PAS sokong usul darurat di Pasir Gudang

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh usul isytihar darurat yang dibentang Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim di Parlimen petang ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi semasa di Pasir Gudang ketika ini memerlukan isytihar darurat kerana ia membolehkan kerajaan menurunkan sepenuhnya bantuan dari semua kekuatan agensi yang ada untuk menyelesaikan bencana yang sedang melanda Pasir Gudang.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang berbahas semasa sesi sidang khas usul tergempar mengingatkan kerajaan bahawa kegagalan pelbagai aspek termasuk pemantauan, tindakan pantas mengatasinya menyebabkan ramai menjadi mangsa.

Beliau juga mahu kerajaan melihat kembali peruntukan khas dalam akta terkait dengan alam sekitar untuk dipinda agar pelaku pencemaran ini diberi hukuman setimpal.

"Denda RM500,000 ini tidak berbaloi, bila musibah, rakyat mangsa, bukan syarikat yang kena," katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu diperhatikan, banyak pencemaran telah berlaku selama ini, tetapi tiada tindakan yang benar-benar mampu mengatasi dan memberi pengajaran kepada si pelaku.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan meluluskan segera usul isytihar darurat ini berdasar situasi semasa.

Pun begitu, kerajaan menegaskan tidak akan mengisytiharkan darurat buat sementara waktu ini berdasar darurat.

Situasi terkini berhubung pencemaran udara akibat sisa pembuangan bahan kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang semakin teruk.

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup serta-merta hari ini berikutan situasi yang dilihat semakin kritikal susulan pencemaran toksik sejak Khamis lalu.

Dalam pada itu, jumlah mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang ditempatkan pusat saringan sehingga pukul 12 tengah hari ini adalah seramai 1,906 orang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal, daripada jumlah itu, seramai 1,483 mangsa ditempatkan di Pusat Saringan Dewan Taman Pasir Putih dengan 224 kes dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Katanya, seramai 423 mangsa pula ditempatkan di Pusat Saringan Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI.

Laporan mendedahkan, Jabatan Kimia telah mengenal pasti bahawa bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim boleh menjejaskan kesihatan secara toksik yang boleh merosakkan organ tubuh. - HARAKAHDAILY 14/3/2019