21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Masjid Al-Aqsa: Sorotan jenayah rejim Israel, Yahudi

Dunia
Typography

TANGGAL 21 Ogos 1969 adalah satu tarikh yang harus diingati oleh seluruh umat Islam kerana pada tanggal itu berlakunya satu peristiwa hitam apabila seorang fanatik Yahudi, Dennis Micheal Rohan yang berasal dari Australia bertindak membakar Masjid Al-Aqsa. Tindakannya itu menyebabkan sebahagian besar dari Masjid Al-Aqsa terbakar termasuk Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi yang masyhur.

KhalilHadiPada minggu ini, genap 50 tahun peristiwa tersebut berlaku. Namun begitu ini bukanlah kali pertama jenayah rejim Israel dan fanatik Yahudi terhadap masjid yang menjadi kiblat pertama kepada umat Islam ini. Sepanjang setengah abad ini tidak kurang daripada 30 jenayah yang dilakukan oleh rejim Israel dan Zionis Yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa. Di antara peristiwa atau jenayah tersebut ialah:

⁃ Pada 7 Jun 1967, Jeneral Mordechai Gur bersama-sama dengan ketumbukan tenteranya pada permulaan perang 1967 di antara Israel dan negara-negara Arab bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mengangkat bendera Israel di atas kubah batu, kemudian membakar mushaf-mushaf Al-Quran, menghalang umat Islam bersolat di dalamnya dan merampas kunci-kunci masjid dari penjaganya.
    
⁃ Pada 21 Ogos 1969, Michael Dennis Rohan seorang warganegara Australia bertindak membakar Masjid Al-Aqsa dan beliau ditahan atas perbuatannya itu namun tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana didapati kurang siuman.
    
⁃ Pada 28 Januari 1976, Mahkamah Pusat Israel memutuskan bahawa orang-orang Yahudi berhak untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 28 Ogos 1981 ditemui satu terowong yang digali oleh Zionis Yahudi bermula dari Dinding Buraaq atau Dinding Tangisan sehingga ke bawah Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 11 April 1982 seorang tentera Israel yang bernama Harry Goldman bertindak menembak membuta tuli ke atas umat Islam yang sedang solat di dalam masjid sehingga menyebabkan dua orang gugur syahid dan tidak kurang 60 orang yang tercedera.
    
⁃ Pada 22 Julai 1982 Yoel Lerner seorang ekstrimis Yahudi dari kumpulan Kach ditahan kerana merancang untuk mengebom kubah batu Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 26 Januari 1984 dua orang Yahudi ditahan kerana merancang untuk mengebom Masjid Al-Aqsa dan ditemui bersama mereka alat peledak yang begitu banyak.
    
⁃ Pada 11 Mac 1997 penasihat undang-undang Israel mengizinkan kepada Yahudi untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 31 Ogos 1997 terdedah perancangan Israel untuk meroboh binaan dari kerajaan Umawiyyah yang berhampiran dengan Masjid Al-Aqsa bagi meluaskan kawasan untuk orang Yahudi bersembahyang.
    
⁃ Pada 28 September 2000 Ariel Sharon bekas Perdana Menteri Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan tindakannya itu mencetuskan intifadhah kedua oleh umat Islam Palestin sebagai membela Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 29 September 2000 tentera Israel bertindak ke atas umat Islam Palestin yang berkubu di dalam Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan berpuluh gugur syahid dan berpuluh lagi mengalami kecederaan.
    
⁃  Pada 9 September 2004 seorang pendita Yahudi bertindak mengadakan upacara perkahwinan anaknya di dalam Masjid Al-Aqsa dan ianya dicemari dengan minuman arak yang mengotori masjid.
    
⁃  Pada 4 April 2005 polis Israel bertindak memasang kamera CCTV di seluruh kawasan Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 8 Februari 2006 Kementerian Pendidikan Israel bertindak mengedar ribuan gambar pelan pembinaan semula Masjid Al-Aqsa dengan memadamkan gambar Masjid Al-Aqsa dan diletakkan pada tempatnya gambar tempat ibadah mereka.
    
⁃  Pada 25 Mei 2010 polis Israel memberikan keizinan kepada pihak pendita di salah satu rumah ibadah mereka untuk mengadakan acara keagamaan sepenuhnya di dalam Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 20 Disember 2010 seorang ekstremis Yahudi ditahan di dalam Masjid Al-Aqsa bersama-samanya bahan letupan kerana merancang untuk mengebom di salah satu bahagian daripada Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 27 Oktober 2014 Knesset Israel membincangkan cadangan untuk menarik balik hak kerajaan Jordan menjaga Masjid Al-Aqsa.
    
⁃  Pada 18 Januari 2015 badan wakaf Masjid Al-Aqsa berjaya menggagalkan perancangan beberapa penduduk Yahudi untuk melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa dengan menggunakan pesawat remote control.
    
⁃ Pada 11 Februari 2015 penguatkuasa Israel bandar Al-Quds meletak papan tanda berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa dengan menamakan tempat itu dengan ‘Jabal Al-Haikal’ (Bukit Haikal).
    
