26
Wed, Jun
24 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Johor mendesak kerajaan negeri segera mencari punca pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang menjadi dalang di sebalik insiden pencemaran itu.

Menurutnya, insiden itu tidak sepatutnya berulang kembali berikutan baharu tiga bulan selepas insiden pencemaran toksik di sungai Kim Kim pada Mac lalu.

“Keadaan di kawasan yang terlibat masih dalam keadaan terkawal.

“Tindakan kerajaan memberi cuti kepada sekolah adalah baik dalam usaha mengurangkan bilangan mangsa tercemar, tetapi punca utama masalah masih belum jelas dan ini bermakna pencemaran masih wujud dan belum dibendung.

“Kita sangat menggalakkan sumbangan kewangan bagi menampung persiapan salinan pakaian, makanan dan minuman, lain-lain peralatan bantuan bagi menghindari pencemaran seperti mask dan sebagainya,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily selepas membuat lawatan ke tempat berkenaan hari ini.

Turut sama lawatan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor merangkap Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil ke Bilik Operasi Bencana di bawah seliaan Khidmat Malaysia negeri. Johor.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Insiden itu berlaku selepas tiga bulan melibat kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk. – HARAKAHDAILY 25/6/2019

LAPORAN polis oleh DAP yang mahu mengheret Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor kepada Akta Hasutan hanya menyerlah sisi kuku besi dan menyeringainya taring kuasa mereka. Itulah sikap DAP atas kekuasaan yang sebenarnya membawa ciri-ciri keangkuhan, menzalimi dan menindas ke atas lawannya.
 
Ianya sama sekali jauh dari nama parti itu yang kononnya membawa demokrasi dan sosial. Hakikat telah membuktikan mereka adalah pihak yang tidak boleh berada di medan perbincangan atau wacana. Apatah lagi seandainya perkara dikemukakan itu tidak selari dengan agenda untuk meraih sokongan dan mengukuhkan punca kuasa.
 
DAP hanya mahu semua pihak seia sekata atau tunduk dengan desakannya yang melampau, ekstrem, radikal bahkan tidak beretika serta berhemah, selain tidak menghormati juga banyak pihak. Merekalah sebenarnya mahu terus melihat perpecahan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dengan mempertahankan pendidikan berasaskan kaum.
 
Kerana hal ini sangat berkait dengan survival politik dan kuasa DAP. Sedangkan agenda penyatuan rakyat Malaysia boleh sahaja berawal dengan bahasa dan pendidikan. Maka, mereka menyekatnya supaya masing-masing terus terikat dan membudayakan semangat perkauman secara terpisah dengan kaum lain dan membibit prasangka.
 
Walhal sekolah vernakular bukan sahaja tiada dilindungi oleh perlembagaan, malah ianya terbukti menyebabkan jurang antara rakyat pelbagai kaum, apatah lagi dengan curahan api perkauman oleh DAP yang kini sebahagian pemerintah Malaysia. Oleh itu, cadangan pemansuhan sekolah ini adalah wajar dengan usia negara ini yang sudah lebih 60 tahun merdeka.
 
Rakyat pelbagai kaum boleh terus menutur bahasa ibunda masing-masing termasuk mengamalkan agama mereka secara aman dan bebas di negara ini. Malah, Presiden PAS antara yang terawal menegaskan betapa bahasa ibunda adalah terpenting kepada pendidikan awal murid-murid sekolah rendah. Ini juga pendirian semua pimpinan PAS.
 
Pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda perlu terus menjadi mata pelajaran untuk pelajar bagi kaum Cina dan India serta mereka yang berminat di sekolah rendah. Namun, bahasa kebangsaan wajib dipelajari demi ke arah penyatuan rakyat negara ini. Oleh itu, DAP tidak perlu menegakkan hujah yang dangkal dan menyerlah kedunguan.
 
