22
Tue, Aug
12 Artikel Baru

LAPORAN hak asasi manusia terkini menunjukkan kenaikan mendadak dua kali ganda, dalam jumlah warga Mesir yang ‘dihilangkan secara paksa’ (enforced disappearance) oleh pasukan keselamatan kuasa junta rampasan kuasa.

Menurut laporan itu, seorang pelajar Abdullah Hassan Ahmed Al-Maasari, 19, yang merupakan pelajar di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Beni Suef telah ditangkap secara paksa.

Seorang pelajar lain Islam Gamal Al-Ghoul, 22, pelajar di Fakulti Perdagangan, juga dari Universiti Beni Suef, telah ditangkap secara paksa selama 18 hari berturut-turut setakat ini, selepas penculikan mereka oleh tentera junta pada 31 Jun 2017.

Keluarga mereka yang hilang itu menuntut maklumat mengenai nasib dan tempat penahanan mereka yang disayangi, lapor Buletin Online.

Selain itu, Mohamed Ayman Rushdie, 20, menghadapi nasib yang tidak diketahui.

Pasukan keselamatan junta di Iskandariah sewenang-wenangnya menangkapnya ketika dia berada di rumah neneknya di daerah Muharram Bey, pada fajar 9 Ogos 2017 tanpa sebarang waran undang-undang.

Beliau diheret ke destinasi yang tidak diketahui di mana dia sedang ditahan sehingga kini.

Kebimbangan yang sama pernah dilaporkan oleh media antarabangsa hampir setahun yang lalu apabila seorang pelajar berusia 22 tahun kali terakhir dilihat diheret jauh dari stesen metro Kaherah oleh sekumpulan lelaki, tidak lama sebelum pasukan keselamatan menyerbu rumah keluarganya.

Menurut saksi, lelaki tidak dikenali memberkas Omar Khaled di stesen metro di ibu negara Mesir, Kaherah, pada hari Khamis semasa dia sedang dalam perjalanan untuk bertemu rakan-rakan di universiti.

Pegawai memberitahu ibu Khaled, Ghada Rifaat, bahawa mereka tidak tahu kemana anaknya dibawa.

Pasukan keselamatan, katanya, menyerbu rumah keluarga itu tidak lama selepas beliau ‘dihilangkan’.

KESATUAN Ulama Islam Sedunia (KUIS) mengutuk sekeras-kerasnya serangan di Barcelona, Sepanyol dan menganggapnya sebagai satu tindakan pengecut dan tidak bermoral yang ditolak oleh semua agama samawi.

Serangan tersebut telah meragut empat belas orang nyawa dan lebih daripada seratus orang cedera.

AliDaghiSetiausaha Agung KUIS, Dr Sheikh Ali Qura Daghi menegaskan akan kesucian darah manusia dengan mengatakan tiada alasan bagi membenarkan kezaliman itu sama ada dari sudut undang-undang agama samawi mahupun undang-undang antarabangsa.

“Tidak mungkin berlakunya pembunuhan tanpa sengaja yang dilakukan pengganas.

“Jenayah ini dilakukan oleh pengkritik Islam dan umat Islam, bahkan mereka menyediakan perlindungan ke atas militan di Barat, untuk menjatuhkan Islam tanpa mengira hak-hak yang sepatutnya,” ujarnya dipetik laman web Kesatuan Ulama Islam Sedunia - Asia Tenggara.

Beliau juga menegaskan bahawa perbuatan sedemikian dilakukan oleh puak pelampau dan militan yang sama sekali tidak menyerupai Islam dalam apa jua bentuk sekalipun.

Jelas beliau lagi, Islam berlepas diri dari mereka dan tindakan mereka.

Beliau yang kesal dengan apa yang berlaku menyatakan pembunuh sebenarnya mempunyai komplot yang mencurigakan dan bertujuan untuk melemahkan negara Islam serta menjalankan peperangan yang tidak akan berakhir.

Sheikh Qura Daghi turut mengucapkan ucapan takziah ke atas ahli keluarga mangsa yang tidak bersalah, dan memohon agar Allah SWT memelihara seluruh manusia dan negara dari kejahilan orang yang jahil dan konspirasi orang yang melakukan konspirasi.

