Ketua Pemuda PAS Shah Alam nafi letak jawatan kerana tekanan parti | Print |  E-mail
Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ketua Pemuda Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron menafikan perletakan semua jawatannya di peringkat negeri dan pusat adalah disebabkan krisis dalaman parti seperti yang dilaporkan beberapa media pro BN.

Sebaliknya beliau memaklumkan, perletakan jawatannya di kedua-dua peringkat itu adalah kerana mengikut isterinya yang mendapat tawaran belajar di luar negara. Beliau juga membuat keputusan untuk turut mendapatkan tawaran pengajian di negara yang sama setelah menemani isterinya.

Beliau akan melepaskan jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Ketua Lajnah Politik Pemuda PAS Selangor, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor, dan Setiausaha Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat.

Manakala jawatan sebagai ketua pemuda akan dipangku oleh timbalannya.

"Jawatan saya sebagai Ketua Pemuda Shah Alam pula akan dipangku oleh timbalan saya selama ketiadaan saya di dalam negara," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen semalam.

Sebelum ini, beberapa media pro Umno melaporkan bahawa beliau meletak jawatan selepas mengaku kesilapan merakam pertemuan tertutup Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali dengan barisan Pemuda negeri yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Tetatertib PAS Pusat.

Sayuti menegaskan, kenyataan tersebut adalah satu fitnah dan berniat buruk.

“Ingin saya nyatakan hingga kini tiada apa pertanyaan atau sebarang tekanan diterima berhubung rakaman itu. Saya yakin Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat masih dalam siasatan berkenaan rakaman tersebut, dan akan menghubungi saya jika memerlukan maklumat lanjut berkenaan rakaman yang dimaksudkan,” katanya lagi.

Beliau turut menafikan laporan media yang mengatakan beliau kesal terhadap tindakannya melakukan rakaman dan penggunaan media untuk melaporkannya.

Rakaman tersebut tegas Sayuti langsung tidak mempunyai elemen penyebaran maklumat kepada mana-mana media, sebaliknya hanya untuk perhatian pimpinan tertinggi PAS pusat sahaja.

“Rakaman dan serahan bahan tersebut kepada pimpinan PAS dibuat dengan penuh tanggungjawab dan beramanah untuk melihat PAS lebih berjaya dalam gabungan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor, tanpa sesekali timbul rasa kesal,” tegasnya.

Menurutnya juga, sebagai Ketua pemuda Shah Alam, beliau meyokong penuh keputusan mesyuarat khas PAS Pusat 28 Oktober lalu untuk meyerahkan isu berkaitan PAS Selangor dan tindakan pesuruhjayanya kepada keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat.

“Saya berharap siaatan dilakukan dengan segera dan terperinci terhadap semua bahan bukti yang telah dikemukakan oleh mana-mana pihak kepada jawatankuasa tersebut,dan tindakan tegas hendaklah dikenakan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam menimbulkan polemik tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam sidang media yang sama berkata, Umno BN sedang berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan mewujudkan pelbagai krisis.

Ini dapat dilihat dalam isu hiburan, pengekatan jualan arak yang diluluskan bersama oleh barisan Ahli Majlis MBSA, isu perarakan kepala lembu, isu penghinaan dan ancaman terhadap wakil rakyat, permit khutbah dan sebagainya yang sering dimanipulasi Umno BN.

“Tak ada apa-apa masalah di Shah Alam.tak ada tekanan (dalam parti). Ini semua Umno punya permainan dan propaganda,” katanya.

Sayuti memberitahu, perletakan jawatannya itu telah dimaklumkan kepada Ketua Pemuda, Nasruddin Hasan dan akan dibawa ke mesyuarat pemuda pada 14 November ini.