Perkara dikemukakan Salamiah adalah berbentuk cadangan, penyelesaian dan penegasan semula kepada banyak suara yang sama pernah dinyatakan ramai pimpinan, tokoh dan pihak dalam negara ini. Ia bukan penghapusan kaum, melainkan membendung perpecahan dan kegagalan mencapai perpaduan kaum yang dihasratkan.
 
Tidak ada pihak sepatutnya menggelupur kepanasan dengan cadangan murni ini, melainkan mereka itu mempunyai motif dan agenda disebaliknya. Kini terserlah nyata, DAPlah sedang tidak tentu arah, gusar, paranoid dan terancam. Kami dengan ini menyatakan sokongan dan berdiri teguh bersama Salamiah Mohd Nor serta menyeru solidariti menghadapi keegoan DAP.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Islam Memimpin Wanita Sejahtera"
"Muslimat Istiqomah Memacu Kemenangan"
 
YUSMA YUSOF
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang - HARAKAHDAILY 25/6/2019

KAMPAR: Tindakan DAPSY menggambarkan kejahilan mereka mengenai Perlembagaan Persekutuan dan bertindak melulu terhadap kenyataan Ustazah Salamiah Mohd Noor yang memberi pandangan berkenaan isu pendidikan. 
 
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat berkata, laporan polis dibuat DAP berniat jahat dan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dalam memberi pandangan yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
 
"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka yang dilihat seolah-olah cuba menjadi hero, tapi kurang cerdik walaupun dikatakan dibarisi pemuda berlatarbelakangkan bidang perundangan. 
 
"Kami ingin mempersoalkan mengapa DAP khususnya DAPSY Kampar menggelupur seperti cacing kepanasan dengan cadangan itu sehingga sengaja ingin memangsakan Ustazah Salamiah dengan Akta Hasutan? 
 
"Sedangkan pemimpin-pemimpin PH berulang kali mendesak agar akta ini dihapuskan sebagaimana janji PH dan DAP dalam Manifesto PH. Ini juga hanya menunjukkan sikap tidak konsisten mereka," bidasnya.
 
Terang beliau, mengikut sejarah, sekolah vernakular diiktiraf selepas terbitnya Penyata Razak 1956 di mana pada mulanya, British hendak menghapuskan semua sekolah vernakular. 
 
Tetapi ujarnya, atas dasar menghormati antara kaum, Tunku Abdul Rahman telah menghalangnya di mana sekolah vernakular yang dibenarkan hanyalah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)  sahaja. 
 
"Apabila sampai tahap menengah, semua pelajar perlu memasuki sekolah aliran kebangsaan. Dengan kata lain, tiada sebarang masalah pun sekiranya kerajaan mahu menghapuskan SJK.
 
"Atau menghentikan dana kepada sekolah vernakular. Kerana cuma melibatkan pertukaran dasar kerajaan sedia ada sahaja dan tidak melanggar klausa dalam perlembagaan," hujahnya.
 
Tambah beliau, harapan kebanyakan rakyat Malaysia ialah ingin melihat isu sekolah vernakular diambil tindakan yang matang oleh kerajaan kerana dilihat seolah-olah melebarkan jurang perpaduan kaum.
 
Pihak beliau turut menyatakan solidariti buat Ustazah Salamiah dan mendoakan agar terus diberi kekuatan untuk berjuang menentang sebarang agenda dan tindakan yang ingin mencalarkan dan merosakkan perpaduan kaum di Malaysia. - HARAKAHDAILY 25/6/2019

BERTERUSAN nampaknya kecaman DAP terhadap PAS sehubungan dengan cadangan wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor, supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan.
 
Hari ini giliran Ketua Pemuda DAP merangkap Ahli EXCO Kerajaan Perak, Howard Lee, pula mengecam PAS melalui tulisan bertajuk “tiada bukti masyarakat bertutur bahasa sama tak berpecah”.
 
Kata Howard Lee, cadangan ini “amatlah dangkal”, “'tin kosong' yang langsung tidak membina”, “pemikiran terpesong”, “berniat menyemai kebencian antara rakyat”, “berbaur hasutan” dan “mengundang permusuhan”. 
 