KESATUAN Ulamak Islam Sedunia (KUIS) merakamkan ucapan takziah atas kematian Ulamak Hadis Al-Azhar, Dr Abdul Mahdi Abdul Qader Rahimahullah.

Allahyarham merupakan salah seorang Ulamak Hadis dan Usul Hadis di Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Fakulti Usuluddin di Jabatan Tafsir dan Hadis, Universiti Hadith Al-Azhar pada tahun 1973 dengan mendapat gred Jayyid Jiddan dengan Kepujian.

Seterusnya beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana di Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar. Kehebatan beliau terserlah selepas memperoleh gred Mumtaz pada tahun 1975.

Kemudiannya, Allahyarham turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1978 di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Hadis dan Ulum Hadis.

Beliau belajar di Fakulti Usuluddin di Universiti Al Azhar dan Usuluddin di Universiti Imam Muhammad bin Saud, dan berkhidmat sebagai Penolong Profesor di Fakulti Usuluddin di Universiti Al Azhar dan di fakulti yang sama di Universiti Ummul Qura.

Almarhum Dr Abdul Mahdi merupakan seorang tenaga pengajar di Fakulti Usuluddin, Universiti Al Azhar dan salah seorang ahli jawatankuasa Ilmuan Universiti Al-Azhar, ahli jawatankuasa Hal Ehwal Majlis Tertinggi Islam dan Duta Umum Persatuan Syariah.

Beliau juga menyelia berpuluh-puluh risalah keilmuan. Antara buku beliau yang paling menonjol dalam dunia Hadis adalah:

طرق تخريج حديث رسول الله صلى الله عليه وسلم، وطرق تخريج أقوال الصحابة والتابعين، والمدخل إلى السنة النبوية (بحوث في القضايا الأساسية عن السنة النبوية)، ومسند علي بن الجعد (أحد شيوخ البخاري)، والسنة النبوية: مكانتها وعوامل بقائها وتدوينها، وعلم الجرح والتعديل قواعده وأئمته، والسيرة النبوية في ضوء القرآن والسنة، ورياض الصالحين من كلام سيد المرسلين للنووي. تحقيق ودراسة، وكيف نصوم رمضان (رسالة صغيرة)، ورسالة إلى كل مريض (رسالة صغيرة)، ودفع الشبهات عن السنة النبوية، ومعجزات الرسول صلى الله عليه وسلم التي ظهرت في زماننا (القسم الأول: الإسلام)، ومعجزات الرسول صلى الله عليه وسلم التي ظهرت في زماننا (القسم الثاني: أمة الإسلام(.

Ummat Islam telah kehilangan permata yang sangat ikhlas dan mulia. Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, KUIS memohon kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa atas sesuatu agar mengampukannya, merahmatinya dengan Rahmat Tuhan Yang Maha Luas, memberinya sebaik-baik ganjaran, kemuliaan, dikurniakan syurga Firdaus.

Semoga Allah SWT mengurniakan ke atas ahli keluarganya, orang terdekatnya, orang kesayangannya sahabat handainya akan kesabaran dan ketabahan, sesungguhnya Allah SWT itu sebaik-baik penolong dan yang menerima doa. (http://ulamasedunia.org)

TURKI bercadang untuk menguatkan hubungan perdangangan dengan Qatar. Mereka sedang merangka pelan perdagangan melalui jalan darat. Untuk menghubungkan antara mereka, Iran bakal digunakan sebagai laluan darat tersebut. Demikian menurut Menteri Ekonominya, Nihat Zeybekc.

Sejak krisis negara teluk melibatkan sekatan beberapa negara ke atas Qatar, Turki telah menghantar beratus kapal kargo berisi bekalan makanan kepada Qatar. Namun laluan udara tidak begitu ekonomik untuk jangka masa panjang. Selain laluan laut, mereka kini memikirkan alternatif melalui darat untuk barangan yang lebih ringan dan mudah diangkut.

Secara geografi, Turki berkongsi sempadan bersama Iran di sebelah timur. Manakala Qatar dipisahkan dengan Iran oleh Teluk Parsi. Namun mereka berkongsi medan gas terbesar di dunia yang terletak di perairan kedua negara ini.

