Presiden PAS korban tiga ekor lembu | Print |  E-mail
Harakahdaily   
MARANG, 28 Nov: Sebagaimana biasa, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menyembelih haiwan korban sempena Hari Raya Iduladha, semalam.

Pada tahun ini, beliau mengorbankan tiga ekor lembu yang dilakukan di pekarangan rumahnya selepas mengimami solat sunat Iduladha di Masjid Rusila.

Setelah selesai menyampaikan khutbah kira-kira 45 minit, para jemaah termasuk kanak-kanak mengambil kesempatan bersalaman dengan beliau.

(Gambar: Ustaz Hadi bersalam dengan para jemaah selepas solat Idul Adha)

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyembelih haiwan korban para penduduk sekitar Kampung Rusila atas jemputan mereka.

Di Parit Buntar, kemeriahan Hari Raya Korban pada tahun ini diteruskan oleh program rutin tahunan anjuran PAS Kawasan Parit Buntar iaitu Ibadah Korban di mana pada tahun ini sebanyak tujuh ekor lembu telah dapat dikumpulkan dari pelbagai pihak.

Keadaan lebih meriah dengan kehadiran Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf dan Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim sebagai peserta korban dan sekaligus meraikan petugas dalam program tersebut.

Mereka yang melakukan ibadah korban termasuklah PAS Kawasan Parit Buntar sendiri, Ahli Parlimen Parit Buntar dan Adun Titi Serong.  

"Saya sangat kagum dengan golongan pelapis dikalangan pemuda yang berkerja keras untuk menumbangkan lembu, melapah dan mengagihkan daging korban pada hari," kat seorang peserta korban tersebut.

Semua daging korban telah diagihkan kepada semua cawangan PAS dalam Parlimen Parit Buntar kepada fakir miskin dan orang ramai.