Poin utama beliau adalah tuduhan bahawa sistem pendidikan vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum adalah tidak benar serta kelompok yang bercakap satu bahasa juga tidak semestinya sehati dan sealiran.
 
Saya tertanya-tanya kepada siapa sebenarnya semua kecaman DAP ini hendak ditujukan kerana jika kita teliti balik bukan PAS sahaja malah banyak pihak berwibawa lain yang turut mengutarakan perkara sama sebelum ini.
 
Termasuk di antara tokoh-tokoh ini adalah pemimpin kerajaan sekarang seperti:
(1)    Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, yang menyatakan pada 25 Oktober 2018 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah penghalang kepada perpaduan nasional, 28 Jun 2018 bahawa beliau berharap untuk melihat wujudnya satu sistem sekolah sahaja, di samping menyatakan perkara sama sebelum ini, antaranya pada 14 Disember 2008, 20 Jun 2012 dan 17 November 2014.
(2)    Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah, yang menyatakan pada 1 Disember 2008 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan semua kanak kanak dikehendaki mengikut satu sistem persekolahan untuk mencapai kesamarataan dan perpaduan.
(3)    Datuk A Kadir Jasin, Pegawai Media kepada Perdana Menteri, yang menyatakan pada 5 Disember 2008 bahawa “tidak guna kita mengekalkan sistem yang ada sekarang semata-mata kerana cauvinisme politik sedangkan sistem pendidikan kita hambar dengan pelajar pelbagai kaum yang tebal perkauman serta lemah dalam semua bahasa yang kononnya diperjuangkan”.
 
Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan istana seperti:
(1)    Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, yang menyatakan pada 7 Mei 2015, 21 September 2016 dan 3 November 2016 bahawa sekolah rendah hanya perlu memiliki satu aliran dengan bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa penghantar bagi mengatasi masalah perpaduan kaum.
(2)    Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang menyatakan pada 4 September 2016 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah satu aliran.
 
Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan agamawan seperti:
(1)    Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak, yang menyatakan pada 23 September 2015 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dimansuhkan bagi mengurangkan masalah perbalahan kaum yang semakin meruncing.
(2)    Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis, yang menyatakan pada  24 Disember 2018 bahawa semua anak Malaysia hendaklah melalui pendidikan sistem sekolah kebangsaan dari umur tujuh tahun sehingga ke umur dua belas tahun. 
 
Termasuk di antara tokoh-tokoh ini juga adalah golongan cendekiawan seperti: 
(1)    Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, pakar sejarah UM (waktu itu), yang menyatakan pada  2 Disember 2008 bahawa cadangan menyatukan sistem persekolahan sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950) dan 22 Oktober 2009 bahawa sistem sekolah satu aliran perlu dilaksanakan bagi mewujudkan perpaduan kaum.
(2)    Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Rektor KYM (waktu itu), yang menyatakan pada  2 Disember 2008 bahawa cadangan menyatukan sistem persekolahan asalnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956 dan pelaksanaannya akan dapat mengeratkan perpaduan kaum.
(3)    Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, yang menyatakan pada  12 Mei 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan kerana ia bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat malah tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.
(4)    Prof Dr Rosnani Hashim, pakar pendidikan UIA (waktu itu), yang menyatakan pada 5 Februari 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina gagal memupuk perpaduan di kalangan pelajar sekolah dan melemahkan penguasaan bahasa Melayu.
(5)    Tan Sri Dr Abdul Rahmad Arshad, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, yang menyatakan pada 12 Mei 2013 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah aliran tunggal bagi menyatukan sistem persekolahan.
(6)    Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama KITA, UKM, yang menyatakan pada 27 September 2015 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan.
(7)    Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, pakar peradaban UNISZA, yang menyatakan pada 25 Januari 2016 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan.
(8)    Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Harun, pakar pendidikan UM, yang menyatakan pada 8 Januari 2019 bahawa Malaysia perlukan sekolah rendah satu aliran bagi mengukuhkan asas keharmonian negara.
(9)    Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, yang menyatakan pada 24 Mac 2019 bahawa beliau menyokong hanya wujudkan sekolah satu aliran demi perpaduan yang utuh.
 
