Sidebar

20
Mon, Nov

Sekolah agama kini pilihan utama ibu bapa

Berita
Typography

KESEDARAN ibu bapa bagi menghantar anak ke sekolah agama semakin meningkat sekarang. Situasi itu lebih ketara berlaku di Kelantan.

Malah permohonan pelajar dari luar Kelantan memasuki tingkatan satu di sekolah kawalan Yayasan Islam Kelantan (Yik), ada antaranya terpaksa ditolak disebabkan kekurangan tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekolah agama sekarang bukan lagi kelas dua.

Katanya, sekarang sekolah agama menjadi pilihan masyarakat setelah membuktikan berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang akademi dan syaksiah.

“Sekolah Yik acap kali mendapat pencapaian akademik melebihi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Contohnya di peringkat SPM dua kali pelajar Yik muncul pelajar terbaik peringkat negara. Manakala bagi peperiksaan STAM pelajar Yik mengungguli pencapaian terbaik setiap tahun,” katanya di Kota Bharu.

Beliau juga berkata, permohonan pelajar untuk mengikuti pengajian tahfiz sains di sekolah Yik juga begitu tinggi.

“Bukan sahaja pelajar tempatan, sebaliknya dari seluruh Malaysia. Kita memang menyediakan kuota bagi pelajar luar Kelantan.

“Contohnya tempat yang kita sediakan hanya untuk 20 orang tetapi permohonan 50 orang. Sambutan sangat menggalakkan sekali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2017