Sidebar

14
Mon, Oct

Fastaqim 2.0: Selamat berhimpun

Nasional
Typography

JIKA perhimpunan orang-orang beriman itu tidak memiliki tujuan dan hikmat yang besar, sudah pasti ibadah haji akan kekurangan hikmatnya yang nyata. Begitu juga ibadah solat dua hari raya atau solat Jumaat mahupun solat lima waktu secara berjamaah di masjid.

hadirTetapi itulah syariat Allah untuk para hambaNya. Dia menyuruh hambaNya beribadah menyembahnya dan pada saatnya yang khusus, Dia mahukan ibadah itu dilakukan secara beramai-ramai serentak. Dia sendiri secara jelas menyebut di dalam al Quran bahawa dengan perhimpunan ibadah itu, manusia bukan hanya merasa gembira dan tenang beribadah bersama-sama, bahkan manusia juga dapat memgambil manfaat duniawi yang banyak hasil daripada perhimpunan itu.

Maka di dalam syariat Islam, berhimpun kerana ugama atau ibadah adalah sunnah kecuali ianya dinyatakan kelebihan dan fadilat melakukannya secara bersendirian seperti solat sunat atau bersedekah secara senyap atau seumpamanya. Semuanya bertujuan agar para hambaNya mengecapi kebenaran dan keyakinan hidup di bawah payung ugama Islam yang benar.

Antara kelebihan yang nyata daripada perhimpunan umat Islam ialah memupuk kekuatan persaudaraan Islam melalui proses pengenalan dan pergaulan sesama mereka. Ia juga bertujuan meneguhkan kesatuan, kesepaduan dan kekuatan umat Islam di dalam menghadapi cabaran luar yang bertujuan menghancurkan umat Islam.

Hari ini apatah lagilah, kekuatan umat Islam amatlah didambakan. Tiada upaya lagi untuk umat ini bangkit daripada kehinaan dan kegagalan selain mestilah dengan persediaan kekuatan dalaman, luaran, zahiriah dan lahiriah yang menyeluruh. Sekadar berbekalkan semangat dan keikhlasan setinggi manapun, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi tuntutan sunnah Allah di dalam proses kebangkitan yang diimpikan. Ia tetap menanti terbinanya sebuah kekuatan yang benar daripada tubuh umat Islam.

PAS memahami ini dengan baik. Matlamat perjuangannya yang tinggi untuk menegakkan Islam di dalam negara sudah pastinya menuntut kekuatan yang tinggi juga. Justeru PAS amat mementingkan kekuatan ahli dan penyokongnya dan mengusahakannya. Dengan kekuatan jentera depan perjuangan umat Islam untuk kembali gemilang, PAS sentiasa sedar dengan kewajiban membina kekuatan tubuhnya dengan jitu.

Bermula kekuatan dalaman iaitu kekuatan akidah dan persaudaraan Islam, PAS membina kekuatan politik, tarbiyah, pendidikan dan jaringan sosialnya dengan agak nyata dan berkesan. Walau bagaimanapun masih ada kelemahan-kelemahan tetentu yang mungkin kerananyalah kemenangan besar masih belum dikecapi. Antaranya ialah kekuatan ekonomi, kewangan dan medium dakwah melalui teknologi baru yang lebih canggih. Tetapi usaha-usaha membaiki kelemahan ini terus dilakukan tanpa rasa penat dan lelah.

PAS-lah antara parti yang kerap mengadakan perhimpunan di kalangan ahli dan penyokongnya. Selain perhimpunan berjadual dan tetap seperti mesyuarat agung dan muktamar, PAS sentiasa mengukuhkan safnya melalui program-program perhimpunan seperti usrah, liqa fikri dan ijtimak samada di peringkat kawasan, negeri atau pusat.

Himpunan Fastaqim 2.0 yang akan diadakan di Terengganu pada 29 dan 30 September 2017 ini adalah antara perhimpunan atau ijtimak paling besar yang pernah disasarkan oleh PAS. Perhimpunan ini mensasarkan kehadiran sehingga 200,000 ahli dan penyokong PAS dari seluruh pelosok negara.