Ramai lagi tokoh-tokoh lain yang berpandangan sama, termasuk dari dunia akademik, politik atau pentadbiran, tetapi cukuplah dengan senarai ini sahaja dahulu.
 
Malah, secara berkumpulan, pelbagai NGO Melayu Islam juga berpandangan sama, termasuklah:
(1)    Gabungan 130 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 11 Jun 2013 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.
(2)    Gabungan lebih 300 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 23 November 2014 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.
(3)    Gabungan 10 NGO Melayu Islam yang menyatakan pada 23 Mei 2019 bahawa kerajaan hendaklah menghapuskan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan.
 
Apakah DAP mahu menyatakan bahawa kenyataan semua tokoh ini “amatlah dangkal”, “'tin kosong' yang langsung tidak membina”, “pemikiran terpesong”, “berniat menyemai kebencian antara rakyat”, “berbaur hasutan” dan “mengundang permusuhan”?
 
Mengapakah pula DAP bersikap sangat selektif dan hanya berani membuat laporan polis terhadap PAS sahaja sedangkan banyak pihak lain yang turut membuat gesaan seperti yang dibuat oleh PAS, khususnya gesaan yang dibuat selepas berlangsungnya PRU 14?
 
DAP mahu kecam PAS atau mahu kecam siapa sebenarnya?
 
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 25/6/2019

KOTA BHARU: Sebanyak 77 kertas kerja dibentangkan ahli akademik dan ulama dari seluruh dunia sempena Muslimah International Summit Kelantan (MISK) 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata, kehadiran mereka memberi manfaat kepada kerajaan negeri bagi mendepani cabaran semasa.

Katanya, hasil dari pembentangan itu boleh digunakan sebagai asas terhadap sebarang tindakan serta program kerana ia berpandukan fakta serta kajian.

"Persidangan ini terbuka kepada semua pihak. Mereka boleh dengar dan tanya sendiri secara terus di persidangan ini. Kita lebih memahami kebanyakan yang terlibat merupakan pembuat dasar di Kelantan.

"Sebab itu kita ada Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP). Kita harap mereka merangka gerak kerja di kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan MISK 2019 di Hotel Grand Riverview (GRV) di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 25/6/2019

PAS Kawasan Labuan melihat Menteri Agama dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak beri keutamaan serta prihatin kepada keperluan pembinaan Sekolah Menengah Agama Islam Labuan.
 
Ini terbukti pada 22 Jun semasa Menteri tersebut turun ke Labuan, hanya mengumumkan kelulusan pembinaan beberapa buah masjid dan surau sahaja.
 
PAS Labuan memandang isu ini adalah satu kegagalan pihak Kementerian Agama dan pihak MAIWP yang sukar untuk diterima walau apa jua alasan yang akan diberikan.
 
Sekolah Menengah Agama (SMA) sebenarnya sudah lama diminta pembinaanya oleh penduduk Labuan 
 
Kronologi permintaan pembinaan SMA ini sudah berlarutan sejak lebih  20 tahun berlalu.
 
1.    Peruntukan pembinaan sebanyak RM 60 juta sudah diluluskan dan diumumkan oleh PM Kerajaan BN lalu pada tahun 2015.
 
2.    Tapak (Tanah) untuk pembinaan SMA sudah dikenalpasti dan diluluskan sejak tahun 2010. 
 
3.    SMA Labuan menumpang kelas pembelajaran di bangunan Sekolah Rendah Agama Lubok Temiang sejak tahun 2010.
 
4.    SMA Labuan juga menumpang asrama di SRAI Layang-layangan, SRAI Bebuloh, SRAI Sungai Miri sejak tahun 2010 hingga 2017.
 
