17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Perjuangkan nasib nelayan tempatan

Berita
Typography
DALAM tempoh dua minggu sidang Dewan Rakyat, terdapat dua piket penting yang telah dianjurkan oleh para nelayan di bangunan Parlimen. Kedua-dua piket tersebut merupakan simbolik hasrat hati para nelayan yang kini berhadapan dengan cabaran getir melibatkan periuk nasi mereka. Umum mengetahui, mereka adalah golongan yang mudah terjejas dan perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan. Mereka turut bergantung kepada subsidi. 
 
Kumpulan nelayan pertama dari Pulau Pinang yang membantah projek penambakan di Permatang Damar Laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudian akan dijual bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dianggarkan bernilai RM46 bilion. Pihak Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mengemukakan pelbagai dampak buruk meliputi sosio ekonomi rakyat dan ekosistem laut. Projek ini perlu dibatalkan dan ditolak sepenuhnya oleh rakyat. 
 
Kumpulan nelayan kedua pula dari negeri-negeri Pantai Timur yang mendesak pihak kerajaan untuk mengambil tindakan agresif untuk mengusir vesel nelayan asing di kawasan perairan laut negara. Berdasarkan statistik dari tahun 2017 hingga Mei 2019, sebanyak 341 kes tangkapan vesel nelayan asing telah dibuat dan membabitkan rampasan bernilai RM682 juta. Walhal, Ketua Pengarah Perikanan mengakui tidak pernah mengeluarkan lesen laut dalam kepada warga asing.
 
Selain itu, satu lagi isu yang perlu diberikan perhatian ialah penggunaan pukat tunda. Walaupun penggunaan pukat tunda dikatakan efisyen tetapi ia sangat destruktif. Operasi pukat tunda yang menggunakan dua papan tunda akan merosakkan ekosistem dan merosakkan habitat marin. Selain itu, banyak vesel pukat tunda tempatan juga telah menceroboh kawasan pantai. Berdasarkan rekod dalam tempoh dua tahun, sebanyak 786 kes vesel pukat tunda telah ditahan kerana menceroboh.  
 
PAS bersetuju dengan tuntutan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) yang mahu supaya hukuman yang lebih berat dikenakan kepada vesel-vesel yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di Zon A. Selain itu, PAS juga menggesa pihak penguatkuasa dapat menjalankan tugasan lebih drastik untuk mengenakan tindakan kepada pihak-pihak yang menjual, memiliki dan menggunakan alat tangkap yang dilarang dan boleh memusnahkan sumber perikanan. 
 
Pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak serta terus komited untuk melaksanakan Dasar Penghapusan Pukat Tunda di Zon B dan Dasar Penghapusan Pusat Kenka Dua Bot sepertimana yang terdapat dalam Pekeliling Perlesenan Bil 4/2015 bertarikh 28 Disember 2015 dan Pekeliling Perlesenan Bil 3/2016 bertarikh 14 April 2016. 
 
PAS sebagai parti politik yang begitu dekat dengan masyarakat luar bandar harus menjuarai nasib para nelayan. Mereka memerah keringat untuk mencari rezeki di laut bagi menampung kehidupan harian dan juga membekalkan hasil tangkapan kepada kita semua. Perkara yang berlaku perlu diberikan perhatian penting dan suara mereka mesti didengarkan kepada pihak kerajaan dan agensi-agensi terbabit.  
  
Sekian, terima kasih. 
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS 
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)  
14 Zulkaedah 1440 | 17 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 17/7/2019