Ia adalah perhimpunan politik yang bertujuan mengumpulkan jentera parti dan menampilkan kekuatan politik PAS menjelang Pilihanraya Umum ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Jumlah yang ramai adalah bayangan dan nadi utama yang diperlukan bagi membina keyakinan rakyat terhadap keupayaan PAS untuk mendapat kepercayaan rakyat, seterusnya diundi untuk memegang amanah pemerintahan sama ada di peringkat negeri ataupun pusat.

Sudah pasti perhimpunan besar ini amat signifikan sekali bagi membina momentum menuju PRU14 nanti. Ombak politik negara yang tidak menentu akibat kemelut dan kesukaran yang dihadapi oleh kedua-dua pihak samada parti pemerintah atau pembangkang telah menyebabkan ramai rakyat yang masih keliru untuk membuat keputusan. Kekeliruan ini jika tidak dihilangkan pastinya akan merugikan negara dengan rakyat enggan menyertai proses pengundian atau membuat pilihan undi yang salah dan tidak menguntungkan negara.

Justeru jentera parti dan tiang-tiang sokongannya perlulah diperkasakan agar segera mara ke medan kerja bagi menerangkan dan memahamkan rakyat tentang kepentingan PAS untuk diberi kepercayaan memegang tampuk pemerintahan.

PAS sebaik sahaja krisis dalaman dan krisis antara pakatan pembangkang berakhir, terus membina kekuatan sendiri melalui pembentukan Gagasan Sejahtera yang dianggotai parti PAS dan parti Ikatan selain disokong oleh ratusan pertubuhan sivil bukan kerajaan (NGOs) yang begitu yakin dengan solusi dan penyelesaian yang dicadangkan oleh PAS bagi menyelesaikan isu-isu besar negara.

Kehadiran Gagasan Sejahtera dilihat begitu mengancam sokongan yang bakal diterima oleh sama ada BN atau Pakatan Harapan. Ia pastinya menimbulkan persoalan yang sukar dan akan menghasilkan natijah yang sukar untuk ditelah.

Ini kerana PAS mewakili arus Islam dalam negara. PAS juga semakin dilihat mewakili arus politik sederhana dan sejahtera yang kian diterima oleh rakyat. Kedua-dua arus ini jika digabungkan dan dikembangkan sudah pasti akan menghasilkan natijah yang begitu positif dan menguntungkan rakyat dan negara. Budaya politik negara yang lebih demokratik dan benar akan mengambil tempat bagi menggantikan budaya politik lama yang agak kasar, ketinggalan dan gagal memenuhi aspirasi negara hari ini.

Kehadiran PAS dengan imej baru yang lebih cemerlang sudah pasti mengundang keresahan parti-parti politik yang bakal bersaing dan berentap nanti. Kerana itulah PAS sehingga kini terus diserang dan dibedil dengan pelbagai tuduhan yang bertujuan meremehkan dan menggagalkan usaha murni PAS. Bermacam-macam tuduhan liar dilempar kepada PAS sehingga PAS, demi maruah dan integriti terpaksa menyelesaikannya melalui proses saman di mahkamah.

Sebagai sebuah parti yang penuh sejarah dan pengalaman perjuangan dan pengorbanan, PAS mestilah kental berhadapan kesukaran ini dan mestilah dilihat bersih dan gagah selamanya di mata rakyat. Justeru Himpunan Fastaqim 2.0 adalah begitu tepat diadakan pada masanya dan diharapkan mampu memperteguhkan roh perjuangan para ahli dan penyokong PAS.

PAS hakikatnya sudah pun berjaya menambat hati dan cinta rakyat kepadanya. Rakyat kini semakin menerima kehadiran PAS dalam politik arus depan. Apa yang masih ditagih ialah tahap keyakinan dan keberanian rakyat yang akhirnya sedia diterjemahkan kepada undi.

Saya bersama seluruh pimpinan PAS yang lain menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS untuk turut bersama hadir ke Himpunan Fastaqim 2.0 yang akan berlangsung beberapa hari lagi, seterusnya bersama-sama mendengar taujihat dan arahan penting daripada pimpinan jentera parti terutama daripada al Mursyidul Am dan presiden parti PAS.

Selamat berhimpun dan semoga dirahmati dan diberkati Allah.