|
Mohd Sabri Said
|
BALIK PULAU, 19 Nov: Masyarakat Islam Balik Pulau bimbang jika tidak bertindak segera kegiatan judi ekor haram menjadi budaya belia melayu terutamanya remaja selepas kes kecurian dan dadah.
Selagi permis dan taukeh judi ekor haram tidak dikenakan tindakan ia terus berleluasa dan berkemungkinan menjadi trend terbaru remaja untuk mendapatkan wang hasil perjudian tersebut walaupun ia sebenarnya merugikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kongsi, Hisyam Ismail memberitahu, kegiatan itu dipercayai didalangi oleh individu tertentu yang membuka permis di belakang kedai kopi atau kedai runcit.
Ia dilihat hebat beroperasi pada hari Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad sekitar pukul 4.00 hingga 6.45 petang.
90 peratus pembelinya golongan melayu selain anak muda golongan veteran juga tidak ketinggalan membelinya dengan harapan mendapat habuan perbelanjaan tambahan.
"Amat memalukan kerana 90 peratus pembeli judi ekor haram adalah masyarakat melayu. Selain muda ada juga yang tua turut menjadi pembeli utama setiap kali keluaran, " tegasnya.
Sepanjang tinjauan yang dibuat oleh JKKK, masyarakat melayu mengharapkan Kerajaan Pakatan Rakyat melakukan tindakan segera.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Mohd Yusoff berkata, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) juga disaran mengadakan rodaan mengenal pasti beberapa lokasi yang dimaksudkan.
"PAS akan bekerjasama dengan Maipp dan JKKK sekiranya diperlukan demi menyelamatkan maruah orang Islam kerana selama ini sudah padat dengan judi toto, magnum dan lumba kuda, " jelas beliau.
|