Sidebar

25
Mon, Sep

Pesta arak tidak hormati sensitiviti umat Islam

Nasional
Typography

PENGANJURAN Better Beer Festival 2017 (BBF17) yang bakal berlangsung pada awal Oktober depan di Kuala Lumpur dan dikatakan menarik sasaran seramai 6,000 orang pengunjung sangat bertentang dengan nilai agama. Pesta ini turut menyentuh sensitiviti masyarakat muslim yang menjadi majoriti rakyat Malaysia.

Semestinya Islam mengharamkan arak yang merupakan ibu segala kejijikan daripada menular budaya meminumnya dalam masyarakat. Dalam hal ini Rasulullah SAW memperingatkan manusia tentang keburukan arak:

اجتنبوا الخمر فإنَّها مفتاح كلِّ شر

Maksudnya: "Jauhilah oleh kamu semua akan arak kerana sesungguhnya ia adalah kunci segala kejahatan". (Riwayat Baihaqi)

Larangan mengambil arak ini bukan setakat dilarang dalam Islam, malah agama-agama lain turut menyelar tindakan meminumnya. Dalam Imamat/Al-Lawiyyin: 10 ada menyebut:

خَمْرا وَمُسْكِرا: لا تَشْرَبْ أنْتَ وَبَنُوكَ مَعَكَ عِنْدَ دُخُولِكُمْ إلَى خَيْمَةِ الاجْتِمَاعِ لِكَيْ لا تَمُوتُوا فَرْضا دَهْرِيّا فِي أجْيَالِكُمْ

"Arak (perahan anggur) dan perkara yang memabukkan; Janganlah engkau minum serta anak-anakmu apabila kamu masuk ke dalam Khemah Pertemuan supaya tidak kamu mati. Itulah suatu ketetapan untuk selamanya kepada generasi kamu turun-temurun".

Sementara dalam Parabhava Sutta juga ada menyebut bersabit perkara yang boleh memabukkan ini:

"One who is addicted to women, to liquor/drugs, to gambling, and squanders all he earns, this is a cause of one's downfall."

(Seseorang yang ketagih perempuan, arak/dadah, judi, membazirkan pendapatannya, inilah punca keruntuhan seseorang).

Begitu juga terdapat kata-kata yang menganggap sesuatu yang memabukkan adalah perosak hidup sebagaimana dalam sebuah Buku Tamil (Kural):

"Devoid of their sense, are those who drug themselves. No different are they from the sleeping one and the dead".

(Terpisah daripada deria adalah orang yang memabukkan diri sendiri, tidak ada bezanya mereka daripada orang yang tidur mahupun yang mati).

Ini bermakna, bagi golongan yang tidak beragama Islam juga ada yang turut berpegang kepada jeleknya arak dalam kehidupan dan pengambilannya adalah sesuatu yang memudharatkan. Walaupun pada kelazimannya arak dibenarkan kepada golongan tidak beragama Islam akan tetapi berpesta bukan menjadi hak mereka kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat termasuklah masyarakat bukan Islam yang tidak mengambil arak dalam kehidupan seharian.

Sekalipun pesta arak yang bakal berlangsung ini hanya terbuka kepada golongan yang tidak beragama Islam sahaja, ianya juga tetap menyalahi nilai-nilai agama apatah lagi jika ianya dipestakan secara besar-besaran. Hal ini akan mengundang budaya negatif dalam masyarakat apabila adanya promosi terbuka melalui pesta yang boleh menyebabkan pengambilan arak secara terbuka dan berleluasa di negara kita.

DUPP menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan akhlak dan kehidupan harmoni agar bangkit dan bertegas untuk tidak membenarkan penganjuran Pesta Arak yang bertentangan dengan nilai-nilai murni sebagaimana anjuran agama dan mencemarkan nama negara ini. Pihak yang berwajib mesti mengambil peranan segera dalam menangani hal ini termasuk membuat gesaan agar pesta berkenaan dibatalkan.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat
27 Zulhijjah 1438H/18 September 2017M – HARAKAHDAILY 18/9/2017