Sidebar

23
Sat, Sep

Merdeka bukan untuk kepentingan kelompok tertentu

Nasional
Typography

MARILAH kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana negara kita telah 60 tahun mencapai kemerdekaaan.

Kemerdekaan memberi peluang kepada kita untuk menguruskan sendiri negara kita.

Kemerdekaan berupaya menebus maruah rakyat setelah beratus-ratus tahun dijajah oleh pelbagai bangsa-bangsa Eropah.

Oleh yang demikian peluang yang diperolehi sepatutnya digunakan sebaik mungkin.

Peluang kemerdekaan perlu dimanfaatkan untuk membela nasib setiap rakyat dan bukan kepentingan kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Kemajuan material dan spiritual perlu dibangunkan secara seimbang agar tiada rakyat yang merempat ketika golongan elit hidup mewah dan kaya raya.

Peluang kemerdekaan juga perlu dimanfaatkan untuk membebaskan minda rakyat dari cengkaman penjajahan kerana kita tidak mahu mentaliti kita masih dijajah walaupun penjajah telah lama pulang ke negara mereka.

Rakyat perlu berani bangkit untuk menuntut hak mereka dan bersuara menegur segala ketidakadilan dan penyelewengan.

Penjajah telah mengamalkan dasar pecah dan perintah yang telah memecahbelahkan rakyat negara ini.
Setelah mencapai kemerdekaaan kita mesti menerima realiti bahawa masyarakat kita adalah masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenali budaya dan cara hidup bangsa-bangsa yang berbeza ini untuk menghasilkan persefahaman dan satu masyarakat yang harmoni.

Masyarakat Melayu berpegang kepada agama Islam yang bukan sekadar ibadah-ibadah khusus seperti solat dan puasa tetapi satu cara hidup yang merangkumi sistem ekonomi, politik dan kenegaraan.

Masyarakat Cina rajin, kreatif dan amat menghargai akan nilai-nilai kekeluargaan.

Masyarakat India kuat berpegang kepada ajaran agama dan sentiasa menghormati orang-orang tua.

Kita tidak boleh hidup di dalam kelompok masing-masing seperti sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kita perlu bersama-sama membangunkan negara ini dan sama-sama juga menyelamatkannya dari sebarang mara bahaya.

Setiap dari kita perlu juga menjaga kemerdekaan kita dengan bersungguh-sungguh.

Di dalam dunia hari ini, penjajahan tidak berlaku melalui tindakan ketenteraan sahaja tetapi melalui ekonomi seperti melalui perangkap hutang.

Akibat dari perangkap ini, masa depan negara dan generasi akan datang telah tergadai kepada negara asing.

Semoga negara kita terselamat dari penjajahan kali kedua ini. – HARAKAHDAILY 31/8/2017