19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

Islam Memimpin, Wanita Sejahtera agenda besar

Berita
Typography

KUANTAN: Islam Memimpin, Wanita Sejahtera menjadi tema pilihan untuk Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Kali Ke-59 yang menjadi agenda besar.

Penyelaras Muktamar DMPM, Dr Nurul Hani Ali berkata, pemilihan tema ini kesinambungan daripada Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden pada Muktamar 2017 iaitu “Sejahtera Bersama Islam” dan pada 2018 iaitu “Islam Memimpin”.

"Ia supaya menjadikan muktamar ini sebagai wadah muhasabah diri, berukhuwwah, berorganisasi dan mengukuhkan siasah serta menyebarkan dakwah," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS yang diadakan di Bukit Gambang City, Pahang.

Beliau turut meluahkan rasa berbesar hati kerana buat julung kalinya perasmian muktamar DMPM tahun ini dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam masa yang sama, Dr Hani mengucapkan terima kasih kepada Dewan Muslimat PAS Pahang yang sudi menjadi tuan rumah untuk muktamar tahun ini.

"Berharap muktamar tahun ini dapat berjalan dengan jayanya.

"Seterusnya dapat mengeratkan lagi ukhuwwah antara perwakilan dan mendapat rahmat daripada Allah SWT," katanya.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik; dan barisan kepimpinan DMPM yang diketuai oleh Senator Ustazah Nuridah Mohd. Salleh serta barisan wakil wanita Umno.

Tidak ketinggalan barisan kepimpinan wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS diketuai Cik Kumutha A/P Raman dan parti gabungan Gagasan Sejahtera dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 15/6/2019