20
Fri, Sep
52 Artikel Baru

Umat Islam Chechen: Sketsa pilu di Warsaw

Dunia
Typography

POSTUR tubuh mereka tegap dengan alis mata yang tebal, rata-rata mereka berkulit putih kemerahan namun dalam rangka tubuh etnik ini menyimpan salju kedukaan yang pilu. Sebagaimana nasib Muslim Uyghur yang dibantai oleh pihak rejim China, begitulah nasib bangsa ini yang pernah merakam sejarah sebagai satu bangsa yang hebat. Penulis kali ini dalam kesempatan kedua menyantuni mangsa peperangan dan pengusiran beruang merah Russia di Poland.

Salju seperti kapas-kapas putih yang sedang runtuh daripada langit saat kami usai solat berjemaah di Blue Mosque yang berada di pinggir bandar Warsaw, Poland. Hari pertama tiba di bandar yang merakam sejarah pertempuran hebat dalam Perang Dunia kedua dan pernah ditawan oleh tentera Jerman itu. Warsaw juga menampung 25,000 etnik Chechen yang terusir, di samping komuniti Islam yang terdiri daripada bangsa Turki dan juga daripada Asia Selatan. Semenjak berlakunya krisis Syria tujuh tahun lepas, negara itu juga menampung segelintir pelarian Syria yang mencuba nasib di tanah Eropah sehingga kewujudan Islamic Center menjadi salah satu keperluan.

Suhu dingin menggigit tulang temulang sehingga mencecah minus dua darjah celcius, anggota misi Muslim Care Malaysia yang sebahagian besar akan meneruskan misi nembantu pelarian Syria di sempadan Turki, tapi perasaan ingin membantu teman-teman seakidah menyebabkan kami terlupa sebentar rasa sejuk menciut itu. Poland bukanlah negara yang bersahabat dengan Islam, fenomena Islamphobia masih merajai negara bekas komunis dan juga negara pertama disergap Perang Dunia Kedua sehingga Kota Warsaw musnah 80 peratus dibaham ledakan skala besar pihak Nazi Jerman. Poland juga antara sketsa berdarah "holocaust" yang dilakukan oleh Adolf Hitler dan bala tenteranya kerana kelompok Yahudi yang masih berbaki di negara yang bersempadan dengan Rusia itu.

Saki baki etnik Yahudi di Poland hari ini juga terkenal sebagai kelompok tegar pembenci Islam termasuk tanpa berselindung menunjukkan rasa jengkel mereka terhadap pelarian Islam dari bumi Chenchen, Rusia. Masjid Biru (Blue Mosque) juga pernah diprovokasi jemaahnya sewaktu solat Jumaat diadakan, pembenci Islam berdemo kononnya membantah kehadiran migran beragama Islam serta mahukan kerajaan Poland tegas menyekat aktiviti-aktiviti Islam. Di kawasan premis Masjid Biru Warsaw juga terletaknya restoran halal dan juga menjual barang keperluan ummat Islam. Uniknya di negara Eropah Tengah ini ialah umat Islam terdiri daripada pelbagai etnik, namun mereka disatukan dengan kalimah syahadah.

Muslim Care santuni pelarian Chechen semenjak 2014

Kisah pilu muslim Chechen agak tersorok jika dibandingkan dengan kisah derita umat Islam di Palestin, Syria, Yaman, Rohingya, Uyghur dan lain- lain peta luka ummat Islam. Ini besar kemungkinan kerana pertempuran dan pengusiran ini berlaku dalam dekad 1990-an dahulu, jarak masa yang panjang sedikit sebanyak mengikis kepedulian ummah kepada Chechen.

Berbeza dengan peta luka umat Islam yang lain, maklumat dan bantuan lebih cepat sampai dan digerakkan oleh NGO-NGO kemanusiaan dari Malaysia, sifat pemurah rakyat Malaysia dan keprihatinan jaringan sivil negara ini antara terbaik di dunia muslim. Derita umat Islam Chechen sangat jarang sampai ke telinga rakyat negara ini, penulis teringatkan sekitar pertengahan tahun 1990-an, beberapa kali demonstrasi membantah kezaliman rejim Russia diadakan. Segelintir pelajar-pelajar dari bumi Grozny dibawa belajar di Universiti Islam Antarabangsa ketika perang semakin memburuk di Chechen. Gerakan perlawanan dan jihad di Chechen juga kurang mendapat liputan media negara ini, berbanding dengan sorotan berita gerakan jihad di Afghanistan, Palestin, Syria dan Bosnia.

Rejim Soviet dengan segala kelengkapan perang telah menyerang Grozny dan membunuh serta melakukan pelbagai bentuk kezaliman terhadap umat Islam Chechen. Ribuan terkorban, ribuan muslimah dirogol dan kampung-kampung muslim dikosongkan rejim komunis. Kesannya ramai yang cuba untuk berhijrah keluar negara, termasuk ke Poland yang berjiran dengan Russia. Di pinggir bandar Warsaw, pelarian muslim ini berada di khemah pelarian tertutup di mana mereka tidak dibenarkan untuk menerima tetamu luar serta disekat akses dengan pihak lain. Lebih menyayat hati, makanan haram seperti babi menjadi sumber protein mereka dengan alasan murah dan menjimatkan pihak pengurusan kem.

Pada tahun 2014, Muslim Care Malaysia yang mendapat maklumat tentang keberadaan pelarian Chechen di Poland melalui Persatuan Pelajar, rakyat Malaysia di Poland dan juga mendapat kerjasama yang baik daripada pejabat Mufti Poland akhirnya menggerakkan kempen bantuan musim sejuk. Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga turut bekerjasama mengadakan kempen membantu pelarian serta merangka bentuk bantuan jangka pendek. Di tanah air kita , selain Muslim Care menggerakkan kempen melalui siber, para pendakwah selebriti seperti Ustaz Ahmad Dasuki Rani, Ustaz Halim Din turut membantu mendapatkan dana kempen. Sebanyak RM100,000 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pelarian Chechen dalam kempen misi musim sejuk 2014.

Rombongan Muslim Care akhirnya tiba di Poland setiap tahun untuk pelbagai aktiviti termasuk aktiviti korban, latihan kesukarelawanan mahasiswa, khidmat masyarakat pada pelarian Chechen serta memastikan Islamic Centre diimarahkan dengan baik. Antara mahasiswa kampus yang pernah mengadakan aktiviti di sini ialah daripada USIM, juga pelajar-pelajar kampus Eropah yang berasal dari Malaysia berprogram.

Muslim Care Malaysia telah mengambil langkah membantu jangka panjang muslim tertindas ini dengan mengusahakan pembelian sebuah bangunan untuk dijadikan Pusat dakwah dan kebajikan merangkap masjid yang akan menampung pelbagai aktiviti umat Islam. Mulai tahun 2015 pimpinan Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan telah membentuk panitia pengumpulan derma dan wakaf bangunan sehinggalah sebuah bangunan berharga dua juta ringgit Malaysia berjaya dibeli. Kini telah dua tahun Islamic Centre itu telah beroperasi termasuk diadakan solat Jumaat, diadakan kelas al-Quran dan aktiviti keagamaan yang lain. Kehadiran anggota misi kami pada kali ini juga disertai oleh wakil kerajaan Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Hajah Zarani Osman telah mengunjungi khemah pelarian untuk menyampaikan bantuan, mengadakan jamuan makan di Islamic Centre, mengadakan mesyuarat untuk mengukuhkan kolaborasi dengan masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 27/12/2018

Penulis ialah aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dan Exco Muslim Care Malaysia.