19
Thu, Sep
44 Artikel Baru

Ustaz Mustaffa mati dalam PAS

Tuan Guru Abdul Hadi berdoa di pusara Almarhum Ustaz Mustaffa.

Kolumnis
Typography

TAKZIAH buat sekalian keluarga Almarhum Ustaz Mustaffa Daharun, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dari Jempol. Moga-moga rohnya dikumpulkan bersama sekalian para salihin. Daripada Allah dia datang kepada Allah dia pergi.

Almarhum Ustaz Muftaffa DaharunKeluarga itu kehilangan seorang yang dikasihi, tetapi pemergiannya tidak merugikan kita semua khususnya keluarganya, kerana Allah memilihnya mati dalam PAS, sebuah harakah Islam, penyambung gerakan harakah sejak zaman Nabi, yang peranan dan kepentingannya dirakam dalam al-Quran.

Sejuta lebih umat Islam menyertai PAS sejak tahun 1951, tetapi tidak semuanya mati dalam PAS. Antaranya mengasas dan memimpin, mereka mencurahkan masa dan tenaga, tetapi Allah tidak memilihnya mati dalam PAS.

Almarhum Ustaz Mustaffa adalah pemimpin pertengahan, penyertaannya dalam parti amat sederhana, tidak terlalu ke depan dan tidak terkebelakang. Tetapi dia nyata dan terbukti istiqamah dalam perjuangan, suatu yang amat dicita-cita oleh setiap orang.

Untuk jadi anggota yang istiqamah tidak susah tetapi tidak senang. Kalau ia senang tidaklah ada pemimpin PAS mati di luar PAS. Jika payah tidaklah kebanyakan ahli biasa mati dalam PAS.

Mati di luar PAS bagi pejuangnya adalah satu tragedi, tetapi mati menentang PAS adalah satu yang amat malang. Sekalian yang masih dalam PAS, sekuat manapun PASnya dan selemah manapun PASnya, berdoalah sekalian supaya jangan tercicir dari parti dan moga-moga mengakhiri perjuangannya dalam PAS seperti Almarhum Ustaz Mustaffa.

Panggunya dipercayai bahagia kerana mati dalam perjuangan Islam. Jika yang begitu kuatnya dalam PAS dan masanya habis dalam PAS tetapi mati di luar PAS, maka kita yang tidak begitu kuat dan tidak penuh masa yang diberi, belumlah tentu nasib dalam PAS.

Maka semuanya mestilah berazam mencontohi dan mengikut jejak Ustaz Mustaffa, berjuang seadanya dan mohon, moga-moga mati dalam PAS.

PAS menegakkan kebenaran dan kemenangan bagi PAS. Kemenangan itu kadang-kadang dapat kita capai semasa hidup, dan kadang-kadang tercapai selepas kita mati. Kalau kita tidak sempat rasa sebelum mati, biarlah mati dalam PAS. Jika kita mati dalam PAS, selepas itu PAS menang, maka tentulah kita tercatat sebagai jasawan PAS yang dikenang dan dihargai oleh semua.

Zaman kita ini ramai orang politik tidak diketahui di mana matinya. Dalam partinya atau di luar partinya. Dato’ Onn mengasaskan Umno, tetapi tidak mati dalam parti itu. Dia mati dalam satu lagi parti yang diasasnya.

Tunku berjaya mencemerlangkan Umno hingga memerdekakan bangsa, layak jadi Bapa Kemerdekaan tetapi tidak boleh jadi Bapa Umno kerana menjelang ajalnya tidak lagi dalam Umno. Demikian juga Tun Hussein Onn. Di mana mainya. Dr Mahathir yang kini dilhat Umno boleh mati gara-garanya, mungkin Umno dulu daripadanya.

Yang mati dalam Umno yang sudah mati sebelum ini. Yang belum mati mungkin juga tidak berpeluang mati dalam Umno atau Umno mendahului mereka.

Ustaz Mustaffa jadi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan selepas beberapa orang yang tidak mahu mati dalam PAS meninggalkan parti itu, sekitar tiga tahun. Kegiatan terpenting dan terakhirnya ialah mengepalai PAS mencabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Port Dickson. Saya dimaklumkan beliau baru balik umrah.

Ketika ramai Umno payah mati dalam Umno lagi, dan PAS yang ada kini semuanya mahu mati dalam PAS, yang sah mati dalam PAS sekarang ialah Ustaz Mustaffa, satu kebanggaan bagi keluarganya. – HARAKAHDAILY 25/12/2018