Hubungan perdagangan antara Qatar dan Turki secara tidak langsung bakal memberi kelebihan kepada Iran dari sudut ekonomi. Memberikan tamparan kepada polis dunia Amerika yang baru sahaja memperbaharui sekatan ekonomi terhadap negara musuh ketat Israel itu. Lebih dari itu, hubungan antara Turki-Qatar kini tidak lagi terhad dari sudut ekonomi sahaja, malah melibatkan ketenteraan. Sudah tentu Iran juga bakal menikmati kelebihan dari sudut tersebut.

Sejak 2016, Turki sudah mengalihkan kiblat ekonominya daripada menumpukan kesungguhan untuk terlibat sebagai salah satu negara EU, kepada blok timur khususnya Rusia. Pasca kudeta Jun 2016 memperlihat hubungan Turki-Rusia kembali pulih manakala hubungan Turki-Amerika pula semakin buruk. Namun sehingga kini Turki masih lagi anggota ketenteraan NATO.

Dalam perkembangan lain, 24 Julai lalu, CEO Qatar Petroleum mengucapkan terima kasih kepada Saudi, UAE, Mesir, Bahrain dan beberapa negara yang memboikot mereka kerana telah membuatkan ekonomi negara terkaya di dunia itu bertambah kuat. Qatar kini sedang mengembangkan hubungan perdagangan mereka dengan negara gergasi ekonomi seperti China, Jepun dan Jerman.

Nampaknya seperti Qatar sudah tidak mahu duduk di bawah Abang Long Saudi yang mengepalai GCC. Tetapi apakah Qatar juga sedang merangka pelan keluar dari naungan Ayahanda Amerika? Masih terlalu awal untuk telahan tersebut. Qatar baru sahaja menandatangani pembelian jet F-15 daripada Amerika bernilai 12 billion dolar. – HARAKAHDAILY 10/8/2017

Saudaraku-saudaraku sekalian,

Di sini ada beberapa cadangan yang boleh kita praktikkan setelah bertawakkal kepada Allah SWT dalam usaha memelihara kesucian bumi Al-Aqsa.

Allah SWT pasti akan membantu kita dan sentiasa meletakkan kebaikan bersama dengan kita dalam usaha mengikuti jejak Rasulullah SAW.

Cadangan yang boleh dipraktikkan ialah:-

● Para Ulamak perlu bangkit dan memainkan peranan mereka sebagai golongan yang penting dalam institusi masyarakat bagi menjentik kesedaran, memberikan pedoman tentang apa yang pernah umat Islam perolehi pada zaman Ayyubiyah dalam menolak kehadiran tentera salib dari barat di tanah Al-Quds.

● Memupuk keprihatinan terhadap tanah Al-Quds. Menyebarkan kepada masyarakat di tempat-tempat yang khusus seperti masjid dan pusat pengajian tentang sejarah – sejarah terulung di tanah Al-Quds terutama peperangan yang berlaku di sana.

● Para ulama juga berperanan dalam menganjurkan pertemuan-pertemuan seperti nadwah, konferens, muktamar tentang bahaya-bahaya yang sedang menimpa Al-Aqsa dan tanah Al-Quds. Bahkan menghidupkan semula usaha-usaha yang dilakukan golongan-golongan terdahulu seperti penganjuran Muktmar Islami pertama di tanah Al-Quds pada 5 Disember 1931. Penganjuran tersebut diadakan di beranda Al-Aqa dan tepian Masjid. Semua usaha yang dilakukan adalah dalam rangka memperlihatkan kepentingan Al-Aqsa kepada Umat Islam.

● Merangka projek-projek pembangunan kebudayaan dan warisan untuk memelihara kesucian Al-Aqsa seperti yang telah dilancarkan oleh Dr Raid As-Solah kerana ianya bertujuan memelihara kesucian Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa.

● Memberi panduan kepada para pengkaji dan penyelidik tentang tanah suci Al-Quds serta memelihara manuskrip-manuskrip warisan tentang kesucian tanah tersebut. Bahkan turut mengambil perhatian terhadap penjagaan arkib-arkib tersebut dan memeliharanya dari serangan zionis yang sistematik.