5.    SMA Labuan meneruskan lagi menumpang asrama di Komplek Darul Kifayah pada januari tahun 2018 sehingga kini manakala kelas pembelajaran masih lagi menumpang di SRAI Lubok Temiang.
 
6.    Pembinaan SMA ini juga pernah dibincang hangat dalam mesyuarat Pengelola Sekolah-sekolah MAIWP di Kuala Lumpur sejak 2014 hingga 2017. Sehinggakan konsultan pembinaan SMA sudah dilantik. 
 
7.    Dan terakhir satu memorandum telahpun diserahkan oleh Yang Dipertua PIBG SMA kepada Kementerian Agama (melalui POS Laju),  juga diserahkan 'By  Hand' kepada Pengerusi MAIWP dan CEO MAIWP pada bulan Mac 2019 namun sehingga kini sunyi sepi. 
 
Kronologi permintaan, perbincangan dan proses kelulusan tersebut terlalu lama sehingga sekarang masih belum ada tanda tanda SMA ini akan dibina.
 
Ini jelas membuktikan betapa tidak efisyen Kementerian Agama dan MAIWP dalam menangani isu ini.
 
PAS Labuan minta pembinaan SMA ini disegerakan dan penduduk Labuan tidak mahu lagi mendengar apa jua alasan dari pihak terbabit. 
 
Sekarang adalah masa untuk 'execute' bukan lagi mencipta alasan yang pelbagai.
 
Daripada fakta dan data yang PAS Labuan huraikan di atas, maka kami melihat dan merasakan tidak ada alasan lagi untuk pihak Kementerian Agama dan MAIWP untuk berdalih atau melambatkan projek pembinaan SMA Labuan. 
 
PAS Labuan menggesa agar kementerian Agama atau pihak MAIWP  bertindak secara profesional dan transparen supaya membentangkan  'monthly  progress' dengan mengujudkan satu Website khusus bagi melaporkan pembinaan SMA berasrama penuh ini kepada rakyat sehingga SMA ini siap dibina dan digunakan. 
 
Kegagalan berbuat demikian pasti akan merendahkan keupayaan, imej dan keberkesanan pentadbiran Kementerian Agama dan MAIWP di mata penduduk Labuan.
 
Jika SMA ini gagal direalisasikan maka hanya satu sahaja lagi penyelesaian iaitu: Tunggu 'People Judgement'  pada PRU15.
 
HAJI HAMIR ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan
25 Jun 2019 - HARAKAHDAILY 25/6/2019

BAYAN  BARU: Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Korsortium SRS dilihat cuba mengheret institusi Mufti untuk diperalat secara berkepentingan dalam isu Masjid Sungai Nibong Besar, di sini.
 
Pengerusi NGO Teroka, Zikrullah Ismail berkata, ketika ini sudah diutarakan beberapa pihak mengenai kaedah 'Istibdal' tanah wakaf yang kelihatan sebagai langkah kepada plot seterusnya.
 
Jelas beliau, plot tersebut berawal dengan pihak kerajaan negeri dan pemaju menzahirkan kesungguhan mereka mendapat pandangan Mufti yang dilihat cuba menghalalkan tindakan mereka hanya setelah Masjid Sungai Nibong Besar dirobohkan.
 
Apatah lagi katanya, pihak Mufti yang berautoriti dalam hal tersebut telah lebih dahulu menyebut mengenai 'maslahah' di mana menggambarkan pembangunan tersebut untuk umum.
 
Walhal pertikai beliau, wujud penipuan di mana kerajaan negeri dan pemaju tidak jujur dan berpegang janji di mana berbangkit jajaran alternatif setelah masjid tersebut dirobohkan.
 
Sedangkan katanya, ia tidak wujud sebelum itu, sekali gus bermakna kaedah 'Istibdal' tersebut sedang dijadikan hujah untuk membolehkan tindakan mereka mengambil tanah wakaf tersebut.
 