⁃ Pada 23 Julai 2015 tentera Israel menghalang kanak-kanak sekolah Palestin mengadakan program kem musim panas di dalam Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 1 September 2015 tentera Israel menghalang pelajar-pelajar ke sekolah mereka yang terletak dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 14 September 2015 tentera Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke atas rakyat Palestin yang sedang solat di dalamnya bertujuan untuk mengosongkannya bagi memberi ruang kepada orang Yahudi untuk memasukinya.
    
⁃ Pada 21 Jun 2016 ditemui terowong-terowong baru di keliling dan bawah Masjid Al-Aqsa yang digali oleh pelampau Yahudi.
    
⁃ Pada 2 Mei 2017 dua orang tentera Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan melakukan upacara solat mereka di dalamnya.
    
⁃ Pada 29 Jun 2017 pihak berkuasa Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan memberi keizinan kepada sekumpulan pelampau Yahudi menceroboh masuk ke dalam Masjid.
    
⁃ Pada 2 Julai 2017 tentera Israel melarang umat Islam untuk solat Jumaat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas insiden serangan yang berlaku mengakibatkan tiga orang pemuda Palestin syahid dan dua orang tentera Israel mati.
    
⁃ Pada 3 Disember 2017 sebilangan pelampau Yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berjalan dengan megahnya di dalam kawasan solat di bawah kubah batu.
    
⁃ Pada 19 Disember 2017 pihak berkuasa Israel merasmikan kuil baru Yahudi yang dibina di dalam terowong di bawah Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 21 Januari 2018 sekumpulan pelampau Yahudi mengadakan upacara keagamaan secara terang-terangan di pintu Al-Rahmah (salah satu pintu-pintu Masjid Al-Aqsa) sambil dikawal oleh tentera Israel.
    
⁃ Pada 9 Mei 2018 tentera Israel memberikan keizinan kepada gadis-gadis Yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan memakai pakaian perkahwinan mereka.
    
⁃ Pada 22 Mei 2018 David Fredman, Duta Amerika Syarikat menerima potret gambar bandar Al-Quds yang diletak gambar ‘Haikal’ yang akan dibina di atas tapak Masjid Al-Aqsa.
    
⁃ Pada 2 Jun 2019 seramai 1200 pelampau Yahudi bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berlaku pertembungan dengan umat Islam yang sedang iktikaf 10 akhir Ramadhan.
    
⁃ Pada 15 Ogos 2019 tentera Israel menghalang umat Islam untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas dua orang remaja Palestin menikam polis Israel dan kedua-dua remaja itu gugur syahid.

Sebenarnya banyak lagi kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel dan penduduk haram Israel ke atas rakyat Palestin dan begitu juga jenayah pencerobohan samada oleh rejim Zionis Israel mahupun penduduk haram Israel ke atas Masjid Al Aqsa. Sudah bermacam diadukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab mahupun OIC dengan PBB mengecam serta mengeluarkan pelbagai resolusi mengutuk serta memaksa Israel berundur sepenuhnya daripada Palestin namun semuanya gagal.

PBB di bawah Majlis Keselamatan sudah tentunya akan gagal bertindak kerana setiap resolusi mahupun ketetapan yang di luluskan sudah semestinya akan ‘diveto’ oleh Amerika Syarikat yang sememangnya sekutu kuat rejim Israel. Yang paling mengecewakan sudah semestinya Liga Arab dan OIC yang menjadi pertubuhan terulung dan benteng utama untuk negara-negara Arab mahupun seluruh umat Islam. Liga Arab dan OIC seperti tidak mempunyai daya dan kemampuan untuk menentang Israel dan melindungi Palestin dan rakyatnya apatah lagi Masjid Al Aqsa.

Rejim Israel dan Zionis Yahudi wajib ditentang dan dikeluarkan daripada bumi Palestin. Umat Islam wajib bersatu menentang mereka dan dilarang menjalinkan sebarang hubungan dengan mereka. Sudah terlalu lama penderitaan dan kezaliman berlaku ke atas Palestin dan rakyatnya namun umat Islam seperti tidak mengendahkannya malah ada yang tidak segan silu bermesra dengan mereka atas pelbagai alasan. Nyata sekali Umat Islam berada di dalam keadaan yang paling lemah sejak kewafatan Rasulullah SAW.

Sampai bilakah lagi harus umat Islam berpeluk tubuh membiarkan kekejaman ini berlaku? Liga Arab dan OIC harus kembali segar dan bangkit dari kelemahan ini dengan mula bertindak ke atas rejim Israel serta menyatupadukan Umat Islam. Islam tidak akan lemah dan kembali kuat jika umatnya berpegang dengan ajaran Allah dan RasulNya. Sudah sampai masanya umat Islam bangkit kembali dan menyinari kegemilangan Dunia Islam. Marilah kita sama-sama berdoa dan menyumbang untuk rakyat Palestin agar mereka terus cekal dan tabah menghadapi dugaan yang cukup mencabar dekad ini.

Bebaskanlah Al-Aqsa dan rakyatnya dari cengkaman Zionis Israel. Semoga Palestin dan rakyatnya berada di dalam lindungan Allah SWT.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 24/8/2019