Sidebar

25
Mon, Sep

Hari bersejarah PAS Sabah dan sambutan Hari Malaysia

Pimpinan
Typography

SEMALAM Jumaat, 15 September 2017 bersamaan 24 Dzulhijjah 1438H adalah hari bersejarah! Buat pertama kalinya sejak 66 tahun penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat diadakan di Sabah dan ianya bertempat di Bilik Selingan, Hotel Sandakan, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Mesyuarat PAS Pusat Kali Ke-6 sesi 2017-2019 ini telah dipengerusikan oleh Dato' Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Dato' Seri Presiden, Tuan Guru Sheikh Haji Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir kerana perlu berehat dan atas faktor kesihatan dinasihatkan untuk tidak berjalan jauh.

Alhamdulillah, seperti bulan-bulan sebelumnya, keahlian PAS kian bertambah dan untuk bulan September 2017 ini Mesyuarat PAS Pusat telah meluluskan sebanyak 2,600 orang permohonan Ahli Baharu PAS. Ini menjadikan jumlah Ahli Baharu PAS sepanjang Januari - September 2017 ialah sebanyak 34,527 orang! Allahu Akbar, Wa lillahil hamd! Teruskan perjuangan liridhalLah.

Mesyuarat adalah tuntutan di dalam Islam dan di situlah berkatnya dalam keputusan berjamaah. Pelbagai perkara, agenda dan isu dibincangkan serta beberapa keputusan dan ketetapan telah disepakati. Semua keputusan, perbincangan dan perancangan yang dibuat ialah ke arah memenangkan Islam di tanahair tercinta dan untuk Ummah keseluruhannya.

Mesyuarat ini juga diadakan di sini sempena Sambutan Hari Malaysia PAS Pusat anjuran Lajnah Perpaduan Nasional yang dipengerusikan oleh Dr Najihatussalehah Ahmad dan PAS Sabah yang mana Pesuruhjayanya ialah Tuan Mohd Aminuddin Aling. Tahniah kepada penganjur di atas sambutan dan program yang sangat meriah! Program yang telah diadakan di Dewan Tadika Chi Hwa, Batu 1 1/2, Sandakan dihadiri oleh pelbagai kaum dan agama serta dari pelbagai peringkat umur tua dan muda.

Antara program yang telah diadakan termasuklah Konvoi Bermotosikal dan Berkereta mengelilingi Bandar Sandakan (tahniah kepada Alternative Riding Club (ARC) DACS dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang menjayakan aktiviti ini), Deklamasi Sajak Hari Malaysia, Gimik Pelancaran Logo Hari Malaysia & Montaj Aktiviti, Peragaan Pakaian Tradisi Mewakili Kaum Bajau, Sungai, Suluk, Brunei, Buton, Bugis dan lain-lain, Forum Santai Anak Muda "Semangat Cintakan Malaysia", Demo Masakan Tradisi Pelbagai Kaum termasuk Kadazan-Dusun, Tambanuo, Bajau, Sungai, Brunei, Bugis, Suluk dan Rungus, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Futsal Hari Malaysia.

PAS komited dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan serta kemerdekaan negara sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Ayuh marilah bersama kita membina Malaysia Sejahtera dengan Islam ke arah membentuk negara Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Sebagai muhasabah dan motivasi, marilah kita renungi tafsir Surah al-Hadid ayat 26-27 dan kaitannya tentang kepimpinan dan perjuangan gerakan Islam.

Allah Ta'ala berfirman tentang kisah kenabian yang penuh 'ibrah dan perbezaan kedudukan orang yang beriman dan orang yang fasik:

{وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا وَإِبْرَاهِيمَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ فَمِنْهُمْ مُهْتَدٍ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (26) ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الإنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (27)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya keNabian dan Al-Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik. Kemudian Kami iringkan di belakang mereka Rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka, tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik."

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah al-Anfaal, ayat 46).

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya! Islam pasti akan menang dan sungguh kemuliaan kita kerana Islam. Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! - HARAKAHDAILY 16/9/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) & Setiausaha PAS Negeri Sarawak.