19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Mengapa rakyat melihat PAS baik?

Berita
Typography
TIGA minggu lepas, PAS telah selesai mengadakan Muktamar Pusat ke 65 di Kuantan. Mungkin masih ramai lagi yang merasa kehangatan dan kemeriahan berjumpa dan berdiskusi sesama ahli, melepaskan rindu atas nama ukhuwah Islam. Semoga kita semua termasuk dalam jaminan syurga dari hadis sahih iaitu golongan yang bertemu dan berpisah kerana Allah.
 
Saya amat tertarik dengan beberapa usul yang diluluskan. Dan paling terpikat untuk jari jemari saya menulis ialah kelulusan menubuhkan Dewan Ulamak PAS Kawasan menggantikan Urusan Ulamak PAS Kawasan. Ia dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan. Saya yakin, ini sebenarnya memberikan satu indikasi yang sangat bermakna.
 
Sejarah PAS telah menukilkan bahawa PAS bergerak sendiri dengan menggunakan semaksima mungkin, kepakaran ahli-ahli mereka. Apabila tidak mendapat kebebasan berdakwah di masjid kerajaan kerana halangan birokrasi, PAS akan membina masjid-masjid dan surau-surau mereka sendiri. Apabila bantuan dari kerajaan yang sepatutnya diterima oleh orang PAS, tetapi dinafikan secara salah, PAS akan mengerahkan ahlinya mencari bantuan sendiri.
 
Bila saja anak-anak PAS tidak mendapat silibus persekolahan yang sepatutnya mengikut acuan Islam, PAS dengan beraninya menubuhkan sekolah mereka sendiri, sukatan pelajaran mereka sendiri, duit mereka sendiri, tangan mereka sendiri, peluh mereka sendiri. Tidak sedikit ahli bawahan yang percaya kepada pahala dan jaminan kesejahteraan masa depan melalui pendidikan Islam ini, sanggup meninggalkan gaji harian mereka, semata-mata mahu membantu membina sekolah ini.
 
Akhirnya, penat lelah, sakit perit mereka berbaloi. Mereka berjaya mendirikan sekolah yang mungkin kurang sempurna berbanding dengan sekolah kerajaan yang ada segalanya. Tidak terhenti setakat itu, mereka juga harus membayar yuran sekolah kerana sekolah tidak mendapat gaji atau peruntukan dari kerajaan, atau kalau adapun, amat sedikit. Jauh jumlahnya dengan sekolah swasta Cina dapat.
 
Jika ada kuliah agama atau ceramah agama, mereka sekali lagi dengan senang hati, menyeluk poket mereka, menghulurkan wang atas kepercayaan Allah akan mengira itu semua sebagai pahala. Terkadang yuran tidak terbayar kerana kurang wang, pelajar tetap boleh belajar. Guru-gurunya hanya menerima gaji yang sangat rendah. Mereka yang cekal sahaja boleh bertahan di sini.
 
Memang benar sekali ungkapan dari almarhum Dato’ Harun Taib, apabila ditanya ahli, dari manakah duit nak diambil untuk memulakan projek dalam PAS. Beliau menjawab sambil tersenyum, yakin dan tenang, dari dalam poket kita semua. Tiada kedengaran ahli PAS kebuluran kerana sedekah mereka. Beliau juga seboleh-bolehnya tidak mahu pelajar-pelajar dibuang kerana kenakalan, buka peluang kepada mereka kerana sekolah PAS diibaratkan sebagai hospital yang merawat semua penyakit.
 
Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) itu dibina ketika mana zaman yang mengejar pembangunan, materialistik sedang menekan pedal halaju mereka dengan penuh kegilaan. Ibu bapa masing-masing dengan kesungguhan mahu melihat anak-anak mereka menjadi doktor, peguam, pegawai itu, pegawai ini, atas niat mahu menjadi kaya, takut miskin, kebulur dan menjadi hina.
 
Pelajar-pelajar sekolah agama ketika itu dikira sebagai pelajar kelas ketiga, kerana kebanyakan mereka adalah yang tidak mendapat keputusan cemerlang. Ayat-ayat seperti daripada mereka jadi nakal, baiklah masuk sekolah agama, nak ke sekolah sains atau sekolah pilihan, keputusan teruk, menjadi ratiban yang sangat umum, difahami dan dimaklumi. Jadilah sekolah agama ini, tempat buangan.
 
Itu untuk sekolah agama kerajaan. Lebih parah ialah SAR. Langsung dilihat tiada masa depan. Apa budak tu nak makan bila besar nanti? Boleh sambung belajar ke kalau SPM tak ada? Maaf kawan-kawan sekalian, aku juga berfikiran sebegitu suatu ketika dahulu. Lirikan mataku kepada pelajar-pelajar sekolah agama ketika zaman itu adalah lirikan hina. Yang hanya kita tahu, konon kita yang jaga rezeki kita, kita lupa Allah yang menjaga rezeki dan kepada siapa Dia mahu berikan.
 