● Mewujudkan struktur organisasi dengan nama Ulamak Al-Quds bagi menangkis serangan musuh terhadap Al-Aqsa dan Tanah Al-Quds.

● Mewujudkan hubungan komunikasi dua hala dengan pihak gereja dan golongan paderi di tanah Al-Quds bagi menghadapi serangan-serangan yang dilancarakan di tanah Al-Quds di mana ia merupakan bumi yang suci bagi agama Islam dan Nasrani.

● Menyuarakan dan melaungkan seruan kepada Ulamak Ummah kesuluruhannya dalam meminta mereka mempertahankan siri-siri serangan yang dituju terhadap bumi Al-Aqsa.

● Menghantar wakil untuk memberi keterangan kepada Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap apa yang telah dilakukan oleh zionis terhadap tanah suci umat Islam.

● Menyeru para masyaikh, para pengkhutbah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk selalu memberi peringatan tentang perancangan Yahudi serta mendedahkan konspirasi mereka terhadap Masjid Al-Aqsa.

● Mengkhususkan tarikh 21 Ogos setiap tahun sebagai Hari Al-Aqsa Al-Mubarak. Pada hari tesebut disusun program-program berbentuk ilmiah dan mengadakan perhimpunan bagi mewujudkan kesedaran tentang apa yang dilakukan Yahudi terhadap Al-Aqsa sebagai kiblat pertama Umat Islam.

● Memperanankan ‘mimbar’ di setiap masjid dalam negara Islam sebagai platform untuk menyampaikan dan menyuarakan tentang isu Al-Aqsa dan tanah Al-Quds.

● Berusaha semaksimum mungkin dalam memberi penerangan tentang kelebihan untuk mendirikan solat di Al-Aqsa dan menyebut tentang kelebihan-kelebihannya.

● Berhubung dengan Para Masyayikh Al-Aqsa untuk mencapai target ke atas beberapa perkara iaitu:
1- Penyusunan Ulamak untuk mengajar di mihrab-mihrab Al-Aqsa.
2- Penggunaan telaga di ruangan luar Masjid Al-Aqsa untuk kebersihan dan memberi minum kepada pegunjung.
3- Pemantapan dan pengukuhan terhadap pegawai yang berkawal di setiap pintu-pintu masjid Al-Aqsa.
4- Penambahan kuantiti bas yang membawa para jemaah untuk solat subuh di sana.
5- Penyusunan jadual iktikaf dan jadual program-program ibadah yang tersusun di dalam Masjidil Aqsa.
6- Mewujudkan penyebaran untuk memberi kesedaran tentang Masjid Al-Aqsa.
7- Keprihatinan terhadap manuskrip-manuskrip warisan dalam usaha percubaan diseleweng oleh orang barat.

● Merangka usaha sama di antara para ulamak dalam usaha mengimarahkan Masjid Al-Aqsa serta melengkapkannya dengan prasarana yang diperlukan.

● Merancang perluasan Masjid Al-Aqsa.

● Menyeru Umat Islam di Palestin untuk tetap menunaikan solat jemaah di dalam Masjid Al-Aqsa dan mengimarahkannya walaupun berhadapan dengan cabaran dan ujian.

● Umat Islam dan para ulamak keseluruhannya perlu memiliki inisiatif dalam memikirkan masa depan Al-Aqsa.

● Berusaha menganjurkan muktamar antarabangsa di sekitar Al-Aqsa.

Ini merupakan sebahagian cadangan untuk membantu pembebasan Al-Aqsa. Tidak dapat disangkal inilah perkara-perkara yang hanya semata-mata berlegar di kebanyakan fikiran umat Islam sekarang.

Namun yang paling penting adalah kita melakukannya bersama-sama kita akan melepaskan diri kita dari tuntutan sebagai umat Islam mempertahankan kesucian Al-Aqsa.

Allah SWT akan memelihara sesiapa yang membantu Al-Aqsa, memeliharanya dari perancangan jahat musuh, rasa dengki dan dendam kesumat mereka.

