Masalah penghawa dingin, Sidang DUN Kedah ditangguh ke Ahad | Print |  E-mail
Bashir Ishak dan Mohd Shubihi Muhamad   

ALOR SETAR, 19 Nov: Persidangan hari ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini ditangguh ke Ahad, 22 November ini berikutan kerosakan sistem penghawa dingin dalam dewan.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengumumkan penanggguhan itu selepas menerima cadangan Dato' Seri Azizan Abdul Razak (PAS - Sungai Limau)supaya ditangguhkan persidangan dan disokong Dato' Phahrolrazi Zawawi (PAS - Pengkalan Kundor).

"Peristiwa ini pertama kali berlaku, memandangkan keadaan dewan yang panas, saya menangguhkan sidang dewan ini pada hari Ahad," katanya.

Sesi persidangan hari ini merupakan hari terakhir bagi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang dewan dan perbahasan bajet 2010. Manakala, sesi penggulungan pula dijadualkan pada sebelah petangnya.

17 November lalu, Menteri Besar Kedah telah membentangkan bajet 2010 yang menggariskan empat strategi sebagai instrumen untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat.