16
Wed, Oct
22 Artikel Baru

Akhirnya arak tidak lagi dijual di 7-Eleven Selama

Berita
Typography
LARUT: Usaha berterusan menerusi perbincangan bersama pihak kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven Pekan Selama, membuahkan hasil apabila premis itu tidak lagi menjual arak mulai 20 Julai nanti.
 
Adun Selama, Ustaz Akmal Kamarudin berkata, pada 15 Julai nanti pihak 7-Eleven akan memulakan operasi mengosongkan premis mereka dari sebarang botol arak.
 
Jelas beliau, usaha dibuat selama ini juga adalah hasil sokongan ramai yang membuat bantahan secara harmoni menerusi kutipan tandatangan penduduk setempat terutama warga Muslim.
 
"Asas bantahan kami ialah majoriti warga Selama beragama Islam. Malah, semua pekerja termasuk pengurus 7-Eleven Pekan Selama juga beragama Islam. Lagipun telah ada beberapa kedai milik bukan Islam yang menjual arak.
 
"Walaupun usaha ini kecil dan remeh bagi setengah pihak, tetapi bagi kami ini adalah sesuatu yang amat besar dan bermakna dalam hidup kami menuju ke alam Akhirat kekal abadi.
 
"Kami telah letak KPI semasa kempen PRU14 lalu, akhirnya kini Allah makbulkan," ujar bekas Ketua Pemuda PAS Perak itu namun menegaskan usaha memakmurkan bumi Allah dengan Islam masih belum selesai.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kejayaan tersebut dan berharap ianya mendatangkan bahagia dan kesejahteraan kepada umat ini. - HARAKAHDAILY 10/7/2019