Ya Allah! Jadikanlah mereka yang melindungi Al-Aqsa berada dalam lindungan Kamu dan peliharalah mereka dari sebarang kejahatan musuh-musuh-Mu. Dan kami memohon kesempatan sebelum mati, agar dapat menunaikan solat di dalam dalam Masjid Al-Aqsa dengan bebas dari sebarang gangguan zionis Yahudi dan kejahatan mereka. Amin. (http://ulamasedunia.org)

Diterjemah dari tulisan Dr Marwah Nassar, Lajnah Al-Quds KUIS.

PORTAL BBC News dalam laporan terbarunya melaporkan bahawa Israel akan mempercepatkan sekatan di sepanjang sempadan dengan Gaza. Hal tersebut adalah bagi menghalang Hamas dari terus membina terowong.

Mengulas lebih lanjut berkenaan sekatan itu, pembinaan terowong panjang berukuran 64 km (40 batu) dengan kedalaman 40 m (131 ft) di bawah dan 6m di atas tanah dikatakan telah menelan kos sebanyak 3bn shekels ($833m).

Sementara komander tentera Israel berkata, halangan bagi menghalang terowong itu perlu disiapkan sebelum tahun 2019 dan Israel telah berusaha memusnahkan terowong-terowong yang dibina sejak peperangan di Gaza pada tahun 2014 lagi.

Semasa pertempuran selama 50 hari yang lalu, kumpulan Hamas dikatakan telah menggunakan terowong tersebut untuk menyusup ke wilayah Israel dan telah membunuh 12 askar mereka.

Pada masa yang sama, tentera Israel turut memusnahkan lebih daripada 30 terowong sepanjang peperangan tersebut.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) konflik tersebut turut mengakibatkan seramai 2,251 orang Palestin maut serta 1,462 orang awam dan 11,231 cedera.

Manakala di pihak Israel pula, seramai 67 orang askar dan enam orang awam terbunuh. 1,600 yang lain dicatatkan cedera.

Memetik sumber sama, Israel turut membincangkan tentang bagaimana jaringan terowong Hamas berterusan.

Sementara Majalah Angkatan Pertahanan Israel (IDF) Maj Gen Eyal Zamir berkata halangan itu akan diselesaikan, walaupun risiko tinggi konflik Hamas dan Israel bakal tercetus lagi.

Media rasmi Israel memaklumkan sekiranya Hamas memilih untuk berperang melawan halangan, ia akan menjadi alasan yang baik (bagi Israel) untuk berperang.

Tahun lalu, pemimpin Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, berkata mereka masih menggali terowong, namun tidak dinyatakan keluasannya.

Menurut laporan media tempatan pula, mesin yang digunakan untuk menggali halangan baru akan menghancurkan terowong-terowong yang sedia ada. (http://ulamasedunia.org)

SEHINGGA sekarang lebih separuh daripada 30,200 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Penerbangan pertama berlepas ke Madinah pada 24 Julai lepas.

Malah kumpulan pertama jemaah dari Madinah dilaporkan sudah memasuki Makkah 1 Ogos lepas. Jumlah keseluruhan 110 penerbangan ke Arab Saudi musim haji tahun ini.

Sebanyak 29 penerbangan terus ke Madinah, manakala selebihnya mendarat di Jeddah. Tahun lepas penerbangan membawa penulis dan jemaah tiba di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz kira-kira jam 8 pagi.

Sebaik turun dari pesawat ramai bergegas mencari tandas. Terutamanya bagi jemaah yang sudah lanjut usia.

Ketika berada dalam pesawat ramai yang berulang alik ke tandas. Penerbangan mengambil masa sehingga sembilan jam dari KLIA tentunya merimaskan, ramai juga yang lenguh badan.

Namun semuanya itu hilang seketika setelah jemaah melafaz laabaikallah. Terbayang Kaabah berada di hadapan mata.

Petugas Tabung Haji yang sedia menunggu mengumpulkan jemaah yang baru tiba di satu sudut terminal. Taklimat sekali lagi disampaikan.

Jemaah haji perlu melekatkan bar kod di passport masing-masing. Bar kod tersebut akan digunakan ketika membeli sim kad telefon ketika di hotel.

