21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

Konflik Jammu Kashmir

Dunia
Typography

KONFLIK di Wilayah Jammu Kashmir sudah hampir memasuki 72 tahun dan masih tidak nampak jalan penyelesaiannya. Selama konflik ini berlaku, ia telah memakan korban yang cukup ramai, kemusnahan harta benda serta impak ekonomi yang cukup besar terutamanya kepada penduduk di wilayah yang bergolak ini. Wilayah Jammu Kashmir sehingga sekarang masih lagi menjadi rebutan di antara India dan Pakistan serta juga China tidak pernah lekang daripada peperangan dan konflik ketenteraan mahupun kebangkitan rakyat yang menuntut kemerdekaan Kashmir daripada India.

KhalilHadiSepanjang berlangsungnya konflik tersebut, terdapat beberapa peperangan besar yang berlaku seperti Perang India Pakistan 1947, Perang India Pakistan 1965 dan Perang Kargil 1999. Terdapat juga beberapa konfrantasi ketenteraan yang hampir mencetuskan peperangan di antara India dan Pakistan seperti pada tahun 1998 sehingga kedua-dua negara mempamerkan kekuatan senjata nuklear masing-masing dan pada tahun 2000-2001. Terdapat juga gerakan pejuang kemerdekaan Kashmir yang berlaku sejak daripada Jammu Kashmir di letakkan di bawah pemerintahan Kerajaan India.

Setelah agak lama tidak kedengaran cetusan konflik di wilayah yang bergolak itu, ia telah kembali memuncak minggu lalu apabila Kerajaan India telah memansuhkan Artikel 370 yang memperuntukkan Wilayah Jammu Kashmir mempunyai kuasa autonomi untuk memerintah dan mempunyai perundangan sendiri. Dengan pemansuhan tersebut, ia bermakna wilayah Jammu Kashmir kini berada di bawah kekuasaan India sepenuhnya tanpa ada sebarang kuasa autonomi seperti sebelumnya. Berita tersebut mengundang keresahan masyarakat tempatan dan dunia yang khuatir wilayah terbabit akan kembali ke kancah konfrantasi mahupun peperangan dengan Pakistan paling awal sekali membantah tindakan tersebut.

Wilayah Kashmir sebenarnya di kuasai oleh tiga buah negara iaitu India, Pakistan dan China. India menguasai hampir 55 peratus daripada Wilayah Kashmir iaitu Jammu, Lembah Kashmir dan Siachen Glacier. Pakistan menguasai 30 peratus daripada wilayah tersebut yang terdiri daripada Azad Kashmir dan Gilgit Baltistan. China pula menguasai 15 peratus daripada wilayah tersebut yang terdiri daripada Lembah Shaksgam dan wilayah Aksai Chin.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa China juga terbabit dalam konflik di Wilayah Jammu Kashmir. Setelah India mencapai kemerdekaan pada 1947, India telah memasukkan Aksai Chin sebagai sebahagian daripada India dan ia adalah sebahagian daripada Wilayah Ladakh. China pula tidak mengiktiraf tindakan India dan mengatakan bahawa Aksai Chin adalah sebahagian daripada wilayahnya. Keadaan menjadi bertambah rumit apabila ketika India memberikan suaka politik kepada Dalai Lama ketika berlakunya kebangkitan rakyat di Tibet terhadap China pada tahun 1959.

Aksai Chin yang berada di bawah penguasaan China sekarang ialah sebahagian daripada Daerah Hotan yang terletak di bahagian barat daya wilayah Hotan di dalam Wilayah Autonomi Xinjiang, China. Perebutan Aksai Chin menyebabkan terjadinya peperangan Sino India pada tahun 1962 setelah kedua-dua negara tidak mencapai persetujuan tentang garis sempadan kedua-dua buah negara. Perang tersebut tamat pada 20 November 1962 setelah masing-masing bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian tersebut secara diplomasi. China dan India seterusnya menandatangani beberapa perjanjian pada tahun 1993, 1996, 2005 dan 2012 bagi menyelesaikan pertikaian sempadan di antara kedua-dua buah negara.

