Kerajaan negeri minta sambung semula bekalan air di Armada Putra
Harakahdaily   
KLANG, 7 Feb: Kerajaan negeri meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyambung sementara bekalan air di Pangsapuri Armada Putra, Pulau Indah.

Perkara itu terkandung dalam surat yang dihantar Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Adun Penyelaras Dun Pelabuhan Klang, Nik Nazmi Nik Ahmad serta merta kepada Syabas selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk.

Kerajaan negeri juga akan menyiasat secara terperinci dakwaan salah urus (mismanagement) anak syarikatnya, SAP Urus Harta Sdn Bhd berhubung pemotongan air di pangsapuri itu.

Ini ekoran Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago telah mengadakan satu mesyuarat antara penduduk dengan Nik Nazmi dua hari lepas.

Dalam pada itu, Charles dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap pemotongan air kali ke-10 di pangsapuri berkenaan pada minggu lepas.

Keempat-emplat blok dikatakan berhutang sebanyak RM790,430.48 kepada Syabas, jumlah luarbiasa tinggi itu adalah disebabkan oleh kebocoran paip air selama dua tahun yang tidak dibaiki.

Menurutnya, melainkan kebocoran air, syarikat pengurusan bangunan menuduh penduduk tidak membuat bayaran air dan penyenggaraan.

Namun, ujarnya penduduk berkata mereka tidak harus dipersalahkan kerana tidak pernah menerima bil untuk buat pembayaran air dan penyenggaraan dalam enam tahun yang lepas.

Charles juga berharap agar Syabas menerima saranan daripada mesyuarat tersebut kerana air merupakan hak asasi rakyat.

Katanya, kerajaan dan syarikat air mempunyai tanggungjawab menjaga hak asasi rakyat terhadap air manakala syarikat tidak patut berorientasi keuntungan sahaja.

Tambahnya, beberapa mesyuarat dan perundingan antara Syabas, ahli majlis dan pihak berkuasa telah dijalankan sejak November 2009 dan satu jawatankuasa penduduk telah ditubuhkan.

Menurutnya lagi, pada Disember 2009, Syabas telah menangguhkan pemotongan air yang dirancangkan selepas campur tangannya dan kerajaan negeri.

Satu mesyuarat agung tergempar antara semua pemilik rumah dan syarikat pengurusan sekarang, ADSB Sdn Bhd telah dianjurkan pada 7 Disember lepas untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu tetapi tiada sebarang keputusan.

 

Bookmark and Share

Adv Premium inside