengundi.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan turut menetapkan umur minimum bagi calon pilihan raya selari dengan usaha kerajaan menetapkan had umur minimum baru bagi warga negara layak mengundi. Namun, calon tersebut mestilah berpengalaman mengundi beberapa kali sebelum layak menjadi calon untuk pilihan raya.

nik zawawiSementara itu, Ahi Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh mencadangkan pihak kerajaan mewujudkan satu kurikulum di peringkat sekolah menengah supaya generasi muda dapat menilai parti-parti politik yang ada di dalam negara kita pada aspek dasar yang diperjuangkan.

"Supaya apabila tibanya hari pilihan raya, sama ada mereka hendak bertanding ataupun mereka hendak memberi undi kepada mana-mana parti, mereka memberi undi kepada dasar yang dibawa oleh parti.

Katanya, hal ini dibangkitkan demi mengelakkan para pengundi dibeli oleh mana-mana parti atau sebab faktor-faktor lain.

Beliau berpendapat bahawa politik yang berasakan bayaran, ugutan perlu dihentikan segera yang mana menurut beliau gejala ini berlaku secara berpenjangan didalam politik negara.

Katanya, individu yang mengambil langkah lompat parti kemungkinan dibeli pihak tertentu atau diugut oleh mana-mana pihak berkuasa yang menyebabkan mereka mengabaikan perasaan pemilih yang memilih mereka.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar satu Rang Undang-Undang berkaitan lompat parti diperkenalkan bagi mengekang situasi dimana Ahli-ahli Parlimen dari mana-mana blok pembangkang atau kerajaan melompat parti tanpa mengambil kira faktor lain.

takiri3Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula berpendapat demi merealisasikan hasrat untuk mencapai peratusan keluar mengundi yang memuaskan, kerajaan perlu menggerakkan kempen kesedaran mengundi yang merupakan suatu tanggungjawab rakyat dalam mmeilih pemimpin.

Ini kerana beliau berpendapat bahawa bukan hanya generasi muda yang tidak menjalankan tanggungjawab tersebut, malah terdapat juga dari golongan veteran yang meninggalkan amalan yang satu ini.

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan agar kerajaan membantu rakyat menilai pemimpin dengan memastikan maklumat yang tersebar dalam media elektronik ditapis sebaiknya selain berpendapat bahawa reformasi undang-undang berkaitan pilihan raya dilakukan berkenaan tempoh masa berkempen, serta penggunaan wang melampau dalam berkempen. – HARAKAHDAILY 18/7/2019