Belia diminta patuhi ajaran Islam | Print |  E-mail
Mohd Nor Yahya   

KOTA BHARU, 22 Nov: Pentadbiran sesebuah negeri perlu melibatkan genarasi muda sebagai persediaan barisan pelapis sesudah pemimpin sedia ada meninggal atau bersara.

Golongan yang boleh dianggap aset penting sesebuah negara itu perlu diberi pendedahan ilmu agama secukupnya sebelum teraju kepimpinan berubah, demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika merasmikan majlis Konvensyen  Belia dan Penganugerahan Tokoh Belia tahun 2009 bertempat di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir, Pengerusi jawatankuasa Pembanguan Insan,Belia,Sukan dan NGO Haji Abdul Fatah Mahmood, Wakil-Wakil Rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Dato Ahmad,kerajaan amat perihatin terhadap golongan belia kerana di masa kini terlalu banyak gejala sosial dan perkara yang boleh merosakkan pemikiran belia dan sekiranya ia tidak dibendung,kerajaan akan kehilangan belia berwibawa pada satu hari nanti.

Beliau juga berharap Kelantan akan dapat melahirkan belia dan beliawanis yang membesar bersama ajaran agama Islam yang mulia dan selari dengan dasar kerajaan iaitu Membangun Bersama Islam.

“Kita yakin sekiranya belia masa kini mematuhi ajaran agama dengan sempurna,mereka akan terselamat daripada segala gejala sosial yang melanda masa kini”ujar beliau lagi.

“Anak-anak belia yang mengikuti seminar maupun konvesyen seperti ini amat bertuah kerana telah mendapat ilmu dan ia boleh diamalkan di setiap masa,namun di luar sana masih ramai belia yang tidak mendapat sebarang pendedahan maklumat terkini dan mereka hanyut dengan dunia mereka sendiri”katanya.

Dato Ahmad juga berkata di zaman kini,belia mesti mengambil contoh baik dari negara luar seperti sentiasa menggunakan masa dengan membaca buku  terutamanya yang berkaitan dengan ilmu agama.

“Saya juga menyeru agar ramai lagi belia Islam dapat menceburi bidang perniagaan dan pertanian terutamanya yang berkaitan dengan Fardhu Kifayah seperti penyediaan makanan halal”ujar beliau lagi.

Sementara itu seramai empat tokoh belia telah diistiharkan sebagai Belia Contoh bagi negeri Kelantan dan Masjid Mesra Belia,mereka ialah Zurani Mohamed (Tokoh Usahawan Belia), Nazri Deraman(Tokoh Kemasyarakat), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail(Tokoh Ulamak Muda) dan Harun Ismail (Tokoh Anugerah Khas Belia) sementara itu Masjid An-Nur Wakaf Bharu pula telah diistiharkan sebagai sebuah masjid mesra belia 2009.

Anugerah Tokoh Belia 2009 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar  Kelantan Datuk Ahmad Yakob.