19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

MH370: Integriti Malaysia terus diperhatikan dunia

Dunia
Typography
KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan mengemukakan kepastian serta bukti kukuh terhadap kehilangan pesawat MH370 akan terus menyebabkan ianya dipersoal, demikian tujah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
 
Tegasnya, perkara itu bukan sekadar isu ia tidak dapat dikesan, tetapi mengenai sebab dan pihak yang terlibat dalam konspirasi kehilangan pesawat tersebut.
 
"Agak sukar untuk dipercayai ia suatu tragedi bencana yang diakibatkan oleh masalah teknikal. Rahsia kehilangan pesawat itu dipercayai di tangan konspirator. Soalnya kenapa ia tidak terdedah?
 
"Kami menegaskan, pihak Kerajaan Malaysia tidak boleh berkompromi dalam isu ini. Bukan sahaja penumpang awam dan krew MH370 itu menjadi korban, malah status kedaulatan Malaysia juga terancam," bidasnya.
 
Kata beliau, adalah tidak masuk akal pesawat itu hilang melalui laluan yang diketahui, tetapi hilang dari radar dan tidak dijumpai hingga hari ini di mana ia melibatkan integriti negara diperhati oleh dunia.
 
Pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac 2014 dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini. -HARAKAHDAILY 12/3/2018