Namun di mata dunia, konflik Jammu Kashmir sebenarnya ialah di antara India dan Pakistan serta penduduk tempatan. Bermulanya konflik di Wilayah Kashmir apabila Kerajaan British membuat keputusan untuk menamatkan penjajahan ke atas India selepas tamat perang dunia ke dua dan ia harus ditamatkan selewat-lewatnya pada tahun 1948. India pada masa itu adalah satu wilayah yang besar, termasuk juga Pakistan dan Bangladesh sebelum kedua-dua negara itu di bentuk dan merdeka. Pada masa itu juga telah wujud gerakan kemerdekaan di seluruh India yang tidak mampu dibendung oleh British. Dalam masa yang sama, telah tercetus konflik antara agama di India yang membabitkan penduduk beragama Islam dan Hindu yang mana kedua-duanya adalah agama anutan terbesar di India.

Akibat dari situasi genting tersebut dan British sudah tidak berupaya membendungnya lagi , maka Parlimen British telah meluluskan Indian Independence Act 1947 yang memberikan kemerdekaan kepada India. Namun konflik antara agama telah menyukarkan lagi kemerdekaan India daripada British. Desakan daripada All Indian Muslim League di bawah pimpinan Muhammad Ali Jinnah yang menuntut sebuah negara merdeka berasingan untuk penganut beragama Islam India agar ianya mampu meredakan ketegangan agama akhirnya di terima dan British telah memutuskan untuk membahagikan India kepada dua buah negara iaitu India dan Pakistan.

Pada 14 Oogs 1947, negara Pakistan telah dibentuk untuk orang Islam India dan India yang merdeka sehari kemudiannya pada 15hb Ogos 1947 didominasi majoritinya oleh penganut beragama Hindu. Walaupun India dan Pakistan telah terbentuk dan merdeka, laluan kedamaian dan kemerdekaan tersebut masih sukar kerana terdapat lebih 550 negeri di dalam wilayah India yang diperintah oleh Maharaja yang tidak dijajah mahupun di perintah oleh British. Negeri-negeri tersebut boleh memilih sama ada untuk menyertai India dan Pakistan ataupun memilih untuk kekal dalam pemerintahannya sendiri. Salah satu daripada negeri tersebut ialah Jammu dan Kashmir (Jammu Kashmir).

Jammu Kashmir pada masa itu di perintah oleh seorang Maharaja bernama Hari Singh. Penduduk Jammu Kashmir majoritinya beragama Islam walaupun Maharaja Hari Singh beragama Hindu. Tidak seperti Maharaja negeri-negeri lain di dalam India yang memilih untuk berada di bawah India atau Pakistan, Maharaja Hari Singh mahu Jammu Kashmir kekal di bawah pemerintahannya dan tidak mahu berada di bawah pemerintahan samada India mahupun Pakistan. Selepas Pakistan dan India merdeka, situasi menjadi tegang di Jammu Kashmir dengan majoriti penduduk Jammu Kashmir yang beragama Islam mahu berada di bawah Pakistan dan mendesak Pakistan supaya menggesa Maharaja Hari Singh agar Jammu Kashmir berada di bawah pemerintahan Pakistan.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku kebangkitan rakyat di Jammu Kashmir oleh penduduk tempatan dan ketua puak yang pro-Pakistan. Maharaja Hari Singh tidak mampu mengawal keadaan lalu meminta bantuan India untuk meredakan keadaan. India meletakkan syarat kepada Maharaja Hari Singh untuk bantuan dan campurtangan India di mana Jammu Kashmir mesti berada di bawah pemerintahan India. Maka pada 26hb Oktober 1947, satu perjanjian yang di kenali sebagai The Instrument of Accession (Jammu and Kashmir) telah ditandatangani di antara Maharaja Hari Singh dan Lord Mountbatten, Gabenor Jeneral India yang mengesahkan bahawa Jammu Kashmir adalah sebahagian daripada Wilayah India. Pakistan tidak mengiktiraf perjanjian tersebut dan tercetuslah perang pertama di antara India dan Pakistan dalam perebutan wilayah Jammu Kashmir yang dikenali sebagai Indo-Pakistani War 1947.

