20
Sun, Oct
14 Artikel Baru

Lantik transgander wakili CCM bukan pilihan tepat

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Isu pelantikan transgender sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia oleh Kementerian Kesihatan mewakili Kerajaan Malaysia telah mendapat kritikan daripada banyak pihak. 
 
Pengerusi Lajnah Pembangunan ‘Alimat Dan Keluarga Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail mempersoalkan rasional pelantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina bagi mewakili komuniti mak nyah dalam CCM.
 
“Kita dimaklumkan bahawa ahli CCM akan mewakili Malaysia untuk mendapatkan dana daripada Globalfund, sebuah badan antarabangsa yang menyumbang dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkolisis dan Malaria.
 
“Sepatutnya pihak lain yang lebih berautoriti dipilih untuk menghentikan penularan penyakit ini kerana pemilihan transgender seolah-olah satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan mak nyah,” tegas beliau.
 
Menurut Ustazah Mastura, golongan transgender ini tidak sepatutnya diberi pengiktirafan, tetapi seharusnya diberi pendekatan agama kerana cara kehidupan mereka menyebabkan jauh dengan masjid serta majlis-majlis ilmu. 
 
"Islam mengharamkan pertukaran jantina atas sebab ia bertentangan dengan fitrah kejadian manusia dan mengelakkan terjadinya hubungan atau perkahwinan kaum sejenis yang mengundang HIV AIDS. Inilah bukti kemurnian Islam dalam usaha pencegahan demi memelihara keharmonian umatnya.
 
“Oleh itu, kerajaan perlu merangka penyelesaian yang lebih serius membanteras LGBT kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati gejala HIV dan AIDS yang mengancam kesejahteraan keluarga serta masyarakat,” tambah beliau memberi saranan.
 
Ustazah Mastura turut menyeru Menteri-menteri serta kepimpinan PH lebih prihatin dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam menentukan dasar dan hala tuju kerajaan. - HARAKAHDAILY 10/7/2019