17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Pelawaan PAS sertai PH: Maaf, tiada selera!

Berita
Typography
KEFAHAMAN yang baik terhadap hukum-hakam Islam mampu menjadikan seorang insan itu insaf serta berusaha melaksanakan segala tanggungjawab yang Allah berikan kepada kita. Hal ini mampu menjadi benteng untuk melindungi kita daripada kejahilan yang sentiasa menuntun kita melakukan perkara yang rugi lagi merugikan, mahupun kepada diri sendiri ataupun manusia sejagat.
 
Politik PH tidak bawa imej Islam
 
Pasca PRU-14 menyaksikan Malaysia Baharu dibawah pemerintahan PH sangat membuli umat Islam khususnya di dalam pelbagai aspek. Hal ini bermula dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Ketua Hakim Negara yang merupakan seorang bukan Muslim. Hal ini sensitif dan imej ini bercanggah dengan tujuan utama Islam sebagai agama Persekutuan yang jelas termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Islam sebagai agama rasmi bertujuan untuk mempamerkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang mengamalkan nilai Islam. Hal ini turut menyimpulkan bahawasanya Malaysia ini sepatutnya dikedepankan oleh orang-orang yang membawa imej Islam juga. Lalu, mengapa mesti jawatan penting sebegini rupa diserahkan kepada beliau? Berbanding pengalaman Tommy Thomas, penulis yakin masih ramai lagi orang melayu Islam khususnya lebih layak dari beliau menduduki jawatan tersebut.
 
Perkara 3(1) ini juga turut menuntunkan rakyat Malaysia untuk sentiasa memahami dan mempelajari agama Islam. Erti Islam itu sendiri sangat besar jika nak dibandingkan dengan namanya yang hanya berasal dari lima huruf Alif, Sin, Lam, Alif dan Mim. Islam mengajarkan kita bahawa memilih agama sebagai anutan ini bukan satu perkara yang ringan dan perlu diremeh-temehkan.
 
Pelbagai usaha dan suara sumbang yang ingin meratifikasikan ICERD adalah mencabar kedaulatan Islam di dalam perlembagan. ICERD ini di dalamnya ada pelbagai kepincangan, dan ramai orang Islam khususnya telah salah memahaminya dek mungkin kerana kurang membaca dan sebagainya.
 
ICERD menindas kedaulatan Islam
 
ICERD sendiri di dalam fasa 5(6) jelas menuntunkan agar rakyat diberi kebebasan beragama atau bahasa mudahnya ialah bebas bertukar agama (murtad). Hal ini sangat membimbangkan kita kerana jika Malaysia meratifikasikan ini, maka dikemudian hari pasti seorang bapa itu tidak akan mampu lagi menghalang anaknya dari murtad.
 
Dengan berbangkitnya perkataan murtad ini, penulis yakin Menteri Agama bersama kabinet Jemaah Menteri yang beragama Islam pasti faham dan tahu bahawa murtad ini adalah satu kesalahan yang besar di dalam Islam dan kita semua perlu meyakini itu sesuai dengan hadis Nabi Muhammad Saw :
 
Diriwayatkan oleh 'Abdullah: Rasulullah berkata, "Darah seorang Muslim yang mengaku bahawa tiada lain yang hak disembah selain Allah dan bahawa aku adalah Rasul-Nya, tidak boleh ditumpahkan melainkan dalam tiga kes: Dalam Qisas bagi pembunuhan, orang berkahwin yang melakukan hubungan seksual haram dan orang yang beralih dari Islam (murtad) dan meninggalkan Muslim." -Hadis Riwayat Bukhari
 
Selain itu, terdapat juga suara-suara mereka yang berstatus pemimpin PH ini berani menyatakan bahawa sekolah tahfiz di Malaysia ini sudah banyak melahirkan Muslim ekstrimis. (Tuan Haji Aminuddin Yahaya, 2019) Lalu persoalan ini timbul, apakah rupa pelajar tahfiz yang mereka inginkan? Adakah seorang tahfiz yang mendiamkan diri ketika kerosakan Islam jelas berlaku? Atau adakah seorang tahfiz yang sentiasa ada untuk mengharmonikan setiap kesalahan PH? Penulis masih keliru untuk memahami logik pimpinan PH tersebut kerana mungkin logiknya tinggi dan lebih ‘tahfiz’ dari para Huffaz itu sendiri.
 
