Campur tangan politik gagalkan sukan bola keranjang
Rizal Tahir   

KOTA BHARU, 29 Jun: Mungkinkah gara-gara karnival Kelantan Fiesta 2010 gagal mendapat sambutan, kebenaran penggunaan gelanggang bola keranjang di Sekolah Menengah Chung Hwa, Jalan Kelochor tiba-tiba dibatalkan.

Difahamkan arahan pembatalan itu dibuat Jabatan Pelajaran Negeri melalui pengurusan sekolah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, penganjuran kejohanan itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 18 Jun lalu, namun telah dibatalkan pada hari keempat.

“Kami difahamkan pihak sekolah memberitahu kejohanan bola keranjang itu terpaksa diberhentikan atas campur tangan politik.

“Mereka mengarahkan pihak sekolah memberhentikan kelulusan penggunaan gelanggang di sekolah terbabit.

"Kita juga sedih institusi pengajian tinggi yang telah menghantar peserta turut diarah membatalkan penyertaan biar pun mereka sudah turun gelanggang pada kejohanan nonChinese bagi merebut Piala Exco Sukan ,” katanya di sini.

Beliau berkata, sekatan penggunaan gelanggang itu amat tidak wajar kerana ia berbeza dengan apa yang berlaku pada Kelantan Fiesta 2010 di mana pihak penganjur melanggar syarat yang dipersetujui.

Kata beliau kejohanan terbabit dianjurkan Persatuan Bola Keranjang Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menurutnya campur politik seperti itulah yang boleh merosakkan mutu sukan di negara ini.

Sehubungan itu kata beliau bagi mengatasi perkara berkenaan berulang pada masa akan datang pihaknya akan menggantikan tempat yang baru bagi penganjuran kejohanan terbabit antaranya gelanggang di Padang Perdana.

Kejohanan itu sepatutnya berlangsung seminggu dan dijangka berakhir 24 Jun lalu bagaimanapun terpaksa dihentikan buat seketika. Dan ia akan diteruskan semula tidak lama lagi.

Sementara itu pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada Persatuan Bola Keranjang Kelantan bagi mendapatkan gelanggang baru untuk meneruskan kejohanan tersebut.

“Kerajaan negeri merasakan gelanggang baru perlu dibina khusus untuk sukan bola keranjang. Perkara itu sedang diurus Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam,” ujarnya.

 

 

 

Bookmark and Share

Adv Premium inside