Kini, SAR yang dibina PAS yang menjadi kutukan masyarakat dahulu, telah memberikan hasil. Tuaiannya saban tahun semakin berkualiti dan dengan kuantiti yang semakin bertambah. Hasilnya dinikmati rakyat. Pimpinan PAS tidak berpeluk tubuh, keringat orang bawah yang membina sekolah, mereka balas dengan membina rangkaian sekolah ini sehingga peringkat antarabangsa.
 
Pimpinan PAS berjaya meyakinkan masyarakat dunia Islam bahawa mereka mempunyai jenama yang sangat diyakini. Mereka diterima. Dan kitaran ilmu berjalan sempurna. Ramai pelajar-pelajar yang sudah lulus seperti dari universiti seperti al-Azhar kemudiannya kembali dan mengambil tempat sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah lama mereka. Tidak kurang juga curahan sedekah bagi menampung kos operasi, datang dari bekas pelajar-pelajar ini.
 
Kualiti sekolah perlahan-lahan mendaki gunung kehebatan. Pelajar-pelajar mereka juga bertambah kuat dan akhirnya bertebaran ke seluruh pelusuk bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia. Mereka yang dahulunya dipertikai kerana tiada SPM itu tidak sedikit menjadi menjadi pegawai kerajaan dan berkhidmat dengan cemerlang. Rupanya SPM yang digahkan oleh kerajaan itu, boleh diambil untuk sekadar lulus, sebagai sijil dilampir sahaja dan ijazah universiti itulah yang lebih dilihat dalam menilai.
 
Lebih dari itu, wajah-wajah exco, wakil rakyat dan juga calon PRU ramai juga yang terdiri daripada mereka bekas pelajar di SAR ini. Untuk guru-guru KAFA, tidak perlulah dihitung kerana ianya hanya menambahkah lagi rasa kejutan anda yang mungkin belum reda terkejut. Inilah hasil puluhan tahun kerja keras yang diusahakan oleh ulamak-ulamak PAS. Disebabkan SAR sangat laku sekarang, maka kerajaan juga terpaksa membuka sekolah agama baharu bagi mengimbangi permintaan tinggi SAR ini.
 
Sekarang dengan lulusnya usul menubuhkan Dewan Ulamak PAS di kawasan-kawasan yang PAS ada, menambahkan lagi keyakinan kita bahawa, Malaysia tidak kekurangan ulamak. PAS mempunyai 197 kawasan. Keperluan minima bagi menubuhkan Dewan Ulamak ialah 25 orang. Jika dibuat matematik mudah, 25x197, PAS mempunyai 4,925 orang ulamak. Ianya masih sedikit berbanding dengan jumlah sebenar, kerana di sesetengah kawasan, PAS mempunyai ribuan ulamak.
 
Namun, PAS pada pandangan sesetengah orang adalah buruk. Segala-galanya buruk. Sehingga jika ada orang yang berkelakuan hodoh dan bercakap Kelantan pun sekarang, mesti dia dikata orang PAS dan berbagai tohmahan lagi yang difikirkan sesuai dengan benak mereka, walaupun dia tahu orang tidak percaya. Mungkin menggunakan konsep yang sama seperti Yahudi, apa yang yang bohong jika disebut berulang-ulang, akan dipercayai orang, maka mereka teruskan jua.
 
Tetapi kenyataan yang benar, tetap benar, walaupun dihiasi dengan berbagai solekan palsu. Dari waktu ke waktu, PAS semakin bersinar di hati rakyat, tetapi lebih dipercayai rakyat untuk diserahkan cinta mereka. Lihat sahaja pertambahan ahli saban bulan, ribuan yang memohon masuk PAS. Dengan pelbagai kepandaian yang ada dalam jemaah PAS, mereka membantu membangunkan bukan sahaja material, tetapi lebih utama menghidupkan jiwa Islam yang mati.
 
Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman agama." Ulamak ialah golongan yang memahami agama. Terdapat ribuan ulamak di dalam jemaah PAS, yang tiada dalam lain-lain pertubuhan di Malaysia. 
 
Maka secara tidak langsung, PAS mendapat limpahan rahmat ini, kerana PAS menjadi tempat berkumpulnya ulamak. Dan sangatlah munasabah apabila rakyat melihat PAS baik, kerana hadis di atas telah menjelaskannya. Jemaah PAS memahami agama kerana Allah memberikan kebaikan. Ia datang dari dalam jiwa insan yang baik, bukan dipaksa.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Bukit Payong, Marang
15 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 15/7/2019