Mereka berani-beraninya lantang mengkritik pembelajaran agama Islam yang kini didakwa terlalu meluas di peringkat pra sekolah, sehingga universiti sejurus mengatakan “Udah macam tahfiz semuanya!” Inilah yang dikatakan sikap politik rojak, sanggup mengetepi dan menjual agama demi survival politik dan hal ini amat buruk sekali untuk diamalkan. Jika perkara ini datangnya dari mulut mereka yang tiada berkepentingan, maka penulis faham mereka ibarat golongan yang hanya ‘kacau daun’, tetapi sayangnya ia keluar dari mulut pimpinan dan sungguh layak bagi umat Islam itu merasa bimbang.
 
Mungkin golongan minoriti seperti mereka ini masih tidak faham, sesungguhnya agama itu menjadi sesuatu yang penting dalam mewujudkan masyarakat dan sistem sosial, kerana segala masalah sosial yang berlaku pada hari ini, semuanya akan berbalik kepada penyelesaian dalam beragama. (Nazmi Yaakub, 2019)
 
Politik Rojak cemar perjuangan Islam
 
Adalah hak Allah untuk kita sentiasa memperjuangkan hukum-Nya dan ia wajib ditunaikan kerana itulah tujuan utama kita dihidupkan, ditiupkan ruh dan lahir ke muka bumi menjadi makhluk yang paling sempurna antara makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Allah sendiri dihadapan malaikat menggelarkan insan dengan gelaran khalifah.
 
Allah SWT berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Kemudian, malaikat menjawab dengan katanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Lalu, Allah menjawab persoalan itu dengan menyatakan: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah: 30)
 
Allah tahu dan Rasulullah juga tahu, bahawa umat Islam ini dilahirkan untuk memimpin. Maka dari itu, datangnya Al-Quran sebagai satu manual, terkandung di dalamnya tunjuk ajar Allah tentang bagaimana Islam memimpin perpaduan. Politik rojak yang berlaku hari ini adalah kerana keingkaran kerajaan PH mengikuti Al-Quran, lalu berusaha untuk mencemar nama baik perjuangan Islam kerana ingin memenangkan agenda jahiliyyah mereka.
 
Hari ini kita hamper setiap hari kita disajikan kenyataan-kenyataan rosak oleh para pimpinan PH dalam menyelesaikan isu hal ehwal agama Islam. Antaranya ialah video lucah pimpinan parti komponen PH, pelaksanaan pindah kuasa PM antara Tun M dan Anwar Ibrahim. Hal ini akan menjadi masalah besar jika tidak ditangani dengan segera.
 
Siasatan kes video lucah: Mengapa perlu sibuk mencari watak adegan? Bukankah lebih baik mencari dalang orang yang menyebarkan video tersebut? Penulis yakin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mampu menjejak penyebar awal video tersebut jika penyiasatan mendalam dilakukan dengan cara mengenal pasti linked  account antara penyebar awal dengan end user.
 
Perjanjian penyerahan kuasa kepada Anwar: Anwar Ibrahim patut melupakan cita-citanya untuk menjadi PM ke-8 kerana beliau dianggap tidak layak. Hal permasalahan penyerahan kuasa ini sering berubah-ubah susulan setiap kali perjumpaan antara Anwar dan Tun M berlaku. Perjumpaan pertama kata dalam tempoh satu tahun, perjumpaan kedua kata dua tahun, perjumpaan ketiga kata tiga tahun. 
 
Penulis yakin, rezeki tidak akan salah alamat. Kenapa kita perlu berpanas punggung dalam menginginkan jawatan? Penulis berasa lebih baik untuk Anwar tunggu sahaja sehingga PRU-15, bertanding semula di peringkat Parlimen dan dia boleh terus jadi PM. Itu pun jika rakyat masih pilih dia.
 
Namun begitu, persoalan ini turut timbul, adakah kes seperti ini sengaja diadakan susulan daripada kegagalan PH dalam membuktikan PAS menerima dana RM90 juta daripada 1MDB? Dan hari ini, kita melihat dua pimpinan tinggi PAN iaitu Mahfuz Omar dan Husam Muda pula sibuk mempelawa PAS menyertai PH? Sungguh, logik pimpinan PH ini kelihatan gusar dan tiada hala tuju.
 
Penulis disini tegas menyatakan, PAS tiada selera untuk menyertai PH dan PAS tegas berprinsipkan Islam dan itu adalah dasar parti. Inilah manual perjuangan yang terkandung di dalam Al-Quran. Wajib bagi setiap umat Islam yakin, bahawa sebaik-baik perjuangan ialah menegakkan Islam. Dan parti manakah yang lebih menepati perjuangan Islam selain dari PAS? Tidak ada. - HARAKAHDAILY 17/7/2019