20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Ulamak mesti siap sedia hadapi agenda musuh

Berita
Typography

BATU KAWAN: Pembinaan ulamak, umarak dan amilin bukan sahaja penting untuk menggerakkan agenda perjuangan jamaah, malah juga dalam menghadapi cabaran semasa daripada musuh.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof menegaskan perkara tersebut pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang Kali Ke-40, semalam.

Perasmian telah disempurnakan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pada majlis yang dihadiri perwakilan dan pemerhati seluruh negeri ini dan dilangsungkan di Majmak Turath Islami, Juru, di sini.

Jelas Ustaz Fauzi, program tarbiah dan kepimpinan perlu diberi perhatian serius di semua peringkat bermula dari Cawangan agar mampu melahir dan menyediakan tenaga disebutnya itu.

Beliau turut menekankan kepentingan ahli-ahli PAS memandu ke depan menjadi teras usaha ta'awun antaranya hadir ke setiap Himpunan Perpaduan Ummah bersama sekalian ahli Umno.

Peringat beliau, cabaran dari musuh adalah untuk melemahkan Islam sebagaimana agenda DAP menerusi pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Terangnya, projek itu bukan semata-mata implikasi pembinaan terowong, penambakan tiga pulau buatan dan rangkaian lebuh raya, tetapi isu terbesarnya adalah mengubah demografi penduduk.

Perinci beliau, hal tersebut ke arah membuka ruang penambahan bilangan kerusi DAP dalam pilihan raya yang seterusnya akan mengancam dan melemahkan Islam dan Melayu di negeri ini.

Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Tajuddin Abu Bakar pula dalam ucapannya mengutarakan peranan ulamak dalam memberi panduan pelaksanaan ta'awun siyasi dan memberi kesedaran.

Beliau merujuk usaha menggempur penambahan daftar pemilih dan menarik seramai mungkin para asatizah untuk terlibat bersama dengan perjuangan Islam menerusi wadah PAS.

Sempena majlis tersebut juga telah disampaikan Anugerah Tokoh Istiqamah kepada Ustaz Wahid Md Desa dari Nibong Tebal dan Ustaz Moin Hashim dari Tasek Gelugor. - HARAKAHDAILY 22/4/2019

IMG 20190422 WA0012