Selepas termenterainya perjanjian tersebut, kebangkitan rakyat dan ketua puak menjadi semakin kuat dan Maharaja Hari Singh telah kehilangan bahagian selatan Jammu Kashmir kepada ketua-ketua puak di wilayah Jammu Kashmir dan penduduk tempatan majoritinya beragama Islam yang mahu bernaung di bawah Pakistan. India telah menghantar bantuan ketenteraan kepada Maharaja Hari Singh untuk meredakan keadaan dengan menurunkan tentera di Srinegar. Pakistan yang cuba menghantar bantuan ketenteraan di halang oleh British dengan menyatakan Pakistan tiada hak untuk masuk campur dan menghantar bantuan ketenteraan kerana Jammu Kashmir adalah wilayah India setelah Maharaja Hari Singh menandatangani perjanjian tersebut. Namun pada tahun 1948 setelah didesak kuat oleh Pakistan, British akhirnya membenarkan Pakistan menghantar bantuan ketenteraan kepada ketua-ketua puak dan penduduk tempatan yang pro-Pakistan.

Perang tersebut mengakibatkan korban nyawa dan harta benda yang cukup besar serta melumpuhkan ekonomi Jammu Kashmir. Akibatnya, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) campurtangan serta menggesa diadakan gencatan senjata untuk menghentikan peperangan dan menganjurkan perundingan di antara India dan Pakistan. Akhirnya gencatan senjata dipersetujui dan PBB buat sementara waktu telah menggariskan sempadan di wilayah Jammu Kashmir di antara India dan Pakistan agar tidak lagi berlaku pencerobohan dan serangan serta dapat mengekang kemaraan tentera di kedua-dua belah pihak agar berada di garisan sempadan masing-masing yang telah di persetujui. PBB juga telah meletakkan tentera di bawah panji-panjinya untuk berada dan menjaga garis sempadan serta ketenteraman Jammu Kashmir ketika itu.

Pada April 1948, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Resolusi 39 PBB untuk menubuhkan UN Commission for India and Pakistan (UNCIP) untuk menyelaras gencatan senjata dan perundingan di antara India dan Pakistan bagi menyelesaikan isu pertikaian wilayah Jammu Kashmir. Setelah berunding sekian lama, akhirnya pada 27 Julai 1949, satu perjanjian yang dikenali sebagai The Karachi Agreement atau the Agreement Between Military Representatives of India and Pakistan Regarding the Establishment of a Cease-Fire Line in the State of Jammu and Kashmir telah ditandatangani oleh India dan Pakistan. Namun perjanjian itu tidak bertahan lama kerana selepas itu India dan Pakistan kembali ke kancah peperangan semula pada tahun 1965.

Indo Pakistani War 1965 menyaksikan ketumbukan besar kereta kebal dan kereta perisai yang paling banyak dalam sejarah semenjak tamatnya perang dunia kedua. Peperangan selama 17 hari di antara India dan Pakistan menyaksikan korban yang besar hingga mencecah ribuan orang. Akhirnya akibat campurtangan diplomatik Amerika Syarikat dan Russia, PBB sekali lagi berjaya menghentikan peperangan dan menganjurkan gencatan senjata. Akhirnya satu perjanjian gencatan senjata yang dikenali sebagai Tashkent Declaration telah ditandatangani pada 10 Januari 1966 di Tashkent, Russia serta menamatkan peperangan tersebut.

Perang Kargill 1999 menyaksikan sekali lagi pertembungan India dan Pakistan dalam isu Jammu Kashmir. Perang ini menimbulkan ketakutan kerana sebelum meletusnya peperangan tersebut, India dan Pakistan ketika itu masing-masing berlumba-lumba mempamerkan kekuatan ketenteraan terutamanya dengan melancarkan ujian peluru berpandu berkuasa nuklear. PBB yang ketika itu khuatir dengan keadaan tersebut telah mengenakan sekatan terhadap India dan Pakistan dengan Majlis Keselamatan PBB mengusulkan Resolusi 1172 agar India dan Pakistan menghentikan segala ujian tersebut. Sekali lagi akibat daripada peperangan tersebut, banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban. Akibat daripada desakan antarabangsa yang kuat, India dan Pakistan menghentikan peperangan tersebut pada 26 Julai 1999.

Marilah sama-sama kita doakan agar keamanan dan kestabilan dapat dicapai di Jammu Kashmir. Sudah cukup banyak nyawa yang terkorban, kemusnahan harta benda yang cukup banyak dan ketegangan yang tidak berkesudahan. Sampai bila keadaan ini harus berterusan? Islam agama yang cintakan kedamaian dan keamanan. Islam memimpin perpaduan, bersatulah kita di bawah panji-panji Islam seperti kata pepatah Melayu ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/8/2019