Kawasan terminal ketibaan bertambah sendat dengan kehadiran jemaah haji dari seluruh dunia termasuk juga Indonesia.

Kami beratur panjang melewati kaunter Imigresen Arab Saudi. Pakaian seragamnya berjubah putih lengkap dengan igal dan serban warna merah di kepala.

Berbeza berbanding suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah. Jemaah haji terpaksa melalui kaunter Imigresen yang lebih lama.

Pengalaman dilalui penulis ketika menunaikan umrah dua tahun lepas membuktikan hakikat itu.

Petugas Imigresn di Jeddah keluar masuk kaunter biarpun jemaah umrah beratur panjang. Setiap pelawat yang datang dirakam gambar menggunakan kamera digital. Kemudian perlu diimbas pula ibu jari.

Alhamdulillah suasana di Madinah situasi begitu berbeza. Betullah kata orang, penduduk Madinah lebih bersopan dan tidak kasar perilaku mereka.

Selepas melalui kaunter Imigresen jemaah haji terpaksa berjalan agak jauh untuk ke ruang menunggu bas. Bagi yang berusia terpaksa menggunakan kerusi roda.

Selepas agak lama menunggu barulah bas yang akan membawa jemaah ke hotel tiba. Kami diarah menaiki bas berdasar kepada nombor yang diberi lebih awal.

Bas menunggu di parkir di bawah pancaran terik matahari. Bahang panas sudah membahang memandangkan waktu hampir waktu Zohor. Pekerja pula sibuk memuatkan beg jemaah haji ke atas bumbung bas.

Bertimbun beg kelihatan. Kemudian dipasang jaring bagi mengelakkan beg jatuh ketika bas bergerak. Ada jemaah haji yang tertukar bas dan terpaksa turun semula, memandangkan ketika itu ada berpuluh bas.

Ketika kami sampai berhampiran hotel, orang ramai keluar dari Masjid Nabawi, menunaikan solat Zohor. Kelihatan macam lebah keluar dari sarang.

Begitu ramai dan sendat sekali semua laluan dari pintu pagar masjid.

Ketika di hotel kami diagihkan bilik hotel, tempat menginap sepanjang lapan hari di Madinah. Ada bilik yang boleh memuatkan lima, enam dan lapan jemaah.

Penulis ditempatkan di bilik bersama rakan-rakan dari Kota Bharu, Tumpat,  Ketereh, Bachok dan Besut. Pada detik itu kami berkenalan lebih rapat lagi.

Bermula Asar kami menjejaki Masjid Nabawi. Menjadi kebiasaan jemaah bergerak secara berkumpulan ke masjid.

Ketika keluar dari hotel bahang panas petang di Madinah begitu terasa. Wap panas membahang ke muka. Jarak hotel dengan masjid hanya kira-kira 100 meter.

Bermula hari pertama sehingga saat akhir meninggalkan Madinah, kami berulang-alik ke masjid setiap waktu solat. Kedudukan masjid yang tidak jauh membolehkan jemaah berulang alik tanpa risau.

Bagaimanapun bagi mereka yang mahu solat di ruang dalam masjid terpaksa datang lebih awal sebelum azan dilaungkan. Lebih-lebih lagi mahu solat di ruang Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

Penulis dan rakan ada ketikanya datang ke masjid jam 3 pagi. Ketika itu kita boleh solat di ruang Raudhah. Namun menjelang waktu Subuh hampir jam 5 pagi ruang itu sesak dengan manusia.

Ramai yang bertolak-tolak hendak masuk. Raudhah dikenali sebagai taman syurga. Sepanjang berada di Madinah juga kami dibawa melawat Masjid Quba', Bukit Uhud, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain yang mempunyai dua mihrab dan pasar kurma.

Lawatan itu dikendalikan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Islam Madinah. Manakala di sekitar Masjid Nabawi jemaah dibawa melawat makam Rasulullah SAW dan tanah perkuburan Baqi.

Itulah rutin di Madinah sehingga rombongan kami bertolak ke Makkah bagi menunaikan umrah dan menanti detik wukuf di Padang Arafah. – HARAKAHDAILY 9/8/2017

Madinah 1

Madinah 3

More Articles ...