15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

PAS - Umno seolahnya tidak pernah berlawan

Berita
Typography
LENGGONG: Kerjasama PAS dan Umno sepanjang kempen PRK N.27 Rantau dilihat lebih erat dan serasi, seolah-olah pimpinan, ahli-ahli dan para penyokong kedua parti tidak pernah berlawan selama ini.
 
Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, jentera kedua-dua parti berganding bahu dengan penuh kemesraan, bekerja keras untuk memenangkan calon BN, Dato' Seri Mohamad Hassan.
 
Menurutnya, mereka tidak termakan dengan dakyah-dakyah pihak lawan, malah momokan mengatakan kerajaan terdahulu mencuri duit rakyat tidak lagi menjadi senjata berbisa buat PH.
 
"Siang malam mereka berkempen dengan penuh kemesraan, menjadikan gandingan jentera kedua-dua parti sangat erat seolah-olah tak pernah berlawan selama ini," ujarnya kepada Harakahdaily dalam satu kenyataan yang dibuat dari Rantau hari ini.
 
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, mengetuai Jentera PAS Perak digandingkan dengan Jentera Umno Terengganu diketuai bekas Menteri Besarnya, Dato' Ahmad Said.
 
Terangnya, gandingan yang sangat erat dan mesra itu, seolah-olah mereka berada dalam satu parti dan mereka bekerja bersungguh-sungguh dari mula hingga akhir tempoh berkempen.
 
Kesungguhan mereka bekerja untuk memenangkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tok Mat, tambahnya atas kesedaran keadaan ekonomi negara yang tidak terurus dengan baik oleh kerajaan ysng memerintah sekarang ini.
 
Selain itu, bebanan hidup rakyat yang semakin terhimpit berikutan pendapatan yang bertambah susut apabila harga komoditi khususnya getah dan kelapa sawit yang terus merudum, tambahnya.
 
"Rakyat sedar kerajaan PH bukan sahaja dilihat tidak mampu untuk menunaikan janji-janji semasa PRU14 lalu, malah tidak mampu mengurus dan mentadbir negara," bidas beliau. - HARAKAHDAILY 13/4/2019