Artikulasi politik Bangsa Johor, anak seni dan budaya

- Advertisement -

SEBELUM melangkah ke sempadan negeri Johor, beberapa orang teman dalam kumpulan WhatsApp mengingatkanku, “Johor ini lain, tanah Selatan yang sangat berbeza dengan kawasan Malay Belt… kena ikut aturan budaya negeri Johor,” tukas sahabat seperjuangan yang prihatin.

Dalam rakaman sejarah, negeri Johor pernah bertukar kerajaan pada tahun 2018, negeri tanam tembuni Umno pada 11 Mei 1946. Terakam dalam sejarah Johor, negeri ini melahirkan paling ramai kepimpinan Umno sejak Dato’ Onn Jaafar dan ia juga negeri yang membidani paling meriah anak seni, budayawan dan karyawan pelbagai genre.

Dalam dekad 1980-an, negeri ini seperti dilanda garuda ‘rockmania’ dengan kemunculan kumpulan-kumpulan glamrock seperti Search, Lefthanded, Febians, Junction, Gersang, BPR serta ratusan yang lain. Pelbagai kumpulan glamrock serta puluhan kumpulan metal rock ini lebih dikenali dengan keaktifan mereka dalam pertandingan kugiran, persembahan majlis kahwin serta persembahan funfair akhir dekad 1980-an, akhir dekad 1990-an dan awal milenial.

- Advertisement -

Adalah lumrah di mana Umno dan kumpulan-kumpulan muzik rock merajai carta hati peminat-peminat politik serta pentaksub seni dan politik. Ungkapan sinis ‘orang Johor berdarah Umno… orang Johor tak berpisah dengan hiburan’ adalah pencitraan negeri Selatan ini. Tidak kurang pula anak-anak seni negeri Johor pada suatu ketika dahulu yang mengisytiharkan diri sebagai penyokong Umno seperti Dato’ Nash Lefthanded, Azli Senario, Dato’ Abdul Rahman Hassan dan figura anak seni yang lain. Dalam milenial baru ini, barulah terlihat kepelbagaian wadah untuk anak seni berekspresi setelah hegemoni politik parti berkuasa mulai longgar.

Dalam kesibukan kempen PRN Johor, penulis dan tim LESTARI meluangkan masa untuk menziarahi pusara Allahyarham Mael XPDC atau nama sebenarnya, Syed Ismael Syed Ibrahim. Kumpulan XPDC tidak boleh dipisahkan dengan arwah Mael dan juga JS Kevin yang mana lebih tiga dekad mereka telah menghiburkan peminat malah kecenderungan kumpulan ini dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah dalam tempoh dua dasawarsa terakhir ini.

Menurut sesepuh kumpulan XPDC iaitu Azuar Mat Tasi atau lebih dikenali sebagai Zuar XPDC yang berkawan rapat dengan arwah Mael sejak zaman bujang dan pernah hidup serumah dengannya, antara amalan Mael yang ketara ialah suka bersedekah. “Jangan dilihat kepada penampilan dan cara arwah… di luar nampak rock tetapi sebenarnya arwah  Mael sangat baik,” ujar pemain bass XPDC ini.

Mael di antara sahabat-sahabat rapat Zuar yang tidak berkira dan amat pemurah dalam menyumbang, termasuk turut membeli lot-lot wakaf untuk pembinaan Masjid Siti Khadijah Tahfiz an-Nur Besut dekat Jerteh, Terengganu.

Satu sisi lain yang kurang diketahui oleh peminat seni negara ini ialah berkaitan gerak kerja arwah Mael dan kawan-kawannya dalam misi dakwah dan kebajikan. Mereka kerap menyantuni orang asal. Mereka pernah berkolaborasi dengan NGO dakwah Orang Asal, masuk ke dalam belantara di negeri Pahang dan negeri Perak serta pernah mengislamkan hampir 40 Orang Asal. Orang Asal negara ini terutamanya anak-anak muda mereka sangat meminati genre muzik rock, sejauh mana pun penempatan kaum Asal namun nama dan lagu-lagu XPDC tetap dihafal di mulut. Sebab itulah dalam misi-misi dakwah Orang Asal, aku suka mengajak Zuar untuk ikut serta. Balai rewang pasti akan meriah, bahkan mereka menikmati setiap bait lagu dan irama yang dilantunkan oleh Zuar. Menurut Zuar, arwah Mael menikmati misi dakwah kerana naluri Mael memang pemurah dan suka membantu orang.

Mael pernah sepentas dengan ikon dakwah anak muda seperti Ustaz Azhar Idrus, Allahyarham Bob Lokman, juga pernah bersama Ali Terra Rossa, Mel Wings dan lain-lainnya. Arwah Mael adalah watak tipikal orang Johor, berbahasa santun, boleh menerima perbezaan dan itulah dalam bahasa politik orang Johor.

Syed Ismail juga dikenali sebagai Mael XPDC akan tetap dalam kenangan kolektif kita semua. Lagu-lagu yang dinyanyikan dengan lirik berunsur kemanusiaan dan ketuhanan akan terus dilantunkan. Generasi yang lahir dalam dekad 1970-an dan 1980-an akan mengingati nama besar ini kerana lagu-lagu nyanyian Allahyarham bukanlah sekadar penyedap halwa telinga malah berupaya menyuntik motivasi dan semangat.

Harapan kita pada para pengundi negeri Johor pun sama, untuk menjadi lebih berhati-hati dalam mengangkat pemimpin, segalanya akan dihitung di alam sana.

Dengan kegagalan kerajaan Persekutuan silih berganti dalam penggal yang suram ini maka jauhilah undian untuk calon-calon PH. PAS atau PERIKATAN NASIONAL menawarkan barisan calon yang merakyat, terbukti berada di lapangan serta bersahsiah. DUN Johor memerlukan suara semak dan imbang yang efektif, jujur dalam menjadi juru bicara ummah bagi rakyat Johor. Silap memilih pemimpin maka kesan berganda kepada generasi akan datang!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -