
ARAU: Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali menyifatkan Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang berlangsung minggu lalu berjalan dengan lancar tanpa sebarang pertikaian seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
Beliau menzahirkan rasa syukur terhadap ketenangan perjalanan muktamar kali ini yang memperlihatkan perpaduan kukuh dalam saf kepimpinan dan ahli PAS.
“Sebelum muktamar saya dengar macam-macam, konon akan berlaku perubahan besar. Tetapi bila muktamar berlangsung, semua itu hanya cakap-cakap sahaja. Tidak ada pun gelombang yang disebut-sebut, semuanya berjalan elok seperti biasa.
“Pertandingan pun tidak berlaku sebagaimana digembar-gemburkan. Itu membuat hati saya rasa tenteram kerana jemaah kita dipimpin dengan selamat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Tuan Guru Ahmad Ali menyatakan bahawa ucapan-ucapan yang dibawa oleh para perwakilan jelas berpaksikan usaha untuk menyelesaikan halangan demi mencapai matlamat utama iaitu “Kembali Kepada Penyelesaian Islam”.
Beliau menekankan bahawa ucapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, serta pimpinan lain termasuk Pengerusi Lajnah Tarbiyah, Datuk Ustaz Idris Ahmad menunjukkan mereka istiqamah di atas manhaj telah digunakan selama ini.
“Mungkin yang saya agak tak bercanggah, itu saya bercakap ucapan-ucapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang saya nampak dia istiqamah atas manhaj yang kita pakai selama ini.
“Ucapan Pengerusi Lajnah Tarbiyah pun lagu tu la jugak, menuju kepada manhaj, kita nak bina fikiran melalui manhaj yang disusun oleh jemaah kita untuk meyakinkan kita bahawa kita tidak menyimpang, dari pakai manhaj-manhaj yang lain.
“Ucapan Tuan Guru Presiden perlu diteliti (hadam) betul-betul. Secara pokoknya saya faham tujuan-tujuan itu, sebab itu selama ini saya fikir, saya tidak membuat apa-apa yang bercanggah dengan itu, dengan apa yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden,” jelas beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar wartawan dan media rasmi PAS terus memainkan peranan penting membantu usaha PAS untuk membawa masyarakat kepada penyelesaian Islam.
“Kita perlu bantuan semua, orang yang jujur, terutama sekali wartawan. Sebab itu kita ada lidah rasmi seperti Harakah. Kita tak berani cakap benda yang menyimpang. Berita yang dikeluarkan pun ada penapis supaya tidak bercanggah dengan hala tuju jemaah,” katanya lagi.
Mengulas isu penggunaan bendera dalam pilihan raya, beliau menyatakan perkara itu masih belum diputuskan sepenuhnya.
“Benda itu saya tak mahu komen sebab belum ada keputusan total. Saya pun tiada autoriti. Yang dah berjalan, kita ikut, jangan buat lain pula nanti timbul isu. Kita tak mahu ganggu perancangan yang telah disusun,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini.
Dalam konteks politik negeri, beliau menegaskan bahawa kemenangan PAS di Perlis walaupun kecil skalanya perlu dipertahankan.
“Sekurang-kurangnya kemenangan ini kita pertahankan. Walaupun tidak mampu buat hebat, tetapi cukup untuk kesinambungan pimpinan akan datang agar mereka dapat menyambung atas manhaj yang telah kita letak bersama,” ujarnya.
Tuan Guru Ahmad turut menekankan peranan besar anak muda dalam pilihan raya yang lalu.
“Keputusan PRU menunjukkan 50 peratus pengundi adalah anak muda. Ini tenaga besar, tak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebab itu Presiden menulis buku untuk anak muda sebagai panduan agar tidak menyimpang,” tambahnya.
Ditanya mengenai pelantikannya sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ahmad menegaskan beliau menerima jawatan tersebut atas dasar arahan dan amanah parti.
“Saya tak pernah duga, tak pernah mimpi. Saya sendiri cakap dengan Mursyidul Am, saya diarahkan untuk terima. Kalau tarik balik, itu derhaka namanya.
“Jadi saya akan galas juga tugas ini walau berat, dengan harapan ada bantuan daripada orang yang jujur. Saya tidak perlu takut dengan sesiapa dalam menegakkan kebenaran,” tegasnya.
Mengulas tema muktamar kali ini, beliau menegaskan bahawa “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” merupakan dasar dan prinsip perjuangan PAS yang tidak boleh diubah.
“Gerakan Islam ini sudah 71 tahun. Sekali sekala kita kena toleh ke belakang. Adakah tujuan kita selari dengan asal? Kalau lari dari garisan, kena kembali semula. Itulah maksud “Kembali Kepada Penyelesaian Islam”.
“Kami yang duk ada dalam Majlis Syura Ulamak pun nak membantu ke arah itu sahaja. Dalam PAS Pusat, ada lajnah dia, depa bincang tapi depa selalu tanya adakah ini bercanggah dengan dasar Islam? Ha yang itu tanya Majlis Syura.
“Syura bantu yang itu sahaja, saya boleh bantu sikit sebanyak kot tu la, perkara-perkara dasar Majlis Syura Ulamak hanya bantu memastikan perkara dasar itu tidak bercanggah dengan Islam,” katanya.
Bekas pensyarah universiti di Brunei itu juga mengingatkan bahawa perlaksanaan dasar memerlukan sokongan semua pihak.
“Dasar tidak boleh diubah, yang tinggal hanyalah bagaimana kita terjemah dalam perlaksanaan. Itu kita kena pakat bantu bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025