Minggu lalu penduduk dan ahli kariah Masjid Sungai Nibong Besar mengadakan himpunan bantahan rancangan pengambilan tanah wakaf masjid di hadapan Bangunan Komtar, George Town. 
 
Pengambilan tersebut adalah bagi sebahagian projek laluan Aliran Transit Ringan (LRT), namun dilihat banyak pihak sebagai satu lagi usaha pihak berkenaan 'mengusir' penduduk Melayu-Islam.
 
Sementara itu dalam tinjauan di masjid tersebut telah menemui beberapa kayu tanda di atas tanah kubur yang dipercayai berkaitan dengan ukuran bagi pembinaan projek tersebut. - HARAKAHDAILY 25/6/2019
IMG 20190625 WA0018
 
IMG 20190625 WA0020
 
IMG 20190625 WA0021

KHIDMAT Malaysia telahpun turun ke Pasir Gudang bagi melihat sendiri perkembangan bencana pencemaran udara yang sedang dihadapi oleh penduduk Pasir Gudang. Saya telah diiring oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato' Haji Mahfodz, Iqbal Ghani Ismail (Pengarah Jabatan Amal Johor), Abd. Aziz Abdullah (Setiausaha Khidmat Malaysia Negeri Johor), Puan Derwena Masuruni (Ketua Briged Muslimat Johor) dan beberapa orang petugas daripada Jabatan Amal serta Briged Muslimat.

Kami telah ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang (KKPG) dan Stadium Tertutup Pasir Gudang (STPG) untuk meninjau keadaan pengurusan bencana di sini.

Di KKPG, petugas Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah diberikan tugas untuk menguruskan mereka yang disyaki terkena pencemaran tersebut. Mereka yang terlibat terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Petugas Khidmat Malaysia yang terdiri daripada angggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah pun mula turun untuk membantu pihak pengurusan seperti mana yang telah dilakukan ketika Ops Bencana Sisa Bahan Kimia pada bulan Mac 2019 yang lalu.

Bilik Operasi Sementara (BOS) bagi bencana pencemaran udara di Pasir Gudang ini telah dibuka di PASTI AL-KAUTHAR 14, No.32, Jalan Mawar 33, Taman Mawar, Pasir Gudang.

Mengikut laporan daripada BOS, bermula pagi tadi sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, terdapat seramai 5 orang yang mendapatkan rawatan di KKPG dan seramai 14 orang yang dirawat di STPG.

Setakat ini, keadaan masih terkawal lebih-lebih lagi selepas sekolah diarahkan bercuti. Namun, setiap petugas Jabatan Amal dan Briged Muslimat diminta bersiap sedia sentiasa.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat
Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Johor
21 Syawal 1440 / 25 Jun 2019, 2.50 petang – HARAKAHDAILY 25/6/2019

SAYA ingin merujuk kepada siaran media Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2019 mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol. Berdasarkan kenyataan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah berunding dan menawarkan sejumlah RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya di bawah kepentingan GAMUDA iaitu LDP, SPRINT, KESAS dan Terowong SMART.

Namun begitu, jalan solusi yang ditawarkan tidak menguntungkan rakyat. Sekiranya pengambil alihan ini berjaya, Kerajaan Persekutuan tidak lagi terbeban untuk membayar pampasan, manakala pihak GAMUDA akan memperoleh sejumlah wang yang lumayan hasil daripada penjualan aset tersebut. Bagaimana pula nasih rakyat?

Rakyat akan terus diperas dengan kadar maksimum caj kesesakan yang pasti akan dikenakan pada waktu puncak untuk menampung khidmat hutang (bon), kos operasi dan penyelenggaraan empat lebuh raya tersebut. Sampai bila rakyat akan terus membayar caj dan bayaran tol tersebut? Mengapa akhirnya beban kewangan ini dipikul oleh rakyat?

