20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

Cukai: MP Pendang persoal Menteri Kewangan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Berkenaan penggunaan data analitik untuk mengekang masalah enggan membayar cukai (tax defaulters), Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim turut mempersoalkan Menteri Kewangan, mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (Voluntary Disclosure Program).

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan bagi sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, program khas itu harus dilakukan secara efektif supaya ketirisan cukai dapat dibendung dan pelaporan pendapatan individu dapat dilaporkan secara tepat, munasabah dan amanah.

Sementara itu, beliau juga mahu, supaya pihak Kementerian Kewangan dapat mengoptimumkan sepenuhnya penggunaan sistem ‘big data analytics’ dan sistem ‘Automatic Exchange of Information’ (AEOI), yang diinisiatifkan oleh Organisation for Economic Cooperation (OECD) dalam mengakses maklumat kewangan individu dan syarikat.

Malah katanya, sistem berkenaan harus berfungsi dengan cekap bagi mengimbangi Program Khas Pengakuan Sukarela.

“Paling penting sejauh mana sistem ini berupaya untuk mengesan pihak-pihak yang enggan membayar cukai, terutama yang berselindung disebalik aktiviti ‘black economy’ yang berkemungkinan besar boleh berlaku dalam rejim percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2019