Hal ini jelas bercanggah dengan janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol selepas memenangi Pilihan Raya Umum yang lalu. Cadangan pengambil alihan ini tidak menguntungkan rakyat sebaliknya menyelamatkan pihak konsesi yang telah mengaut keuntungan selama ini.

"Islam Memimpin Perpaduan"

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
25 Jun 2019/ 21 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 25/6/2019

KOLUMNIS

Grid List

APABILA parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh DAP berusaha untuk memperingati almarhum Ustaz Fadzil, perasaan ahli-ahli PAS sangat terganggu. Sebelum ini mereka juga memperalatkan nama mantan Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk kepentingan politik mereka. Sewajarnya jika tokoh yang ingin dijulang oleh PAN ialah pimpinan besar DAP atau pun penggerak awal IRC, aljamaah atau pun HIS. Ustaz Fadzil semenjak muda sehingga dijemput Ilahi kekal bersama dengan PAS, meredah kepayahan dan badai perjuangan sehingga almarhum meninggalkan kita dengan seribu keteladanan. Telah 17 tahun, sosok ini meninggalkan kita namun namanya tetap harum di lubuk hati kita semua.

Dato' Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir Ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibu bapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanah air iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda .

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar.

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya rejim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada Ustaz Fadzil. (Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu)

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (Dun) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70-an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihan raya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, di tengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS di mana 8,000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70-an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Ustaz Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70-an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80-an terutama selepas Anwar menyertai Umno.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70-an.

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama-ulama untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah.

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihan raya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah di mana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dun Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihan raya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihan raya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan Dun Bukit Raya berikutan kematian ahli Dun tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan Dun Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN, Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN, Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di Dun Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana Dun ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di Lebuh raya KESAS, di hadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan, beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur, Qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah. Begitu juga, apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu. Bayangkan apa sikap almarhum jika kelompok serpihan PAS keluar dan menubuhkan parti?

Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjak zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh umat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan, melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan. Ustaz Fadzil sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh umat, didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah Bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya di hati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Almarhum tetap istiqamah memperjuangkan Islam dan kemuliaannya, malangnya sosok ini cuba dirampas sejarahnya oleh PAN. Mereka memperingati Ustaz Fadzil untuk apa? Untuk menguar -uarkan pada umum bahawa merekalah legasi perjuangan almarhum? Mereka salah memahami sejarah emas sosok besar perjuangan Islam ini, DAP keluar daripada pemuafakatan dengan PAS di zaman almarhum iaitu pada tahun 2001. Almarhum pernah duduk sepentas dengan Presiden Umno dalam berhiwar tentang isu Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka. Amalan itu diteruskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu Rohingya pada Disember 2016, namun merekalah paling kuat melalak dan memperlekeh usaha murni Presiden PAS. Mereka tak layak membicarakan sejarah almarhum jika sekadar menjadi khadam kepada DAP dan bermanis muka dengan jahiliah moden! – HARAKAHDAILY 24/6/2019

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

KAMI mendapat perkhabaran sedih dan berdukacita di atas pemergian bekas Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi selepas menghadiri perbicaraan mahkamah di Kaherah.

Kami menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada ahli keluarga Dr Mohamed Morsi serta saudara seperjuangan Ikhwanul Muslimin dan seluruh rakyat Mesir.

Sesungguhnya dunia Islam kehilangan seorang pejuang yang akan dikenang di atas keberanian dan kesabaran menghadapi tekanan demi memperjuangkan keadilan untuk Mesir dan rakyatnya, serta perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

Kami menggesa pihak berkuasa di Mesir dan agensi antarabangsa untuk melakukan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap punca kematian Dr Mohamed Morsi, termasuklah penjagaan beliau ketika di bawah pengasingan bersendirian selama ini.

Kami turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk mendirikan solat jenazah ghaib, dan semoga roh Dr Mohamed Morsi ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan hamba-Nya yang soleh.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 18/6/2019